BAB 8

95 5 0
                                    


AKU meraup wajah sesudah mengaminkan doa, selesai menunaikan solat Asar. Telekung dan sejadah aku lipat lalu disangkut di tempatnya. Telefon aku ambil dan satu pesanan aku kirimkan buat si dia.

'Selamat berpuasa dan selamat berbuka sayang.'

Aku mula membaca perbualan kami di WhatsApp. Dari awal perkenalan kami sehinggalah waktu dia menghilangkan diri. Sesekali aku mendengar voice note yang pernah dikirimkannya dulu.

Sedar tak sedar, sudah hampir dua tahun dia meninggalkan aku sendirian. Hari ini merupakan hari puasa yang pertama. Ramadan kedua tanpanya. Mungkin, Syawal yang kedua tanpanya juga.

Aku terlepas banyak perkara dengannya. Aku sudah melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda secara separuh masa, aku sudah dinaikkan pangkat di tempat kerjaku dan Aisar tidak dapat melihat kawan baikku, Humairah bernikah dengan pilihan hatinya.

Tahun lepas, aku menyambut hari lahirku tanpa dia. Aku mencuba nasib dengan menelefonnya namun seperti yang aku agak, panggilan aku tidak dijawab. Malah, WhatsApp aku juga tidak dibaca.

Sepanjang tempoh itu, hati aku tak pernah berganjak dari terus mencintainya. Hari-hari aku berdoa agar dia kembali. Pernah juga aku berdoa agar Tuhan hapuskan rasa sayang aku padanya tapi entah kenapa nama Faeeq Aisar tidak pernah terpadam dari hati aku malah makin lama makin kuat rasa sayang aku padanya.

Aku masih mengharapkan dia untuk kembali pada aku, rumah keduanya.

"Izara..." Humairah menjenguk aku di kamar. Aku memandangnya.

"Haikal ajak berbuka dekat luar. Kau ikut ya?" pelawanya.

Aku mengangguk, akur.

Lagipun, takkan aku mahu berbuka puasa seorang diri. Keluargaku tiada, mereka semua pulang ke kampung. Hanya aku aje yang tinggal memandangkan aku terlalu sibuk dengan kerjaku.

Humairah ada menemani aku di sini untuk beberapa hari dengan keizinan Haikal. Kata Haikal, sekurang-kurangnya aku tidak bersendirian dan dia tahu isterinya juga setuju dengannya.

"Izara, nak makan mana?" Haikal menyoal sebaik saja aku masuk ke dalam keretanya.

"Ikut kau oranglah. Aku tak kisah," jawabku dari tempat duduk belakang. Jujur aku ikutkan saja kehendak mereka.

Mereka sudah melayan aku dengan baik. Aku sudah seperti anak mereka, ke mana aje mesti mereka akan bawa aku. Jadi aku tiada hak untuk meminta lebih-lebih.

"Aku tahu nak makan mana. Abang, Mai tunjuk jalan ya?" Haikal hanya menurut permintaan isterinya.

Sedang kereta bergerak, aku terpandangkan taman permainan yang pernah menjadi tempat aku dan dia meluangkan waktu. Sebak. Aku teringatkan kenangan kami bersama dulu. Kenangan itu, terlalu segar di ingatan. Terasa seperti baru dilalui semalam.

'Mana awak Aisar?'


~



"TERIMA kasih belanja, Tuan Haikal," ucapku ceria.

Mestilah ceria. Tempat yang Humairah bawa kami ni, bukan biasa-biasa. Makanan sedap-sedap belaka. Mujur restoran ini tidak mengambil tempahan meja. First come first serve. Dapatlah hari pertama berbuka puasa aku merasa makanan lima bintang.

"Sama-sama. Aku nak belanja ni pun sebab aku dapat berita gembira tadi," katanya. Tersengih-sengih memandang aku dan Humairah silih berganti. Dah kenapa?

"Asal? Nak kahwin lain ke?" gurauku. Terkekeh-kekeh aku ketawa mengundang tamparan manja di bahu oleh Humairah.

"Amboi! Gurau kasar nampak." Humairah tersenyum lebar namun aku perasan yang giginya diketap dan matanya dijegilkan pada aku.

"Sorry, main-main aje. Berita apa?" soalku kembali serius.

"Tak lama lagi..." Haikal bersuara meleret. Sengaja ingin membuat suspen.

"Izara bakal jadi aunty! Aku mengandung Izara!" Ternganga aku mendengarkan pengumuman dari suami isteri itu. Alhamdulillah!

"Berapa lama dah?" Spontan aku menarik rapat tubuh Humairah yang duduk di sebelahku, memeluknya erat.

"Dah nak masuk tiga bulan," balas Haikal.

"Tahniah! Patutlah sorang ke bulan, lagi sorang ke Marikh. Rupanya ada baby," gelakku. Teringatkan Haikal yang sering muntah-muntah, mengadu tidak sihat dan emosi Humairah yang tidak menentu sejak kebelakangan ini, rupanya ada rezeki anak yang Allah nak bagi.

Seronok melihat mereka bahagia. Aku menyaksikan sendiri hubungan mereka dari awal percintaan sehinggalah kini. Bukan tempoh yang sekejap. Hubungan mereka juga diuji tapi mereka berjaya harungi bersama.

Tanpa sedar, senyuman aku yang lebar mula mengendur. Aku melepaskan keluhan kecil dan menundukkan wajah.

'Alangkah indahnya kalau kita pun bahagia macam mereka, Aisar.'


~



AKU menunggu Humairah di luar perkarangan masjid. Aku lihat jemaah-jemaah lain berpus-pusu keluar ingin pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat tarawih dan moreh.

Humairah ke tandas sebentar, Haikal pula seronok bersembang dengan pakcik-pakcik di pintu masuk sana.

Aku mengambil tempat duduk di kerusi. Beg telekung di tangan aku pegang erat. Berat sungguh mata aku. Terasa bagai digam, terasa betul-betul letih dan mengantuk.

Masjid ini cantik binaannya. Kebetulan semasa perjalanan pulang dari Putrajaya tadi, kami singgah di sini untuk menunaikan solat Maghrib sekaligus mengerjakan solat Isyak dan Tarawih.

Mata aku melilau memandang sekeliling, takut-takut sekiranya Humairah tidak perasan aku menunggu dia di sini.

Sedang ralit aku memerhatikan sekeliling, aku terpandang akan susuk tubuh seorang lelaki yang segak memakai kurta berwarna merah hati dan juga seluar slack. Lelaki itu sedang bersalaman dengan salah seorang jemaah masjid itu dan mula menapak menuju ke keretanya.

Spontan aku turut bangun dari duduk dan berjalan mendekati dia. Langkahku longlai. Aku kenal batang tubuh itu. Air mata aku mula bergenang di tubir mata.

Tubuh itu...

Wajah itu...

"Aisar." Lembut aku memanggilnya.

Tubuh itu tersentak. Tangan yang ingin membuka pintu kereta turut terhenti pergerakannya. Lambat-lambat dia menoleh. Wajahnya benar-benar menunjukkan yang dia terkejut melihat aku ada di sini. Berdiri tegak di depan dia.

"Izara?"


BERSAMBUNG

𝐀𝐊𝐇𝐈𝐑 𝐂𝐄𝐑𝐈𝐓𝐀 𝐊𝐈𝐓𝐀 (𝐂)Where stories live. Discover now