BAB 6

60 5 0
                                    

"DULU saya pernah bercinta masa sekolah. Perempuan tu dua tahun lebih tua daripada saya. Kami bercinta masa saya tingkatan dua. Semuanya baik-baik aje, sampailah dia habis SPM. Dia kena balik ke Sarawak atas urusan keluarga. Sebulan dua selepas dia ke sana, saya dengan dia masih berhubungan macam biasa. Sampailah satu hari tu..."

Jeda. Dia berhenti sekejap untuk menyusun kata.

"Dia hilangkan diri. Saya tak dapat telefon dia, semua sosial media dia saya tak dapat tengok sebab dia block saya. Saya tak dapat berhubung dengan dia langsung. Saya tertanya-tanya, apa salah saya pada dia sampai dia buat saya macam tu. Rupa-rupanya empat bulan selepas tu, saya dapat tahu dia dah bertunang dengan orang kampung dia," sambungnya.

Aku terkedu.

"Dia bertunang tanpa pengetahuan saya. Dia tinggalkan saya tanpa penjelasan. Saya tahu dia dah bertunang pun sebab kawan sekelas saya yang bagitahu." Aisar memakai semula kaca matanya.

Wajahnya mendung. Pasti rasa terkilan, kecewa dan marah bila mengenangkan masa lalu.

"Sejak dari hari itu, saya kemurungan. Saya rasa tertipu sangat. Saya banyak diamkan diri, saya berkurung dalam bilik sampai satu tahap umi saya terpaksa bawa saya jumpa psikiatri."

Nafasku bagai terhenti mendengarkan itu. Jumpa psikiatri?

"Maaf saya tanya, tapi awak ada cederakan diri awak ke? Maksud saya..."

"Self harm? Ada, banyak kali." Jawapan dia membuatkan bulu romaku tegak. Lidahku kelu. Tidak menjangkakan jawapannya.

"Perbuatan dia meninggalkan kesan yang paling dalam pada diri saya. Hati saya hancur. Saya hampir tak kenal diri saya sendiri masa tu. Saya cuma fikir tentang mati dan tak nak rasa sakit lagi."

"Sejak dari hari tu juga, saya tak berkawan dengan perempuan. Masa saya sambung belajar, urusan saya dengan perempuan hanya semata-mata untuk assignment saja. Bila saya dah mula bekerja, saya jaga batas saya dengan pekerja perempuan yang lain. Semuanya sebab kerja. Tak ada sebab lain," terangnya.

Mata aku tak lepas dari memandang sisi wajahnya. Dia hanya merenung ke arah tasik. Air mata tak lagi mengalir.

"Kalau awak trauma dengan perempuan, kenapa awak pilih untuk berkenalan dengan saya?" Soalan itu laju meniti dari bibirku.

Dia yang tak terduga dengan soalan aku terus menoleh ke arahku.

"Sebab saya nak tengok, sama ada saya masih ada rasa trauma dengan perempuan atau tidak," gumamnya.

"Dan sekarang trauma awak masih ada?" Perlahan kepalanya digelengkan.

"Sejak saya kenal awak, saya tak rasa gelisah lagi. Saya rasa sedikit tenang dan saya mula rasa sesuatu yang lain." Aku perasan bibirnya mula mengulum senyuman.

"Rasa apa?" soalku ingin tahu. Aku benar-benar ingin tahu semua tentang dirinya. Aku ingin jadi pendengar setianya dan tempat untuk dia bersandar.

"Rasa sayang. Dalam hati ni, saya dah mula simpan rasa suka dan sayang untuk awak Izara," jelasnya.

Tak berkelip mataku mendengar bicaranya. Jantung yang berdegup tenang tadi mula berubah rentak sehingga nafasku juga hampir tersekat.

"Awak tak main-main?" Dia menggeleng sebagai jawapan. Dia serius!

"Saya tak tahu sejak bila dan macam mana. Niat saya cuma nak berkenalan dan jadikan awak sebagai kawan. Pada masa yang sama, saya cuba nak atasi rasa trauma saya. Tapi lama-lama rasa tu berubah. Rasa suka untuk berkawan tu dah berubah jadi sayang. Tiap kali teringatkan awak sebelum tidur, jantung saya..." Dia letakkan tangannya di atas dada, di tempat terletaknya jantung.

