PERTEMUAN pertama aku dan Aisar tidak terhenti di situ. Aku sangkakan, itu pertemuan pertama dan terakhir kami. Rupa-rupanya pertemuan itu berjaya menjadi titik permulaan untuk kami berkenalan dengan lebih rapat.
Sudah dua bulan kami berkenalan dan kami kerap kali berjumpa pada hujung minggu.
Aku semakin selesa dengan Aisar. Dia sedia maklum tentang hubungan lampauku dan dia banyak memberikan kata-kata semangat pada aku. Hasilnya, aku dapat melupakan masa lalu dan lebih fokus dengan kehidupan aku sekarang.
Kata Aisar, Khair ibarat racun dalam hidup aku dan aku berjaya buang racun itu untuk teruskan hidup.
Aku dan Aisar kerap kali berbalas pesanan di WhatsApp dan membuat panggilan telefon jika berkelapangan. Aku faham dia sibuk dengan kerjanya dan dia juga faham akan kesibukan kerjaku.
Ada kalanya jika dia bekerja pada hujung minggu dia akan telefon aku dan berbual dengan aku ketika dia bosan memandu.
"Tuan badan tak ada tapi suara awak pun dah buat saya rasa yang awak ada dengan saya sekarang," katanya dulu.
Hari ini dia mengajak aku untuk berjumpa lagi. Katanya dia tertinggal lesen memandu dia di sebuah pasaraya ketika dia membuat Purchase Order kelmarin. Alang-kepalang dia ingin berjumpa dengan aku sebelum dia bertolak ke Cameron Highlands esoknya.
"Saya tengok ramai kenalan saya yang dah bertunang, berkahwin. Saya masih single," aduku.
Sebentar tadi kami berbual soal perkahwinan dan aku ada juga ceritakan perancangan Humairah yang mengajak aku untuk menyertai kursus kahwin bersamanya pada Aisar.
"Biasalah tu. Kawan sebaya saya pun ramai yang dah berumahtangga. Dah rezeki dia orang. Rezeki kita? Adalah tu nanti," balasnya tenang. Sebelah tangan memegang stereng, sebelah lagi menguak rambut hitamnya ke belakang.
Pakaiannya nampak lebih santai hari ini. Berbaju Polo hitam dengan seluar slack berwarna khaki.
"Kita?" Aku pandang dia. Kali ini aku tak malu untuk memandang dia berbanding dengan awal perkenalan kami dulu.
"Kita. Rezeki awak, rezeki saya. Mungkin jodoh awak tak jauh pun sebenarnya. Dekat aje," jawabnya.
Entah kenapa aku seakan faham apa yang dia maksudkan tapi aku tak mahu membuat kesimpulan. Aku takut aku hanya perasan dan dia tak bermaksud seperti apa yang aku fikir.
"Awak berani tak?" soalnya setelah kami lama mendiamkan diri.
"Berani apa?"
"Berani ikut saya pergi kursus kahwin."
Aku jatuhkan rahang aku. Menganga seluas yang mungkin. Hampir putus nafas aku mendengarkan ajakannya. Biar betul?
"Jangan menganga besar sangat. Nanti gajah masuk," tawanya.
"Kenapa tiba-tiba?" Aku tanya dia. Tidak pedulikan gurauannya tadi.
"Awak cakap awak nak pergi kursus kahwin. Saya ajaklah awak," jelasnya.
Dia pelawa aku pergi kursus kahwin seperti mengajak aku makan di restoran mamak.
Aku pintal hujung bajuku. Tabiat yang tak dapat dibuang ketika aku gemuruh.
"Biasanya, kalau lelaki ajak perempuan pergi kursus kahwin bermaksud yang lelaki tu nak kahwin dengan perempuan tu," kataku.
Aisar diam.
"Saya ajak pergi kursus kahwin aje. Bukannya ajak kahwin," balasnya bersama ketawa yang kedengaran agak janggal. Mungkin dia juga terfikir perkara yang sama seperti aku.
"Tapi apa salahnya kalau kita kahwin," gumamnya pula. Aku pula seakan dengar tak dengar saja ayatnya.
"Apa?"
"Tak ada apa." Laju dia bersuara kemudian dia mula mengubah topik.
~
SEHARIAN kami berjalan di sekitar Putrajaya selepas dia selesai mengambil lesen memandunya yang tertinggal di Kajang.
Dia bawa aku ke IOI City Mall untuk makan tengah hari dan kami berjalan di sekitar Tasik Putrajaya.
Cuaca agak redup jadi kami duduk di kerusi di bawah pokok. Mengambil udara segar sambil melihat pengunjung tasik beriadah di kawasan itu. Tenang rasanya.
"Izara," panggilnya. Suaranya yang lembut itu berjaya menarik perhatian aku dari terus melihat sekeliling.
"Dari hari pertama kita kenal, banyak yang saya dah tahu pasal awak. Awak banyak cerita tentang kehidupan awak tapi tak banyak yang awak tahu tentang saya," sambungnya.
Aku mengangguk. Aku hanya tahu suku dari kehidupannya. Apa pekerjaan dia, di mana dia bekerja dan tentang keluarganya. Aku juga tahu tentang latar belakangnya sedikit namun aku tak pernah bertanya tentang hubungan lalu dia atau selain dari itu.
"Ada apa-apa yang awak nak kongsi dengan saya?" Lembut aku menyoal. Dia seakan tersentak. Anak matanya bergetar dan aku perasan sesuatu.
"Are you crying?" soalku. Tak menyangka yang dia akan menangis.
"No." Dia tersenyum kelat dan mengesat tubir matanya yang sudah bergenang dengan air mata.
"Jangan berdalih. Mulut boleh tipu tapi hati dan air mata?"
Aku lihat bibirnya bergetar, berpaling dari terus melihat aku. Air mata yang dikesat sejak tadi makin berjuraian membasahi pipinya. Kaca matanya turut ditanggalkan.
"Aisar, it's okay to cry. Kalau awak rasa nak menangis, go ahead. No one will judge you," bisikku lembut.
Dengan itu, dia menghamburkan tangisannya sehingga terenjut-enjut bahunya saat dia menangis. Matanya merah, habis sisa tangisnya membuatkan wajahnya sembab. Aku keluarkan sapu tangan yang berada dalam beg tangan lalu aku hulurkan pada dia. Dia sambut dengan tangan yang terketar.
"I'm sorry," gumamnya.
"It's okay. Don't be sorry."
Tak pernah aku lihat Aisar lemah begini. Pasti ada sesuatu yang terjadi sehinggakan dia tak mampu untuk pendam lagi masalahnya.
"Saya nak cerita sesuatu dengan awak boleh?" tanya dia dengan suaranya yang serak. Aku angguk sekali, beri izin untuk dia bercerita.
"Apa dia?"
Dia mengambil nafas panjang.
"Saya ada trauma."
"Trauma?"
Aku lihat dia dan pandangan mata kami bersabung. Sekali lagi anak matanya bergetar. Begitu juga bibirnya.
"Saya trauma dengan perempuan."
BERSAMBUNG
YOU ARE READING
𝐀𝐊𝐇𝐈𝐑 𝐂𝐄𝐑𝐈𝐓𝐀 𝐊𝐈𝐓𝐀 (𝐂)
RomanceSaat cintanya terputus di tengah jalan, Izara menutup pintu hatinya dan meneruskan kehidupan dengan luka yang berbekas di hati. Setahun masa yang diambil untuk pulih sehinggalah dia mengambil risiko untuk berkenalan dengan seorang jejaka tinggi lamp...