"Saya nak berpisah." Aku tergamam. Bukan ini yang aku mahu dengar daripada dia. Setelah berhari-hari dia meninggalkan aku tanpa khabar, akhirnya dia mengajak aku untuk berjumpa. Itu sudah cukup buat aku gembira tapi tujuan dia ingin berjumpa dengan aku kerana mahu menyatakan hasratnya untuk berpisah? Terus hilang senyuman aku.
"Tapi kenapa?" tanya aku. Sedaya upaya aku cuba menahan perasaan aku yang sedang berkecamuk ini.
"Saya nak fokus belajar."
"Tapi awakkan habis belajar pertengahan tahun depan. Sekarang dah nak hujung tahun. Lagi satu sem je."
"Saya tahu tapi saya betul-betul sibuk. Saya rasa sedih tengok chat kita. Hari-hari awak tunggu saya reply, tapi saya tak sempat pun nak jawab semua WhatsApp awak," jawabnya, wajah kasihan turut ditayangkan untuk meyakinkan aku.
Aku diam. Cuba menghadam alasan lelaki yang tua dua tahun daripada aku ini.
"Awak boleh je suruh saya tunggu awak sampai awak habis belajar. Saya takkan kacau awak."
"Saya tak boleh bagi komitmen untuk hal ni. Saya lebih pentingkan pelajaran saya. Saya kesian dengan awak. Tak dapat perhatian daripada saya." Semakin berkerut dahiku mendengarkan alasannya.
"Saya tak penting?" Bergetar suara aku menyoal. Dia geleng.
"Awak bukan kepentingan saya buat masa sekarang. Saya lebih pentingkan assignment, Final Year Project dan juga exam yang akan datang." Aku bukan kepentingan dia?
Aku bukannya menagih waktu dia setiap jam mahupun setiap saat tapi aku cuma mahu tahu apa aktiviti hariannya. Takkanlah tak ada waktu untuk aku sampai perlu putuskan hubungan?
"Awak tak ada perempuan lain belakang saya kan? Kalau ada, bagitahulah. Saya tak marah."
"Tak ada. Saya sibuklah. Tak ada masa nak fikir pasal perempuan." Sedikit meninggi suaranya.
Aku diam lagi.
"Lepas habis degree, kalau jodoh kita panjang, saya sendiri akan cari awak. Kalau tak ada jodoh..."
"Sepanjang kita putus ni, andai kata salah seorang daripada kita ada orang lain macam mana?" Pantas aku mencantas ayatnya. Dia memandang aku.
"Terserah pada takdir. Kalau kita memang tak ditakdirkan untuk bersama, saya kena terima. Kita buat haluan masing-masing."
"Ayat awak macam orang dah tawar hati." Aku ketap bibir aku. Mata tak mampu nak melihat dia lagi.
"Cara awak nampak macam orang dah tawar hati. Tak suruh saya tunggu, tapi minta putus. Padahal sebelum ni pun awak sibuk, tak ada pula awak minta putus."
"Saya sibuk." Itu aje jawapannya. Sesibuk itukah dia? Orang lain pun sibuk, tapi tak adalah sampai nak putuskan hubungan.
"Kalau ada orang lain nak masuk meminang awak lepas ni, awak terima aje."
Tergamam aku. Bagai tertampar dengan ayatnya.
"Merepek apa ni? Semudah tu awak suruh saya terima? Dulu, awak yang suruh saya pertahankan hubungan kita. Sekarang?"
"Kalau dah ditakdirkan begitu, awak terima aje lah. Sekarang, saya tak terfikir lagi pasal kahwin."
Aku mati kata. Padahal dulu dialah yang beria mahu memperisterikan aku. Dia yang bersungguh-sungguh suruh aku pertahankan hubungan kami tapi ini yang terjadi sekarang?
"Tak apa, saya faham. Saya hormat keputusan awak." Di bawah meja, aku kepalkan kedua belah tanganku menjadi penumbuk. Aku genggam dengan kuat, hingga menggeletar tanganku. Perasaan marah, kecewa, sedih semuanya menjadi satu. Pahit sungguh untuk ditelan.
Aku lihat dia diam, merenung wajahku lagi.
"Pergilah. Habiskan belajar. Saya takkan kacau awak dah. Secara rasminya, kita dah tak ada hubungan kan?"
Dia mahukan perpisahan? Baik. Aku akan tunaikan.
Dia angguk, penuh yakin.
"Kalau jumpa orang lain yang lebih bagus daripada saya, bagitahu aje saya yang awak dah jumpa pengganti saya. Saya minta maaf atas semua salah saya pada awak selama ni. Halalkan makan minum dan juga barangan yang pernah awak habiskan duit untuk saya. Saya doakan awak berjaya," kataku. Air mata yang ditahan terus mengalir membasahi wajah.
"Terima kasih sebab hormat keputusan saya," jawabnya. Aku terus tergelak sinis dalam hati. Mudahnya melepaskan.
"Saya pergi dulu. Assalamualaikum." Aku terus bangun. Meninggalkan dia yang masih terduduk di dalam kafe itu.
Aku berjalan sedikit laju dan terus memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Air mata terus aku hamburkan. Esakan kecil yang aku lepaskan semakin lama semakin kuat dan aku menangis, berteriak sekuat hati aku.
"Sampai hati kau!"
Stereng kereta aku hentak-hentak dengan kuat, sehingga lebam tangan aku. Rasa sakit itu tak setanding dengan rasa sakit di hati aku.
Rasa sakit ini... bagai mahu mati rasanya.
Entah kenapa alasan yang dia berikan membuatkan aku ragu-ragu. Bagai ada sesuatu yang disembunyikan.
Empat tahun kami bercinta dan ini penghujungnya? Aku dibuang? Sedikit pun raut wajahnya tak kelihatan menyesal atau sedih, malah kelihatan tenang.
Dan pada hari ini, aku dibuang dari hidupnya. Pada hari kami meraikan hubungan kami yang sudah genap empat tahun.
Empat tahun yang penuh sia-sia.
BERSAMBUNG
YOU ARE READING
𝐀𝐊𝐇𝐈𝐑 𝐂𝐄𝐑𝐈𝐓𝐀 𝐊𝐈𝐓𝐀 (𝐂)
RomanceSaat cintanya terputus di tengah jalan, Izara menutup pintu hatinya dan meneruskan kehidupan dengan luka yang berbekas di hati. Setahun masa yang diambil untuk pulih sehinggalah dia mengambil risiko untuk berkenalan dengan seorang jejaka tinggi lamp...