"Jantung saya asyik berdegup laju, berdebar lain macam." Wajahnya mula berona merah. Mungkin malu mengakui rasa sukanya pada aku.

Aku lihat dia tak berhenti dari merenungku sehinggakan aku naik segan untuk menatap matanya lebih lama.

Jujur aku katakan, aku pun menyukai dirinya dalam diam. Banyak kali aku berfikir, sama ada keputusan aku untuk simpan perasaan padanya adalah perkara yang baik atau tidak.

Sama seperti dia, aku takut dikecewakan lagi. Aku tak nak perkara pahit itu berulang lagi tapi sampai bila aku perlu hidup teringatkan kisah silam? Mungkin, ini yang terbaik. Selagi aku tak ambil risiko, aku takkan tahu apa yang bakal aku tempuhi di hari akan datang.

"Saya faham kalau awak tak rasa apa yang saya rasa. Mungkin, awak masih takut dengan perkara lepas. Saya minta maaf kalau awak rasa saya pergunakan awak untuk saya atasi trauma saya atau buat awak tak selesa. Saya..."

"Saya pun." Aku memotong ayatnya. Berkerut dahinya mendengar suara aku yang perlahan itu. Mungkin tidak berapa jelas pada pendengarannya.

"Pardon?"

"Saya pun sukakan awak Aisar," luahku.

Akhirnya, apa yang terbuku di hati, dapat aku luahkan pada dia. Melihatkan wajahnya yang terkejut dan mulutnya yang terbuka luas, pasti dia tidak sangka dengan pengakuanku itu. Aku lepaskan tawa.

"Janganlah menganga besar sangat. Nanti gajah masuk," usikku. Teringat akan gurauannya pagi tadi.

"Awak main-main, kan?" soalnya tidak percaya.

"Nampak macam saya main-main ke?"

Dia diam, tidak jadi ingin bersuara. Wajahnya terus berubah, nampak takut. Apa yang dia sedang fikirkan?

"Aisar, kita sama-sama pernah rasa dikhianati. Kita berdua ditinggalkan. Sakitnya, kita sendiri tahu macam mana. Tapi, tak selamanya kita perlu simpan rasa takut untuk perkara yang dah lepas. Kita kena berani ambil risiko dan saya nak ambil risiko ini untuk bersama dengan awak," nyataku.

"Saya nak jadi tempat untuk awak bersandar dan tempat awak meluah masalah awak. Saya nak jadi payung untuk awak berteduh dan saya nak jadi rumah untuk awak berehat. Awak sudi untuk ambil risiko ni dengan saya?" Sambungku lagi.

"Rumah saya yang saya duduk selama ni, banyak bocornya." Dia senyum kelat.

"Saya akan baiki. Andai kata rumah pertama awak tak mampu jadi rumah untuk awak berteduh, awak boleh datang pada saya. Saya boleh jadi rumah kedua untuk awak berehat."

Pandangan mata kami bertautan. Senyuman yang dia ukir, lebih manis berbanding tadi.

"Janji yang awak akan ada di setiap jatuh dan bangun saya?"

"Sentiasa. Saya janji Aisar. Asalkan awak terima baik dan buruk saya. Kita sama-sama bina rumah yang selesa untuk kita berdua ya?" soalku manis, mengundang anggukan ceria darinya.

"Saya terima baik dan buruk awak Izara. Terima kasih sebab sudi untuk jadi sebahagian dari kisah hidup saya. Semoga rumah yang kita bina kekal sehingga kita mampu untuk membina masjid," ucapnya.

"Inshallah." Senyuman yang aku hadiahkan buatnya cukup untuk buat dia faham bahawa aku benar-benar ingin ada bersama dengannya. Selamanya.

BERSAMBUNG



𝐀𝐊𝐇𝐈𝐑 𝐂𝐄𝐑𝐈𝐓𝐀 𝐊𝐈𝐓𝐀 (𝐂)Where stories live. Discover now