BAB 3 | HIS POSSESSION

884 83 8
                                    

SEROJA mematikan api dapur sambil tersenyum puas melihat pengat nangka yang sudah siap dimasak. Diambilnya bekas lutsinar dari dalam kabinet dapur lalu dengan berhati-hati, pengat tersebut dimasukkan ke dalam bekas. Semerbak bau pengat nangka memenuhi ruang udara.

"Dah siap ke pengat kamu tu, Seroja?" Suara serak Cik Hajar kedengaran dari arah tangga.

Automatik, mata Seroja tertancap pada susuk tubuh si emak yang perlahan-lahan menuruni tangga. Kemudian, kerusi di meja makan ditariknya sebelum melabuh duduk. Sesekali, Cik Hajar terbatuk-batuk.

"Dah siap ni, mak. Kejap lagi Seroja nak pergi hantar dekat rumah Cik Lijah."

Tangan Seroja lincah memasukkan bekas lutsinar itu ke dalam plastik. Senyuman yang bergayut di bibir tak hilang pudarnya sejak tadi. Tak sabar mahu Irwan merasa pengatnya. Tatkala terdengar si emak kembali batuk, segera Seroja angkat kepala. Riak risau terpamer di wajah. Langsung Cik Hajar didekati.

"Makin teruk pula Seroja tengok batuk mak ni. Risau Seroja dibuatnya. Mak tak nak pergi klinik ke?" Sambil bertanya, Seroja membongkokkan tubuh lalu dada si emak diusap perlahan. Cik Hajar masih lagi terbatuk-batuk. Merah padam wajah orang tua itu menahan perit di tenggorok.

"Sikit je ni, Seroja... Esok lusa baiklah tu..." Cik Hajar menggeleng. Enggan menyusahkan si anak. Lagipun, dia yakin batuknya ini tidak teruk seperti yang Seroja bayangkan. Lambat-laun, hilanglah batuknya nanti. Lumrah hidup ketika usia semakin senja, macam-macam penyakit datang menyerang.

Mencebik geram, Seroja kembali tegakkan badan. Itulah perangai mak. Takut sangat kalau dia ajak ke klinik. Seboleh-bolehnya si emak cuba mengelak. Seroja bukan apa, dia cuma risaukan kesihatan Cik Hajar yang kian melarat sejak dua menjak ini. Orang tua itu selalu saja batuk-batuk. Kadang-kadang Seroja nampak maknya akan mengurut bahagian dada seperti menahan nyeri di wilayah itu. Bila ditanya, laju si emak mengubah arah bicara.

"Kalau tak elok juga... Seroja akan paksa mak ke klinik. Masa tu, mak tak boleh nak mengelat lagi," ugut Seroja.

Leteran si anak disambut dengan gelak tawa Cik Hajar. Kemudian, mata tuanya menyorot pada langkah Seroja.

"Seroja nak ke rumah Cik Lijah dah ni. Mak nak ikut sekali tak?" Seroja mencapai tudung sarung yang disangkut pada kerusi.

"Seroja jelah pergi... Mak rasa tak larat pula. Nak berehat dalam bilik." Cik Hajah menolak ajakan Seroja seraya menolak kerusi ke belakang. Lebih baik dia berehat di rumah saja.

Baru beberapa tapak melangkah, kaki kembali terpasak pada lantai rumah. Terpejam sekejap mata Cik Hajar apabila nyeri di dadanya kembali menyerang. Kening berkerut, bibir diketap. Spontan, tangan dilekapkan ke dada, mengurut perlahan di kawasan situ.

"Mak okey ke ni? Nampak pucat muka tu... Seroja teman mak kat rumah ajelah. Pengat ni nanti Seroja minta Abang Wan ambil. Risau pula Seroja tinggalkan mak sorang-sorang."

Deras tubuh Cik Hajar dipapahnya lalu dibantu duduk semula di kerusi. Plastik berisi pengat nangka diletakkan kembali di atas meja makan. Namun, belum sempat Seroja menanggalkan tudung dari kepala, Cik Hajar menarik lembut tangan anak daranya.

"Seroja pergilah rumah Cik Lijah tu... Jangan risaukan mak. Kejap lagi surutlah sakit ni... Seroja dah janji dengan Irwan, kan?" Cik Hajar tatap anak mata Seroja. Tersenyum kecil, hati tuanya memuji kecantikan si anak. Raut wajah Seroja yang manis, sangat tenang untuk dipandang terus.

Serba salah Seroja jadinya. Memang betul dia ada berjanji dengan Irwan untuk bertemu sekejap lagi. Namun, kerisauan terhadap si emak membuatkan hatinya terasa berat untuk pergi. Buatnya ada apa-apa terjadi kepada Cik Hajar, macam mana?

4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIELWhere stories live. Discover now