BAB 15

429 24 0
                                    

RASANYA terlalu lama dia tak tersenyum. Bibir juga mulai rasa janggal. Adam berdiri di depan cermin besar di dalam biliknya. Tubuh tegap persis seorang atlet itu tertayang jelas dari pantulan cermin yang berkilat.

Adam bercekak pinggang menilik diri sendiri. Lama dia merenung wajah sendiri. Kacak juga dia rupanya. Tawa kecil meletus. Lucu pula bila memuji diri sendiri.

Siapa sangka pelukan hangat dari seorang ayah mampu melenturkan semua rasa amarah yang membuku di dada. Buat pertama kalinya, pelukan malam tadi membuatkan dia rasa disayangi.

Rupa-rupanya jiwa dia dah terlalu gersang. Seperti manusia sesat di padang pasir yang tiada punca air. Tercari-cari sesuatu untuk menghilangkan dahaga dan kelaparan.

Adam lekas bersiap untuk turun bersarapan bersama sang ayah. Baju tshirt disarung ke tubuh. Dengan menyanyi-nyanyi kecil dia menuruni anak tangga menuju ke bawah.

"Adam."

Langkah kaki yang riang tadi terhenti. Dengan senyuman lebar dia menoleh ke arah suara yang menyeru namanya.

Mak Iti tergamam. Setelah sekian lama baru kali ini dia dapat melihat lesung pipit di pipi kiri Adam. Dah terlalu lama Adam tidak tersenyum dan ceria begini. Kali ini Adam nampak berseri-seri.

"Mak Iti." Sapa Adam mesra. Dia gelak kecil melihat cara Mak Iti memandangnya. Serupa dia hantu pula.

"Er... Adam." Terkulat-kulat Mak Iti. Hilang terus kosa kata berdepan dengan Adam versi ceria begini.

"Papa mana?" Adam toleh ke dapur. Selalunya jam begini papanya ada di sana sedang sarapan bersama mak tirinya itu.

"Tan Sri dan Puan sri keluar. Adam nak breakfast?"

Wajah ceria Adam mengendur. Keluar? Tapi nak buat macam mana, dia yang lambat bangun pagi ini. Baru saja dia berniat mahu bersarapan bersama sang ayah.

Gontai langkah kaki menuju ke ruang makan. Tiba-tiba matanya menangkap satu sampul surat berwarna coklat di atas kabinet.

"Surat papa?" Mata kian mengecil membaca cop di penjuru sampul. Dari peguam syarikat.

"Baru sampai pagi ni. Dari peguam." Terang Mak Iti seraya melangkah ke dapur.

Tanpa berfikir, tangannya laju membuka sampul surat itu. Mata Adam terpicing halus membaca setiap aksara yang tertulis di helaian kertas nipis itu. Semakin jauh dia membaca, semakin menggigil kedua tangan sehingga hampir remuk helaian kertas putih itu.

"PENIPU!" Jeritan Adam bergema kuat memecah kesunyian rumah agam itu.

Berlari Mak Iti dan pembantu yang lain mendapatkan Adam. Langkah kaki mereka semerta terhenti tatkala melihat kertas-kertas yang tadi elok kejadiannya telah menjadi cebisan kertas yang kecil-kecil. Adam telah mengoyakkan kertas itu!

"Susah sangat ke apa yang aku mintak! Susah sangat ke!" Adam meraung dengan kepala tertunduk. Setitis-setitis air mata dia jatuh ke lantai. Harapannya musnah! Tan Sri Nazmi memang tak pernah sayangkan dia dan Nakhaie!

Mak Iti keresahan. Tiba-tiba saja Adam yang ceria tadi berubah wajah. Menjadi bengis dengan muka merah padam. Kemudian Adam menangis seperti anak kecil. Merintih dengan suara yang sangat sayu.

"Adam..."

Tangan Adam terangkat menahan Mak Iti dari terus bersuara. Tanpa mengangkat kepala, dia berlalu naik ke atas semula. Dah tak ada selera untuk bersarapan.

ADAM NAKHAIEWhere stories live. Discover now