TEGANG.
Atmosfera di dalam bilik mesyuarat itu terasa sesak sekali. Berpeluh-peluh manusia-manusia yang ada di situ walhal, pendingin hawa telah diset ke tahap maksima. Masing-masing tunduk menekur meja yang bersepah dengan pelbagai dokumen. Baru sebentar tadi dokumen-dokumen itu dicampak kasar ke atas meja. Di hujung meja, Zariel bersandar tenang di kerusinya. Hanya bebola matanya yang sesekali bergerak, memandang tajam setiap seorang yang ada bersamanya sekarang.
"Aku cuma nak tahu... kenapa laporan jualan bulan ni jauh lebih rendah dari yang dijangkakan?"
Nadanya keras. Matanya yang sedia tajam membunuh itu, semakin memanah luas ke arah setiap pekerjanya yang kian tertunduk-tunduk. Barangkali gerun untuk mengangkat muka serta bersuara dari pertanyaan bos besar mereka. Sikit saja silap, boleh hilang kerja dibuatnya.
Khairul, pengurus pemasaran akhirnya mencelah setelah lebih seminit hening antara mereka mendominasi suasana. Khairul berdehem sebelum menyusun kata.
"Sebenarnya, Tuan Zariel... kita ada masalah sikit dengan isu penghantaran yang terpaksa ditangguhkan akibat masalah bekalan yang ada. Kita tak cukup stok untuk hantar kepada para pelanggan." Melihat raut wajah sang majikan yang semakin merah padam, Khairul menelan liur. Jantung dalam sangkar mula berkompang bagai nak gila.
Merapat ke dada meja, jari-jemari disulam sesama sendiri. Rahang Zariel ikut menegang.
"Pertama, masalah penghantaran. Kedua, masalah stok tak cukup. Jadi, kau selaku pengurus pemasaran buat apa?!" Suara Zariel naik seoktaf, mengejutkan semua orang di bilik mesyuarat itu. Amar lagilah tak senang duduk. Kaget melihat mod monsun Zariel. Silap hari bulan, dia pun terkena sama tempiasnya. Ini kalau dipetik lagi suis kemarahan lelaki itu, mahu terbalik isi bumi.
Khairul menarik nafas panjang, cuba meredakan dentuman-dentuman dalam dadanya.
"Untuk tangani isu kekurangan stok bekalan, saya dah hubungi beberapa orang pembekal untuk menyediakan bekalan dengan lebih cepat dan mereka dah bersetuju untuk menghantar stok-stok tersebut dalam masa terdekat. Bila stok bekalan dah sampai, team saya akan terus buat penghantaran kepada pelanggan-pelanggan kita. Selain itu, saya juga sudah memulakan kempen pemasaran semula untuk menarik pelanggan baharu dan mengekalkan pelanggan yang sedia ada. Cuma, kita perlukan sedikit masa untuk dapatkan hasil."
Sepatah-sepatah Khairul menuturkan ayatnya. Dalam masa yang sama, lega jugalah melihat Zariel yang terangguk-angguk. Berharap segala jalan penyelesaian yang dibentangkan dapat diterima oleh lelaki itu.
"Satu minggu. Dalam tempoh tersebut, aku nak tengok semula laporan jualan. Kau tahukan, setiap minit yang berjalan adalah duit? Jadi, aku tak mahu dalam tempoh tu ada masalah lain pula yang timbul." Lurus telunjuk Zariel menghala ke wajah Khairul. Soal kerja, Zariel tidak akan memberi muka.
"Baik, Tuan Zariel." Menghembus helaan lega, Khairul menyapu peluh di dahi. Satu beban sudah jatuh dari pundaknya. Selepas ini, dia perlu fokus pada perkara yang baru dibincangkan bersama Zariel tadi.
─── ⊹⊱✿⊰⊹ ───
SETIBANYA di lobi, segera Zariel membawa keluar telefon pintar dari saku seluar. Mata melingas mencari kelibat seseorang. Sesekali, ada seorang dua pekerja yang berselisih dengannya melemparkan senyum. Rata-rata kaum wanita saja yang berani tersengih memandang ke arahnya. Yang lelaki pula sekadar mengucap salam dan menunduk hormat.
"Sorry, Ril... Aku rasa aku tak dapatlah join kau keluar makan harini. Intan tiba-tiba call ajak aku jumpa wedding planner pula." Wafiq di hujung talian mula berasa serba salah. Dia terpaksa membatalkan temu janjinya bersama Zariel setelah hampir seminggu mereka berdua tidak bertemu dek kesibukan kerja yang perlu diutamakan.
![](https://img.wattpad.com/cover/372602240-288-k867589.jpg)
YOU ARE READING
4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIEL
Romance*Previously known as HIS POSSESSION* Hidup berdua bersama mak di kampung, cukup membahagiakan Seroja. Adanya Irwan yang tak pernah jemu mengusik, melengkapkan lagi hari-harinya. Namun, takdir hidup tidak selalunya indah. Ujian yang datang bertimpa-t...