BAB 7 | HIS POSSESSION

491 46 4
                                    

TOPI jerami di atas kepala ditanggalkan lalu dikibas-kibas pada wajah. Panas terik mentari kian menggigit kulit. Seroja menarik nafas dalam seraya mengatur langkah ke pondok. Pak Abu dan Irwan juga ada di situ, santai bersembang sambil menjamah jemput-jemput udang.

"Ha, Seroja... jom makan. Mak Uteh kamu ada buatkan jemput-jemput udang pagi ni." Sepinggan jemput-jemput udang ditolak kepada Seroja yang sudah mengambil duduk.

"Takpelah, Pak Abu dengan Abang Wan makanlah dulu. Seroja tak lapar lagi." Tawar senyuman Seroja menolak pelawaan Pak Abu. Tubuhnya disandarkan ke tiang pondok sambil merenung jauh ke hadapan. Sesekali, keluhan berat terbit dari bibirnya.

Mak.

Semerta, Seroja teringatkan si emak di rumah. Senario kala dinihari tadi kembali berlayar-layar di ruang mata, umpama lakonan semula.

"Ya Allah... mak! Mak buat apa kat dapur subuh-subuh ni? Kan Seroja dah pesan... lepas mengaji, mak berehat aje kat bilik. Tempahan-tempahan ni biarlah Seroja yang siapkan. Mak tu baru keluar hospital. Tak berapa nak sihat lagi." Lekas tangan Cik Hajar ditarik dan dibawa ke meja makan.

Kemudian, Seroja bergerak menutup api dapur. Daun pisang yang siap dilayur diletakkan di atas dulang lalu ditatang ke meja.

"Lain kali kalau mak nak buat apa-apa, panggil je Seroja."

Cik Hajar sekadar mengukir senyum, tersentuh hati tuanya melihat raut muka si anak yang jelas tampak risau memikirkan keadaan dirinya.

"Apa salahnya mak tolong kamu siapkan tempahan-tempahan ni semua... Lagipun, mak tak retilah nak duduk goyang kaki macam mem besar. Lemau tubuh mak ni asyik disuruh baring je. Kamu tak payahlah risaukan mak sangat."

"Mem besar?" Tawa Seroja memecah sunyi pada subuh hari itu.

Sesudu adunan tepung lemak diratakan di atas daun pisang. Kelapa parut yang dimasak bersama gula merah dan digentel kecil turut diletakkan di atasnya. Kemudian, Seroja melipat kemas kedua-dua hujung daun pisang lalu dimasukkan ke dalam pengukus. Langkah yang sama dilakukan sehingga habis.

"Habistu, siapa pula mem besar dalam rumah ni kalau bukan mak? Takkan Seroja pulak?" Si emak ditatap bersama tawa yang masih bersisa. Periuk pengukus diangkat ke atas dapur. Sekilas, matanya memandang jam di dinding. Jarum pendek baru menginjak ke angka enam. Lebih kurang dalam 20 minit, barulah tepung bungkusnya siap dikukus.

"Mak cuma tak nak susahkan Seroja. Setakat buat kuih-kuih ni semua, mak masih larat," beritahu Cik Hajar, enggan menyusahkan Seroja dengan kerjanya.

Sebelum ini pun, memang Cik Hajar yang mengambil dan menyiapkan tempahan kuih-muih. Seroja sekadar membantu sikit-sikit sementelah si anak membanting tulang di kebun Pak Abu. Cuma selepas dia menghidap penyakit nan mampu membawa maut itu, Seroja yang mengambil alih kesemuanya.

Kadang-kadang jika ada kelapangan waktu, Seroja akan mengambil upah menjahit baju. Semua kerja itu dilakukan untuk membiayai kos pembedahan Cik Hajar dan ubat-ubatannya. Kata doktor, penyakitnya itu boleh dirawat melalui pembedahan memandangkan kansernya berada di tahap ketiga. Sebelum sel-sel kanser itu merebak ke organ lain, adalah lebih baik jika Cik Hajar mempercepatkan pembedahannya. Oleh kerana itu, Seroja bertungkus-lumus mengerah tulang empat keratnya semata-mata mahu mengumpul wang untuk membiayai kos perubatan si emak.

"Mak..." Tangan Cik Hajar yang mula terlihat kedutan itu dicapai lalu digenggam erat.

"Dalam hidup ni, tak ada istilah mak menyusahkan anak. Seroja buat semua kerja-kerja ni sebab Seroja tak sanggup nak tengok mak bersusah payah lagi. Mak dan abah dah banyak berkorban sepanjang membesarkan Seroja. Lepas arwah abah pergi, mak bekerja keras untuk tampung hidup kita berdua. Seroja tak pernah lupa semua tu. Tapi, sekarang kan mak sakit... Biarlah kali ini Seroja pula yang cari duit untuk sara keluarga kita dan bayar kos pembedahan tu. Seroja akan usahakan apa saja yang Seroja mampu sebab Seroja... tak nak tengok mak jatuh sakit lagi..."

4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIELWhere stories live. Discover now