SETIAP HARI sebaik sahaja kelas tamat, Nakhaie akan buat kerja part time sebagai penghantar makanan.
Bagi dia kerja itu paling fleksibel mengikut waktu yang dia inginkan. Tidaklah mengganggu waktu belajar dan perbincangan kumpulan.
Hujan lebat mengiringi perjalanan Nakhaie untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami.
"Assalamualaikum, saya dari Foodpanda. Saya dah sampai dekat guard."
"Waalaikumussalam, dik. Akak ada anak kecil la. Boleh tak adik hantar sampai ke atas?"
"Boleh-boleh. Nombor rumah betul ya sama dengan dalam apps ni?"
"Ya betul."
"Baik kak, sekejap ya saya naik." Nakhaie matikan talian. Bergegas turun dari motor sambil menjijit bungkusan makanan pelanggan. Ketika dia sedang menunggu lif untuk ke tingkat 10, tiba-tiba ada pengawal datang mendekat.
"Lif rosaklah abang." Tegur pengawal berbangsa Nepal itu.
Nakhaie ternganga luas. Silih berganti dia renung lif dan wajah pengawal itu. Dengan baju dia yang basah kuyup ni.
"Aiyooo... customer saya tingkap 10." Bukan dia nak merungut. Saja aje dia meluah masalahnya ketika itu.
Pengawal itu juga buntu mahu membantu. Penghuni apartment itu pun baru sahaja diberitahu tentang kerosakan lif itu.
"Lama ke baru elok?"
"Selalunya sejam aje sudah baik. Technician tengah baiki."
Nakhaie mengeluh panjang. Dia dah penat seharian ini sebenarnya. Tidak mahu membuang waktu, dia senyum kelat pada pengawal itu lalu mendapatkan tangga. Terpaksalah dia mendaki sampai ke tingkat 10.
Termengah-mengah dia. Lutut terasa longgar dibuatnya. Namun tetap dia tersenyum manis bila pelanggan membuka pintu.
"Maaf ya dik. Anak akak menangis tak henti." Dengan serba salah pelanggan itu mengambil bungkusan yang dihulur.
Nakhaie senyum. Dari situ saja dia dah dengar tangisan anak kecil. Teringat pula dia juga bakal ada anak tak lama lagi. Sudah pasti dia tak mahu isterinya mengalami perkara seperti ini sekiranya rider makanan berkeras tidak mahu menghantar sampai ke atas. Kesian.
"Tak apa kak. Memang tugas saya."
"Ni duit sikit untuk adik." Wanita pertengahan 30an itu menghulur sedikit duit sebagai tips rider.
"Eh, tak apa kak."
"Ambil. Buat minum."
Teragak-agak Nakhaie mahu mengambil. Bila wanita itu berkeras, dia ambil juga agar wanita itu tidak rasa bersalah.
Hari itu target penghantarannya tercapai agak lewat daripada biasa. Hampir jam 11.00 malam. Bergegas dia menaiki motosikal menuju ke bank untuk memasukkan duit ke dalam akaun isterinya.
Kali terakhir dia masukkan adalah dua minggu lepas. Selepas itu duitnya habis kerana dia perlu membeli beberapa buah buku rujukan dan membayar duit fotostat nota-nota sehingga dia terpaksa mengikat perut untuk membeli makanan.
Mujur Aisyah dan Nek Norma ada bekalkan sambal ikan bilis garing kegemarannya. Berbotol-botol Aisyah buat untuk bekalannya di sini. Jadi dia tinggal memasak nasi saja. Jimat banyak di situ.
Basah kuyup. Sesekali Nakhaie seka air hujan yang mengena mata. Membuatkan pandangannya terhad.
Tayar motosikal pula hampir botak tak berganti. Hampir dia tergelincir di tengah jalan. Jadi dia perlu lebih berhati-hati menunggang motosikal buruk itu. Sudahnya perjalanan yang selalunya hanya mengambil masa sepuluh minit menjadi lebih panjang.
YOU ARE READING
ADAM NAKHAIE
RomanceMuhammad Nakhaie itu lelaki paling baik. Seorang yang rajin dan bertanggungjawab. Tapi takdir berkata lain. Selepas kematian Nakhaie, Aisyah Erina hidup susah di kampung membuatkan dia bertekad mahu mencari kerja di bandar. Pertemuan dengan Adam N...