SEPERTI mendung yang sedang berarak di dada langit, begitu jugalah yang berlaku di dalam kebuk hatinya. Ada gelora perasaan nan sukar dimengerti untuk diluahkan melalui bicara.
Zariel membuang keluh, tunduk merenung dua buah pusara di hadapannya. Dibiarkan rintik-rintik halus yang jatuh dari cakrawala mengena tubuh, bersama hening yang menjadi peneman kala itu.
"Bonda... ayahanda... Ril datang ni..." Suara serak Zariel kedengaran bergetar. Hanyut dibawa emosi juga kerinduaan yang menggebu. Satu sisi diri yang jarang-jarang dipertontonkan di depan umum namun, saat ini, sebaliknya berlaku.
"I miss you guys... a lot." Terasa sendat dada menahan ribut emosi yang sedang berantakan.
"Kenapa... kenapa bonda dengan ayahanda tinggalkan Ril cepat sangat? Hidup Ril sunyi lepas bonda dan ayahanda pergi. Ril... Ril rindu dengan keluarga kita yang dulu." Deras air matanya turun mencemari pipi. Di sini, dia tidak perlu berpura-pura. Kerana tiada siapa yang akan mengadili dan tiada mata yang akan memerhati.
"Ril ni... bila nak kahwin? Kawan-kawan bonda, anak-anak mereka semua dah berumah tangga. Bonda ni sunyi tau bila Ril dengan ayahanda keluar bekerja. Kalau ada menantu dan cucu, kan seronok? Bolehlah dia orang temankan bonda dekat rumah ni." Datin Seri Miranda menepuk perlahan paha si anak.
Kala itu, mereka sekeluarga sedang duduk bersantai di pergola sambil menikmati blueberry cobbler buatan Datin Seri Miranda.
"Nak kahwin macam mana bonda kalau girlfriend pun Ril tak ada?" Zariel berseloroh, disulami senyuman nakalnya. Dia menyuap sesudu lagi blueberry cobbler ke mulut, menikmati keenakan hidangan itu. Meskipun dia bukanlah peminat manisan namun, pencuci mulut hasil air tangan si bonda sentiasa mampu memikat seleranya.
"Ril nak bonda carikan tak?"
Menggeleng Datuk Seri Seif Zuhairi mendengar pertanyaan isterinya.
"Miranda... anak awak tu bukan budak kecil lagi. Pandai-pandailah dia cari calon isteri. Budak-budak zaman sekarang, bukan macam zaman kita dulu. Semuanya perlu ikut aturan keluarga." Matanya melirik kepada Zariel yang jelas cuba menahan senyum. Sukalah tu bila Datuk Seri Seif Zuhairi seperti berpihak kepadanya.
Panjang sedepa muncung Datin Seri Miranda tatkala ditegur begitu. Punah harapan mahu menjodohkan Zariel bersama anak teman baiknya.
"Bonda..." seru Zariel seraya mencapai tangan Datin Seri Miranda lalu digenggam erat. Tidak mahu membiarkan bondanya berterusan terasa hati.
"Ril bukan tak nak kahwin... Tapi, Ril belum jumpa lagi wanita persis bonda. Yang baik budi pekertinya, yang hormat suami macam mana bonda hormatkan ayahanda. Dan yang paling penting, dia boleh terima baik buruk Ril seadanya. Bukan sebab harta, pangkat atau nama yang Ril ada." Zariel senyum segaris.
Bergentayangan wajah cantik Amelia di ruang minda. Namun, lekas-lekas Zariel memadam semula bayangan itu. Amelia, wanita itu adalah kesilapan lampaunya.
"Kalau ada jodoh Ril, lambat atau cepat... Ril tetap akan berkahwin. Bonda jangan risau, okey?"
Semua kenangan itu kembali berlegar-legar di kotak memori. Wajah bonda yang lembut, tersenyum manis kepadanya masih menjadi igauan. Ayahanda yang tampak tegas namun, jauh di lubuk hati orang tua itu penuh dengan kasih sayang, semuanya datang beriringan, menjelma seperti bayang-bayang di benaknya. Menghela nafas panjang, pandangan kembali tertumpu pada pusara orang tuanya.
"Entah perempuan macam tu wujud atau tidak, bonda..." Tawa Zariel meletus perlahan. Seperti kata Remy dan Wafiq, andai Datin Seri Miranda masih hidup tika ini, pasti bondanya itu sedang sibuk mengatur temu janji bersama calon isterinya.
YOU ARE READING
4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIEL
Romantizm*Previously known as HIS POSSESSION* Hidup berdua bersama mak di kampung, cukup membahagiakan Seroja. Adanya Irwan yang tak pernah jemu mengusik, melengkapkan lagi hari-harinya. Namun, takdir hidup tidak selalunya indah. Ujian yang datang bertimpa-t...