BAB 5 🌼

24 6 2
                                    

          IVELLE baru saja melangkah keluar dari keretanya apabila dia diserbu oleh sekumpulan wartawan yang menunggu di luar sebuah bangunan mewah dimana tempatnya bekerja sebagai pelakon.

Kilauan lampu kamera dan mikrofon yang diacungkan ke arahnya seolah-olah mengaburkan pandangannya. Namun, Ivelle tidak gentar. Dia berdiri tegak, wajahnya memancarkan keyakinan yang hampir terlihat angkuh.

Para wartawan mula mengerumuninya, mengajukan soalan demi soalan dengan nada mendesak. Wajah mereka penuh harapan, menanti jawapan yang bakal dijadikan tajuk utama.

"Ivelle Humaira, adakah betul khabar angin bahawa anda akan bertunang dengan Aslan Benjamin, jutawan terkaya itu?" seorang wartawan bertanya dengan penuh semangat, hampir menjerit.

Ivelle memandang wartawan tersebut dengan senyuman kecil di bibirnya, seolah-olah menikmati momen di mana dia menjadi tumpuan. Dia membiarkan soalan itu tergantung di udara sejenak sebelum menjawab dengan nada yang sedikit angkuh.

"Betul," kata Ivelle ringkas, nadanya tegas dan jelas. Dia mengangkat sedikit dagunya, memandang sekeliling, memastikan semua wartawan mendengar kata-katanya. "Memang betul, I akan bertunang dengan Aslan Benjamin." 

Riuh-rendah suara para wartawan yang berebut untuk mendapatkan maklumat lanjut, tidak mengusik ketenangan Ivelle. Dia hanya tersenyum kecil, pandangannya penuh keyakinan, hampir seperti dia menganggap semuanya sudah dirancang dan dikuasai olehnya.

Inilah yang terjadi jika seorang pelakon terbaik wanita, Ivelle Humaira mendapat rumor. Memang akan selalu trending di mana-mana.

"Boleh anda kongsikan lebih lanjut tentang pertunangan ini?" soal seorang lagi wartawan lelaki yang mencuba berebut dengan wartawan lainnya.

Ivelle mengangkat bahu sedikit, seolah-olah tidak terlalu peduli. "Apa lagi yang perlu I kongsi? Semua orang akan tahu bila sampai waktunya. Untuk sekarang, cukup sekadar tahu bahawa berita itu betul."

Dia melangkah perlahan meninggalkan kumpulan wartawan, memberikan satu senyuman terakhir yang penuh maksud. Kilauan lampu kamera dan jeritan soalan masih memburu di belakangnya, namun Ivelle melangkah dengan penuh keyakinan, menikmati saat di mana dia mengendalikan kisahnya sendiri.

Setelah berjaya melarikan diri dari keramaian wartawan di luar, Ivelle melangkah masuk ke dalam bangunan mewah tempat dia bekerja sebagai pelakon.

Langkahnya tetap anggun, tidak tergesa-gesa meskipun masih terngiang-ngiang di telinganya soalan-soalan mendesak dari para wartawan tadi. Bahagian dalam bangunan yang elegan dan moden menyambutnya dengan kehangatan, namun ketenangan itu tidak bertahan lama.

Beberapa staf yang berada di lobi segera menghampirinya, wajah mereka penuh dengan kekaguman dan rasa ingin tahu. Mereka tidak dapat menahan diri daripada bertanya soalan yang selama ini mereka pendam.

"Ivelle! Macam mana you boleh dapat lelaki macam Aslan Benjamin?" seorang staf perempuan bertanya dengan nada teruja, matanya bersinar-sinar. "Dia antara usahawan paling kaya dan berpengaruh sejak dulu. You memang bertuah lah!"

Seorang lagi staf lelaki yang berdiri di sebelahnya turut mengangguk setuju. "Betul tu. Dalam ramai-ramai perempuan, you yang berjaya dapatkan dia. Ya...walaupun dia duda."

Ivelle berhenti sejenak, memandang mereka dengan senyuman yang tidak sepenuhnya mesra. Dia menyisir rambutnya ke belakang dengan jari, memperlihatkan sikap angkuh dan sederhana yang sudah menjadi sebahagian dari dirinya.

"Terima kasih atas pujian tu," jawab Ivelle dengan nada yang tenang tetapi sedikit sinis. "Tapi, Aslan tak susah dicari. I cuma perlu tahu di mana mencari... dan siapa yang layak untuk dapatkan dia."

Ivelle Benjamin | OGWhere stories live. Discover now