Hessa rasa tersisih lagi. Mungkin apa yang berlaku di rumah Datin Aiza semalam buatkan dia terlebih sensitif hari ini.
Sekarang dia diam sahaja sambil melihat Seif memberi tumpuan pada penjelasan Doktor Afya tentang kondisi Baihaqi. Dia angkat pandangan melihat sisi tepi suaminya. Berbaju kemeja kelabu dengan lengan baju disisin hingga ke siku, Seif silang tangan ke dada sambil menatap tepat ke wajah Afya yang sedang berbicara. Melihat renungan Seif pada Afya, Hessa pula yang sesak tidak senang duduk di tempatnya. Cemburu.
Berbeza. Sangatlah lain perlakuan Seif ketika bersama Afya berbanding dengan sikapnya ketika berada dengan Hessa. Cara bicara dan layanan Seif pada Afya buat Hessa rasa seperti orang asing di situ.
Iyalah, Afya berpelajaran dan tahu banyak perkara yang Seif tidak tahu. Sedangkan Hessa, hanya budak polos yang tiada apa-apa nilai di mata orang. Seseorang seperti Seif sudah pasti lebih berminat mendengar bicara wanita berpelajaran seperti Afya daripada Hessa yang hanya bercakap kosong sepanjang masa.
Hessa pula yang dilayan seperti kanak-kanak yang belum matang dan masih perlukan dewasa untuk bergantung. Sudah beberapa minggu bergelar isteri Seif, mereka jarang berbicara serius. Seif melayani seperti alat mainan yang memberi hiburan.
Jengkel.
Sedangkan Seif boleh berubah serius di hadapan orang seperti Afya.
Adakah dia masih lagi seorang kanak-kanak yang belum dewasa di hadapan suami sendiri?
Tanpa sedar Hessa ketap gigi.
Dan sebab itu Seif tidak pernah mahu bersamanya?
Hessa mengeluh lantas tunduk kepala dan tangannya bergerak menggenggam tangan Baihaqi.
Tindakan itu buat Seif yang ralit mendengar bicara Afya mengerling sekilas pada isterinya. Matanya jatuh melihat tangan Baihaqi berada dalam genggaman Hessa. Raut muka berubah kelat.
"Awak dengar?" Afya tarik perhatian Seif kembali. Sengaja dia panjangkan perbualan agar Seif lebihkan perhatian kepadanya dan memang niatnya mahu membangkitkan cemburu di hati Hessa.
"Dengar." Seif pandang Afya kembali.
"We'll continue to monitor him closely. Kami akan conduct more comprehensive neuroimaging tests to assess the overall brain function. This is crucial to understand the potential for recovery. Kami juga akan start dengan mild rehabilitative exercises untuk maintain muscle tone and motor responses," Afya sambung menerangkan keadaan Baihaqi dan Seif tekun memberi perhatian.
Hessa diam. Teranglah apapun pada dia, dia tak akan faham keadaan Baihaqi sekarang. Mungkin sebab itu, Afya dipandang hebat oleh semua orang. Tidak seperti dia, tak berpelajaran dan otak kosong.
Ah, dia tak peduli lagi. Yang dia ingin tahu, berapa lama lagi Baihaqi akan koma? Walaupun abangnya seorang itu kuat membebel macam mulut itik, dia sudah rindu. Nanti kalau Baihaqi dah bangun, dia tak kisah dengar Baihaqi bebel siang sampai malam. Dia sanggup tadah telinga dan dengar.
Hessa gigit bawah bibir. Berapa lama lagi abang nak tidur? Dah cukup lama sampai Hessa rasa sangat sunyi sekarang. Bangunlah...
"Bangunlah..." Berperang dengan perasaan sendiri, tanpa sedar mulut Hessa berbunyi. Hessa tersentak dengan perkataan keluar dari mulutnya. Dia angkat wajah melihat Seif dan Afya sedang menoleh memandangnya. Tidak sedar setitis air mata mengalir laju dari tubir mata hingga ke dagu.
"Hessa menangis? Kenapa?" Baru Seif ingin menghampiri, Hessa rasa jarinya digenggam sesuatu.
Sekali lagi Hessa terkedu. Perlahan-lahan dia tundukkan pandangan.
YOU ARE READING
SEIF
RomanceBermula dari janji dan kepercayaan, masa depan seorang gadis dipertaruhkan oleh ayahnya sendiri. Si abang yang buntu mengambil pilihan mencari pelindung buat adiknya.