Ending I (Part III)

79 5 0
                                    


SUNGGUH indah ciptaan Allah. Tak sudah-sudah aku mengagumi ciptaan-Nya yang satu ini. Sudahlah segak berbaju Melayu berwarna biru muda lengkap dengan sampingnya, songkok pula terletak elok di atas kepala. Wajahnya jangan cakaplah. Makin jatuh cinta aku dibuatnya.

"Sayang, how do I look?" soalnya. Tubuh dipusingkan, serupa model jenama Bulan Bintang!

"You look stunning!" komenku jujur.

"I knew it." Aku julingkan mata ke atas. Masuk bakul angkat sendiri nampak.

Dia menghampiri aku dan berdiri tegak di hadapan aku. Tangannya naik mengusap kedua belah lenganku, sambil itu matanya atas bawah memandang tubuh aku. Kalau dapat dilihat dengan mata kasar, mesti boleh nampak laser yang keluar dari matanya, cuba mengesan tubuhku.

"Cantik isteri abang," pujinya ikhlas. Tersipu malu aku dibuatnya.

"Terima kasih, abang."

Dia pagut dagu runcingku. Wajahnya dihampirkan dan satu ciuman ringkas hinggap di dahi aku. Terpegun aku dibuatnya. Terlalu spontan dan laju tindakan dia.

"Sama-sama, bidadari abang."

Jemariku diraihnya dan dia menarik lembut tangan aku mengikutinya keluar dari bilik. Setibanya kami di ruang tamu rumah keluargaku itu, kami di sapa oleh ibu, ayah dan adik-beradikku yang lain.

Anak-anak buah aku pagi-pagi lagi sudah bermain dan berlari ke sana sini, tidak menghiraukan larangan ibu mereka yang bakal bertukar menjadi singa. Risau sekiranya baju mereka kotor.

"Semua dah ada. Jom, salam raya!" kata abangku, Izmir. Disahut dengan suara-suara riang dari anak-anak buah aku. Seronoklah mereka, salam raya bukan sebab nak minta maaf tapi nak duit raya aje.

Alhamdulillah. Tahun ini aku berpeluang untuk menyambut hari raya bersama suami tercinta.

Aisar bersetuju untuk menyambut hari raya pertama di rumah keluargaku pada tahun ini, tahun depan di rumah keluarganya pula. Begitulah seterusnya, bergilir-gilir. Aku tidak kisah rumah siapa pun, yang penting Aisar ada bersamaku.

Aku bersalaman dengan ibu dan ayah, meminta maaf dan sempatlah air mata aku menitis sedikit. Terkenangkan dosa-dosa lalu aku bersama orang tua aku. Aku bersalaman pula dengan abang-abang aku. Masing-masing sengaja ingin mengenakan aku, mengungkit kesalahan aku dari zaman aku lahir lagi. Nasib baik aku dapat juga duit raya daripada dia orang.

"Ha! Adik dah praktis minta maaf dengan suami belum?" soal abang keduaku, Izam.

Aku diam, pandang Aisar yang sudah sedia untuk menerima permohonan maafku. Aisar hanya pandang aku dan tersengih-sengih macam kerang busuk.

"Malu," ujarku. Minta maaf dengan Aisar depan keluargaku? Oh tidak! Aku tak bersedia untuk menerima usikan dari abang-abang aku.

"Apa nak malu? Suami kamu juga," suara ayah kedengaran.

Aku mencebik tanda protes namun setelah menerima jelingan maut daripada ibu, aku turutkan saja.

Aku melutut di depan Aisar yang sedang duduk di atas sofa. Tangan sudah sedia dihulur, menunggu tangan aku untuk menyambut hulurannya. Aku sambut juga, dan aku kucup jari-jemarinya. Perasaan sebak mula datang dan aku genggam erat tangannya. Menggigil seluruh tubuh.

"Izara minta maaf abang. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, Izara minta ampun. Izara masih tak sempurna untuk menjadi seorang isteri yang baik, Izara masih bertatih-tatih, banyak yang Izara perlu belajar. Kalau Izara ada buat salah, tegurlah Izara. Izara tak nak jadi isteri derhaka. Halalkan makan dan minum yang abang pernah beri ya? Maafkan Izara ya?"

𝐀𝐊𝐇𝐈𝐑 𝐂𝐄𝐑𝐈𝐓𝐀 𝐊𝐈𝐓𝐀 (𝐂)Where stories live. Discover now