BAB 1

71 5 0
                                    


AKU membelek telefon. Melihat status WhatsApp bekas teman lelaki aku. Belum sampai seminggu kami berpisah, dia sudah bangga memberitahu semua orang yang dia tidak berpunya?

"Kau dah tengok status jantan tu? Post video sedih pula. Acah-acah tersakiti padahal dia yang menyakiti. Play victim," sembur kawanku.

Hampir melatah aku dibuatnya. Tiba-tiba saja terjah masuk ke dalam bilik aku.

"Kau ni pun, ketuklah pintu dulu."

"Tak ada masa aku nak ketuk. Eloklah kau putus dengan dia. Dia layan kau sesuka hati dia aje. Dari zaman kau orang diploma lagi, lepas empat tahun, tiba-tiba nak minta putus sebab nak fokus study? Tinggal satu sem aje dia tu. Alasan tak masuk akal langsung," bebel Humairah panjang lebar.

Inilah kawan aku, Humairah Az-Zahra. Kawan baik aku sejak kami sekolah rendah lagi. Kalau dia datang rumah aku, memang dia suka terjah masuk macam rumah sendiri aje.

Empat tahun. Dari penghujung semester satu aku sehinggalah sekarang, bukan masa yang singkat. Tamat saja pengajian di peringkat diploma, aku buat keputusan untuk terus bekerja. Khair pula melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda.

Aku fikirkan hubungan kami akan baik-baik aje, rupanya tersungkur di tengah jalan. Musnah segala harapan dan angan-angan untuk mendirikan rumahtangga bersama.

Aku memerhati Humairah yang menghempaskan punggung ke atas katilku.

"Kau tak nak lawan ke?"

"Aku dah malas. Dah penat. Penat sangat," keluhku. Humairah mendengus geram.

"Dah macam ni pun, kau masih pilih untuk pendam. Cuba luah semua benda yang kau rasa dekat dia. Banyak je benda yang kau boleh guna untuk lawan dia."

Aku diam. Mata merenung siling.

"Dari hari tu kau cakap hubungan kau macam nak hancur. Sekali, betul-betul hancur. Aku ingat lagi kau cakap kalau boleh putar masa, kau tak nak kenal dia langsung. Kau pertahankan hubungan kau orang, tapi dia buang kau macam itu aje."

"Mungkin Tuhan nak tunjuk perangai sebenar dia sebelum kita orang melangkah lebih jauh."

"Eloklah, minta dijauhkan daripada lelaki macam tu." Humairah datang merapat, memeluk tubuhku erat.

"Kesian aku. Dah penat jaga hati dan perasaan orang. Sekarang, aku nak dia rehat." Aku senyum tawar.

Humairah hanya diam, tidak bersuara lagi. Mungkin dia tak mahu lihat aku terus bersedih. Kalau dia bising pun, apa yang aku boleh buat? Nasi sudah menjadi bubur. Yang lepas biarlah lepas. Memang betul kami tiada jodoh.

Aku ada juga beritahu pada rakan-rakan terdekat yang lain, rupanya ramai yang tidak sukakan bekas teman lelaki aku. Kata mereka, mereka sudah lama perasan yang Khair itu 'sesuatu' sangat.

'Dia tu dari dulu aku dah perasan lain macam.'

'Nasib baik kau break dengan dia. You deserve better.'

'Sekarang baru habis pertandingan kawad kan? Kau kenal dia dulu pun lepas pertandingan kawad. Kau tak rasa apa yang aku rasa?'

Lain pula reaksi ibu aku. Dia hanya ketawakan aku dan menganggap andaian dia selama ini betul.

'Dari awal ibu tengok dia, ibu dah tahu dia ni sesuatu.'

Firasat seorang ibu sentiasa betul.

Kawan-kawan khair pun, bukannya sukakan aku. Masing-masing pernah memandang rendah pada aku dulu. Kononnya aku tidak cantik dan ahli unit beruniform seperti mereka boleh dapatkan perempuan yang lebih cantik. Semudah ABC kata mereka.

Aku malas mahu bersangka buruk dan berdendam lagi jadi aku hanya reda. Andai kata dia menipu aku dan dia ada perempuan lain dibelakangku, aku berdoa agar hubungannya berkekalan dan tidak terputus seperti kami.

"Mak aku nak kenenkan kau dengan anak kawan dia," ujar Humairah tiba-tiba. Aku terus pandang dia.

"Serius? Handsome tak?" soalku, melayan saja ceritanya. Tidak mahu mengambil tahu sangat hal yang tiada manfaatnya untuk aku.

"Boleh tahan. Masalahnya, lelaki tu dah ada anak."

"Astaghfirullah! Tak sanggup aku jadi madu lebah!"

Bergema tawa kami di dalam bilik itu. Nak jodohkan aku dengan suami orang? Jangan cari pasal. Silap-silap aku kena kejar dengan lembing nanti.

Biarlah kebahagiaan aku yang dirampas. Aku tak mahu menjadi punca runtuhnya sebuah masjid dan musnahnya sebuah keluarga yang dibina. Aku tak mahu menjadi perempuan yang tiada maruah diri dengan menjadi perampas.

Aku bernilai, cuma tiada nilai di mata orang yang salah.



BERSAMBUNG

𝐀𝐊𝐇𝐈𝐑 𝐂𝐄𝐑𝐈𝐓𝐀 𝐊𝐈𝐓𝐀 (𝐂)Where stories live. Discover now