BAB 57

109 7 0
                                    


RAYSHA Adilla tersedar daripada tidur. Cahaya matahari yang mula menyinari segenap ruang memaksanya untuk membuka kelopak mata. Tangan mencapai telefon di atas meja kecil di sebelah katil.

Ya Allah, sudah pukul 9 pagi. Aku ni tak kerja ke? Dengan subuh ke mana, apa ke mana.

Tapi untuk bangun, terasa berat yang amat. Segala urat badannya seakan bersimpul-simpul. Rasa seperti mahu demam pun ada juga. Kepala sakit, badan sakit, hati tak usah cakaplah. Sudah lebih dari hancur rasanya.

Dengan kudrat yang masih berbaki, dikerah tenaganya untuk menyelesaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Meskipun lambat, asalkan dia tunai. Subuh gajah pun gajahlah. Jangan harimau sudah.

Selesai, Raysha Adilla kembali beradu. Ingin mendapatkan semula tenaga yang hilang.



PETANGNYA, Izham Hayqal yang baru pulang dari pejabat melepaskan lelah di ruang tamu. Tali leher yang masih berbelit elok dilonggarkan lalu tiga butang teratas kemejanya dibuka. Dia kian berbaring sambil kepala disandar selesa pada bahu sofa. Belakang telapak tangan hinggap di dahi pabila kelopak mata kian memberat.

Meskipun hari ini dia masuk ke pejabat, namun seharian suntuk fokusnya lari. Badan letih, tapi otak masih aktif bekerja. Ditambah pula kurangnya tidur makin membuat dia kelihatan kusut dan tidak bermaya.

Sejak kelmarin, Izham Hayqal tidak dapat tidur. Segala luahan Raysha Adilla ligat berulang tayang dalam minda. Dan mungkin kerana itu jugalah dia sudah seperti orang tak terurus rupanya.

Izham Hayqal akui, tanpa sedar begitu teruk layanan dan cara dia perlakukan wanita yang sepatutnya menjadi ratu dalam hidupnya.

Raysha Adilla, satu nama yang indah seindah rupanya. Tapi hadir membawa seribu malapetaka. Mereka berdua toksik bila bersama, tapi tanpanya terasa kosong dan lara. Entah benar jodoh ini dari tuhan, atau sebagai pengajaran kerana melanggar aturan agama yang telah ditetapkan.

Izham Hayqal keliru. Makin difikirkan, makin berserabut kepala otak. Jika tak difikir pula, makin besarlah jurang antara dirinya dengan Raysha Adilla.

Sebut tentang Raysha Adilla, bukannya dia tak mahu memujuk. Tapi dia takut isterinya itu belum reda amarahnya. Jadi biarlah diberi ruang dahulu untuk masing-masing bertenang. Bercakap dalam keadaan marah pun tak membawa apa-apa kebaikan.

Malamnya setelah membersihkan diri, Izham Hayqal ke dapur untuk mencari makanan. Selalunya waktu-waktu begini, makan malam sudah sedia terhidang. Tapi melihatkan meja makan yang kosong, hatinya hampa.

Bagai orang bodoh yang tidak tahu apa yang patut dilakukan, Izham Hayqal asyik mundar-mandir di depan pintu bilik tidur Raysha Adilla.

Dia mula diserang rasa risau. Kebiasaan isterinya akan keluar dari kamar selepas maghrib untuk makan atau menonton televisyen misalnya. Tapi hari ini senyap sunyi.

Adakah Raysha Adilla hendak berkurung saja di kamar. Tidak laparkah? Apa sahaja yang dilakukannya di dalam bilik? Tidak bosankah?

Marah sangatkah wanita itu padanya? Atau Raysha Adilla tidak mahu lagi melihat wajahnya?

Kau boleh tanya soalan bodoh itukah Izham Hayqal? Kalau engkau yang ada di tempatnya, agak-agak kau marah tak? Akalnya bersuara.

Sedang dia penat memikirkan soal Raysha Adilla, telefonnya berdering minta diangkat.

Hanani.

Izham Hayqal mengeluh. Nama Hanani yang terpampang tak lagi menarik untuknya. Entah kenapa, rasa ketertarikannya pada gadis ayu itu mula pudar. Mahu tak mahu, dijawab juga panggilan itu. Mungkin inilah masa yang tepat untuk dia memperjelas perkara.

Izham Hayqal tahu, tanpa sengaja dia telah membuat Hanani ternanti. Dia tiada niat mahu mempermainkan gadis itu. Memang pada awalnya, dia fikir masih ada harapan untuk dia perbaiki kesilapannya terhadap Hanani. Tapi dia sedar, ada kesilapan lebih lampau yang perlu dia perbaiki. Iaitu dengan Raysha Adilla. Nampak gaya, sudah tiba masa untuk dia fokus pada rumah tangganya.

"Ya baik, jumpa nanti."

Tujuannya hanya satu. Menerangkan letak duduk hal pada Hanani.

Lengkap bersiap, sekali lagi Raysha Adilla terlintas di fikiran. Keluhan kecil terlepas lantas langkah kaki dibawa ke bilik wanita itu. Dia ingin memberi tahu bahawa dia ingin keluar sebentar.

Pintu diketuk beberapa kali namun tiada sahutan.

"Dilla." Panggil Izham Hayqal sekali. Namun hampa, masih senyap. Malas mahu menunggu lebih lama, tombol pintu dipulas. Nasib tidak berkunci.

"Dilla? Raysha Adilla?"

Sudah tidurkah? Awalnya. Komen Izham Hayqal dalam hati. Dia cuba melangkah perlahan-lahan mendekati katil. Bilik yang gelap tanpa cahaya sedikit pun itu menyukarkan pandangannya. Tapi dia tahu Raysha Adilla sedang berbaring membelakanginya.

"Sayang." Lagi sekali Izham Hayqal memanggil lalu bahu gadis itu ditarik menghadapnya.

Panas! Dari memegang bahunya saja, Izham Hayqal dapat merasakan haba yang kuat. Demamkah isterinya ini?

Tangan Izham Hayqal laju hingap pada dahi dan leher Raysha Adilla yang matanya masih tertutup rapat.

Sah! Pantasan tidak keluar bilik dari semalam. Mungkin juga wanita itu tidak ke pejabat siang tadi. Fikirnya.

Izham Hayqal bangun dan keluar dari bilik Raysha Adilla. Beberapa minit kemudian, dia kembali dengan sehelai kain kecil dan mangkuk berisi air. Diperah lalu dilapkan ke beberapa bahagian tubuh yang tercapai. Suhu badan Raysha Adilla yang terlalu tinggi membuatkan badannya sedikit menggigil.

Melihatkan itu, Izham Hayqal diserang rasa serba salah. Dia kian berbaring di sebelah Raysha Adilla. Selimut ditarik dan ditutupi hampir keseluruhan. Pinggang si isteri dirangkul dan dahi licin itu dikucup lembut.

"I'm sorry." Ucapnya perlahan.

Lama dia menemani Raysha Adilla tidur, sehingga akhirnya dia turut terlena di situ.

Toxique [OG]Where stories live. Discover now