Rafael masuk ke dalam kelas 2H. Dia pandang seisi kelas. Kosong. Hanya ada beberapa kerusi yang dah ditandai dengan beg. Maknanya ada orang dah pilih untuk duduk di situ. Rafael melihat di kawasan penjuru belakang - berdekatan dengan tingkap. Masih kosong. Dia pantas bergerak ke sana dan meletakkan begnya ke atas kerusi tersebut.
Rafael duduk sebentar di tempat duduk yang dipilihnya. Dia melihat ke luar tingkap. Ada padang untuk dilihat. Rafael tersenyum. Dia suka suasana ini. Senyap dan damai. Tiada sesiapa.
Kelas kosong kerana semua orang akan berkumpul di dewan.
Tiba-tiba Rafael mendengar bunyi tapak kaki mendekati kelasnya. Namun, Rafael tetap tenang di tempat duduknya.
"Adik, semua pelajar kena berkumpul kat dewan." Seorang pengawas menegurnya.
Rafael menoleh. Melihat wajah pengawas tersebut. Handsome. Getus hati kecilnya.
"Jom kita pergi dewan?" Ajak pengawas tersebut.
Rafael mengangguk kepala. Berdasarkan pakaiannya, Rafael tahu bahawa pengawas tersebut berpangkat. Cuma dia tak tahu pangkat apa. Berdasarkan panggilan lelaki itu pula, Rafael cuma menelah mungkin dia dalam tingkatan 4 atau 5.
Rafael bangun dari tempat duduknya dan mengekori langkah pengawas tadi yang dah berjalan dahulu di depan.
"Adik, tutup pintu kelas dulu." Ujar abang pengawas tersebut apabila Rafael melepasi pintu kelasnya. Entah kenapa, Rafael ikut sahaja arahan si pengawas itu. Suaranya yang penuh kelembutan dan karisma itu buat Rafael patuh. Malahan, ada sedikit ketegasan pada setiap arahannya.
"Dah? Jom pergi dewan. Tak eloklah hari pertama sekolah dah lambat pergi dewan. Ini hari pertama kita sekolah tapi ini juga hari pertama cikgu bertugas semula. Jadi, lebih baik kita mudahkan kerja diorang." Ujar abang pengawas tersebut.
Mereka berjalan beriringan menuju ke dewan. Pengawas tersebut membawa Rafael ke barisan kelasnya. Perkara tersebut menjadi tumpuan ramai. Rafael pun tak tahu kenapa. Mungkin juga sebab rumor pasal dia tahun lepas.
Rafael pandang abang pengawas yang baik hati itu. Janganlah diorang fikir dia dengan Rafael ada apa-apa. Doa Rafael sendiri.
Mata Rafael pandang sekilas ke arah nametag pengawas tersebut.
Farhan.
- §@ -
Ucapan panjang Tn. Pengetua Khir membuatkan semua pelajar mengantuk. Ada yang dah menguap. Ada yang dah terlentok kepalanya menahan kantuk. Ada yang dah mengalah dan tertidur. Pun begitu, pengawas yang bertugas akan mengejutkan mereka semula.
Bicara Tn. Pengetua Khir diakhiri dengan ayat sedemikian,
"Saya tak mahu cakap panjang-panjang. Tapi saya berharap agar semua murid boleh menjadi cemerlang pada masa hadapan. Saya berharap pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5 dapat menjadi contoh yang baik untuk adik-adik kamu. Terutama sekali pada adik-adik tingkatan 1 yang baru lagi dengan suasana sekolah kita.
Itu sahaja daripada saya. Terima kasih."
Ucapan tersebut diakhiri dengan tepukan gemuruh. Ya, gemuruh. Semua orang gembira kerana ucapan tersebut dah berakhir. Pengetua cuma berucap setiap hari Isnin.
Kemudian, perhimpunan diteruskan dengan nyanyian lagu negaraku, ikrar dan doa. Jangan pelik. Sekolah Rafael ini memang menjadikan hal-hal tersebut dilaksanakan tepat sebelum mereka masuk ke kelas.
Waktu bacaan ikrar dan doa barulah Rafael tahu bahawa Farhan - abang pengawas yang baik hati tadi tu, merupakan ketua pengawas sekolah. Farhan jugalah yang mengiringi bacaan ikrar dan doa.
YOU ARE READING
Separuh Aku
RomanceKadang aku rasa kosong. Macam badan aku ni berlohong walaupun tak secara zahirnya. Aku rasa hidup ni tak lengkap. Macam ada sesuatu yang hilang. Pernah tak kau rasa benda yang sama? Aku masih mencari-cari sesuatu itu. Apakah ia hilang atau masih dal...