AIREEN tiba di rumah. Dia cuma sekadar menjawab sapaan Puan Ramlah. Bukan mahu bersikap kurang ajar, tetapi bahunya terasa amat berat. Dia perlu bersendirian.Dia berfikir sejauh mana lagikah ujiannya? Seberat apa lagikah ujiannya? Adakah kerana dia tidak redha dengan ujian ini, hidupnya terasa tidak tenang?
Apakah dia tidak berhak memilih untuk menjaga hatinya sendiri? Apakah dia tidak boleh meminta sedikit pun masa untuk dia pulih dari masa lalunya?
Ada hari dia rasa dia sudah penat menangis tetapi ada hari dia menangis sehingga tertidur.
Apa yang orang nampak cumalah luaran, tapi hakikatnya hanya dia dan Allah sahaja yang tahu betapa sukarnya untuk dia menjalani kehidupan seharian.
MALAM itu setelah menolong Puan Ramlah siapkan makan malam, Aireen terus masuk ke bilik. Dia tiada selera. Dia keluar pun kerana tidak mahu Puan Ramlah risaukannya.
"Reen.. boleh aku masuk?" Kedengaran suara Raihana di sebalik pintu.
"Masuklah Ana.."
"Reen.. kenapa tak nak makan ni? Umi cakap lepas balik tadi kau monyok je.."
Raihana duduk di sisi katil. Dia pandang Aireen yang menyandar ke kepala katil.
Aireen menggeleng kepalanya.
Raihana menyentuh dahi Aireen. "Tak panas pun. Kau ada rasa tak sihat ke? Nak pergi klinik?"
Aireen menggeleng lagi. Lama dia pandang Raihana. Raihana baik sangat dengan dia.
"Ana.. aku ni jahat sangat ke?" Soal Aireen perlahan.
Raihana mengerutkan dahi. "Kenapa kau tanya macam tu? Tiba-tiba je?"
"Lelaki tengahari tadi.. tulah bekas tunang aku. Yang sekarang jadi adik ipar aku. Harith.." Jelas Aireen. Dia tahu Raihana terkejut bila Harith menggelarkan dirinya abang tengahari tadi.
Raihana terdiam. Dia terkejut tetapi dia cuba untuk tidak memberi reaksi berlebihan kerana tidak mahu menambahkan luka Aireen.
Aireen tunduk bermain dengan jarinya. Dia tidak tahu pada siapa harus dia luahkan.
Hatinya kembali sebak. Air matanya mula bertakung. Sejak petang tadi dia menangis.
"Aku tak tahu kenapa dia cari aku lagi Ana.. aku dah tak nak jumpa dia.. aku cuba mengelak dari bertemu dia, bukan sebab aku tak terima dia adik ipar aku. Tapi aku tak bersedia berdepan dengan dia.." Ujar Aireen.
Menipulah jika dia boleh terima sepenuhnya Harith itu sudah menjadi adik iparnya tetapi dia sudah tidak berharap pada Harith. Dalam erti kata lain, sudah tiada apa-apa antara mereka. Hatinya sudah kosong.
Raihana menggengam tangan Aireen. Dia tekun mendengar luahan Aireen.
"Tapi bukan tu je Ana.. yang aku sakit hati, along aku Ana.. along aku yang bagitahu dia aku kerja dekat mana."
"Tadi aku balik aku jumpa along aku.. aku cakap dekat dia kenapa dia buat aku macam ni, kenapa dia bagitahu Harith tapi along aku tak habis-habis bagitahu yang aku kena terima Harith tu dah jadi ahli keluarga aku. Along cakap aku tak boleh macam ni, aku tak boleh putuskan hubungan aku dengan keluarga aku, aku berdosa.. tapi Ana.." Aireen menepuk dadanya dengan linangan air mata.
"Tapi hati aku yang sakit ni.. sakit ni? Aku yang kena hadap ni seorang diri.. macam mana? Diorang ingat hati aku ni hati batu ke? Aku ni tak reti sakit ke? Aku tak reti sedih ke? Aku sakit Ana.. hati aku sakit.. Tuhan saja tahu hari-hari aku minta, hari-hari aku doa supaya aku boleh redha.. supaya aku boleh terima semua ni.. aku dah cuba Ana.. tapi aku tak boleh.. aku tak boleh.." Tangis Aireen lagi. Dia luahkan apa yang terbuku di hatinya. Sudah lama dia pendamkan semua ini.
YOU ARE READING
TAKDIR YANG SAMA [EBOOK]
RomanceQaleef Akhtar x Aireen Qaisara AIREEN QAISARA seorang gadis biasa yang lahir dalam keluarga sederhana. Anak kedua dari tiga beradik, Aireen dianggap seorang yang pendiam dan suka menyendiri oleh keluarganya. Selama dua puluh lima tahun Aireen menyim...