Tangan penuh menjinjit plastik makanan dibeli tadi di pasar. Senyum lebar tak pudar terlakar di wajah. Sempat Hessa dan Seif singgah pasar malam sebentar tadi. Itupun Hessa yang beria-ria minta Seif berhenti. Dia cakap, dia nak belanja Seif makanan sedap.
Ya, dia belanja, tapi guna duit Seif.
Cara Hessa berfikir mudah sahaja. Apa guna ada suami kaya tapi tak tahu memanfaatkan harta suami dengan baik.
"Hello, abang!!" Buka sahaja pintu, kuat jeritan Hessa kedengaran. Nampak sungguh gembiranya hari itu.
Lihat Aqib sedang membantu Baihaqi memakai kain pelikat, wajah Hessa terus berubah terkejut.
"Eh, Abang Aqib?!"
"Kau tak payah nak buat muka terkejut sangat. Aku balik ni pun angkara kau tau!" Aqib pandang Hessa dengan mata yang sudah menyipi. Nasib baik dia sibuk tolong Baihaqi pakai kain pelikat, kalau tidak, benjol kepala adik dia seorang tu kena ketuk dengan dia.
Seif melangkah masuk sambil menadah telinga mendengar bebelan Aqib pada isterinya. Masih tak faham apa yang Hessa dah buat sampai Aqib tiba-tiba balik.
"Abang Aqib patut berterima kasih kat Hessa tau. Sebab Hessalah Abang Aqib boleh tengok Abang Bai tak jadi meninggal lagi." Tenang Hessa berkata sambil dia letak makanan dibeli di atas meja.
"Mulut kau tu elok sikit!" Aqib bengang.
"Sebagai tanda minta maaf, Hessa belanja abang makan makanan pasar malam. Mesti Abang Aqib rindu kan nak makan makanan pasar malam? Selama ni asyik makan makanan hutan je." Hessa sengih. Mulut memang tak ada insurans langsung.
"Abang Bai pulak, dah kembung perut tu asyik makan air drip je. Nah, jemput makan."
"Siapa beli?" Baihaqi sempat menghantar jelingan pada Seif yang tenang berdiri di sebelah Hessa. Membantu isterinya membuka plastik makanan.
"Mestilah Hessa yang beli!" Laju Hessa menjawab. Seif mana tahu beli. Asyik mengekor sahaja dia dari belakang macam anak kucing.
"Okay, Hessa tinggallah kat situ. Pergilah balik dan rehat. Malam ni Aqib temankan abang." Ikutkan hati Baihaqi, dia tak mahu Hessa balik dan tidur di rumah Seif. Namun sekarang dia harus reda, adiknya sudah jadi isteri orang. Lagipun Hessa sudah cukup penat membantu dan menemani dia di hospital.
"Nanti sikit Hessa balik lagi."
"Pergilah. Kesian Seif nak tunggu kau kat sini."
"Tapi Hessa rindu..." Hessa berhenti bercakap. Dalam dia tersenyum wajahnya berubah kelat.
"Hessa rindu nak bertiga." Bibir bawah Hessa terjuih ke depan memandang abang-abangnya.
Terkedu sejenak Aqib dan Baihaqi mendengar luahan jujur adiknya. Mereka fikir adik mereka hanya tahu mengolok-olok orang sahaja, rupanya ada hari Hessa jujur dengan perasaannya sendiri.
"Abang benci kau!" Aqib menghampiri Hessa lantas dia tarik tubuh Hessa masuk dalam pelukan.
"Hessa pun benci abang." Hessa tersenyum dalam pelukan Aqib. Dia tergelak kecil saat Aqib kucup dahi dan pipinya. Babak yang sudah jemu Baihaqi lihat setiap kali Aqib balik dari kerja yang panjang.
Adakala Hessa akan berseloroh 'Hidup lagi abang rupanya.' Namun jauh di sudut hati gadis itu, Baihaqi tahu Hessa tak sanggup berjauhan lama dengan Aqib.
Namun adegan itu masih baru di mata Seif. Lelaki itu kelihatan hanya diam tidak beriak memerhati dua manusia itu berpelukan di depan matanya. Senyum tipis terukir di bibir. Rasa mahu ketawa pada dirinya sendiri kerana tanpa dia sedar ada sedikit cemburu mencuit dirinya. Tentang apa? Tentang dia sendiri pun tidak pernah memeluk dan mencium Hessa seperti Aqib lakukan sekarang.
YOU ARE READING
SEIF
RomanceBermula dari janji dan kepercayaan, masa depan seorang gadis dipertaruhkan oleh ayahnya sendiri. Si abang yang buntu mengambil pilihan mencari pelindung buat adiknya.