Beberapa bulan telah berlalu sejak hari mereka memutuskan untuk memperbaiki hubungan, dan selama itu juga, hubungan antara Aariz dan Arfana kian erat. Tetapi kini, dengan kandungan Arfana yang sudah menginjak sembilan bulan, setiap langkahnya penuh dengan keterbatasan dan keletihan. Aariz, yang sentiasa di sisinya, semakin menunjukkan sisi lembutnya. Namun, panggilan yang tiba-tiba pada pagi itu merubah segalanya.
Panggilan dari pangkalan udara datang pada waktu yang tidak diinginkan, beberapa hari sebelum tarikh jangkaan kelahiran. Aariz, yang selama ini begitu fokus pada persiapan menjadi seorang ayah, kini terpaksa menghadapi hakikat bahawa tugasnya sebagai seorang pegawai tentera udara memerlukan pengorbanan yang lebih besar.
Aariz memandang telefon di tangannya, terasa bagaikan batu yang menghimpit dada. Dia tahu apa yang harus dia lakukan, tetapi perasaan bersalah merayap di hatinya. Bagaimana dia sanggup meninggalkan Arfana ketika dia paling memerlukan sokongannya?
" Mejar Syed Aariz Al-Farras." Suara di talian memanggil.
" Saya, Tuan!" Dan, dia menjawab dengan penuh hormat.
Berita yang dia tidak berharap akan datang, kini sudah berdesing di dalam otaknya.
"Awak okay, Farras?" Suara Arfana memecah kesunyian, mengingatkannya kembali ke kenyataan. Dia melangkah ke arah isterinya yang sedang duduk di sofa, perlahan-lahan melangkah tanpa ingin memberikan tanda bahawa sesuatu yang besar bakal berlaku.
Aariz tidak membalas malah duduk di sebelah Arfana, walaupun tahu Arfana tidak dapat melihat gerakannya. "Abang baru dapat panggilan dari pangkalan udara, sayang. Ada acara lumba lagi." Dia ketawa janggal di penghujung ayat.
Arfana segera menyentuh perutnya yang semakin membesar, seakan-akan melindungi anak dalam kandungannya. Senyumannya pudar seketika, wajahnya jelas menggambarkan kebimbangan yang melanda. " Sekarang? Tapi... saya dah nak bersalin, Farras. Takkan tak ada orang lain yang boleh ganti awak?"
Aariz menghela nafas panjang, memandang wajah isterinya yang penuh dengan keletihan dan kegusaran. "Mereka perlukan saya, Sayang. Kalini, acara lumba yang kritikal. Tapi abang janji, abang akan balik sebelum sayang bersalin. Apa pun jadi, abang akan berada di sisi sayang."
Arfana terdiam seketika, membiarkan kata-kata Aariz meresap dalam fikirannya. Dia tahu Aariz tidak punya pilihan lain. Menjadi seorang pegawai tentera udara, mereka selalu berdepan dengan panggilan tugas yang tidak dijangka. Namun, kali ini, keadaan berbeza. Arfana sangat memerlukan suaminya di sisinya. Dengan kandungan yang sudah semakin besar, setiap detik terasa genting.
"Farras... saya takut," kata Arfana dengan suara yang bergetar, air matanya mula bertakung di kelopak matanya. "Saya takut kalau awak tak sempat balik... kalau sesuatu terjadi pada awak..."
Aariz segera mendekati Arfana, menariknya ke dalam pelukan erat. "Sayang, jangan risau. Abang akan balik. Tak ada apa yang akan berlaku pada abang. Abang janji."
Air mata yang cuba ditahan oleh Arfana akhirnya mengalir. Dia meletakkan kepalanya di bahu Aariz, merasakan hangat tubuh suaminya buat kali terakhir sebelum dia terpaksa pergi. "Janji? Tapi kalau apa-apa berlaku, Farras... saya tak tahu apa saya akan buat. Saya perlukan awak di sini."
Aariz mengusap lembut rambut Arfana, mencium dahinya dengan penuh kasih sayang. "Sayang, abang akan buat apa saja untuk pastikan abang balik dengan selamat. Abang nak tengok sayang dan anak kita. Abang nak jadi suara pertama yang dia dengar bila dia lahir."
Arfana tersenyum dalam tangisnya, cuba menenangkan hatinya yang gundah. "Awak selalu kata benda macam tu. Tapi kali ini... saya betul-betul takut."
Aariz mengelap air mata di pipi Arfana, lalu meletakkan tangannya di atas perut isterinya. "Abang pun takut, sayang. Tapi kita dah lalui banyak benda. Ini hanya satu lagi cabaran yang kita kena hadapi. Abang akan kembali, dan bila abang sampai, kita akan sambut anak kita bersama-sama."
Suasana sunyi sejenak. Aariz memandang perut Arfana yang semakin membesar, merasakan setiap pergerakan halus dari bayi mereka yang belum lahir. Setiap kali bayi mereka bergerak, Aariz akan tersenyum. Itu adalah tanda kehidupan yang bakal mengubah segalanya buat mereka berdua. Namun, beban tanggungjawab di bahunya semakin berat. Dia perlu meninggalkan dua orang insan yang paling dia sayangi di saat-saat genting ini.
Arfana memejamkan matanya, merasa berat dengan kenyataan yang harus diterima. Walaupun dia ingin Aariz tetap di sisinya, dia tahu betapa pentingnya tugas suaminya. "Awak janji, Farras. Jangan ambil risiko yang tak perlu. Saya perlukan awak."
Aariz mengangguk, walaupun tahu Arfana tidak dapat melihat. Dia menarik nafas panjang, menenangkan dirinya sebelum berkata, "Abang janji, sayang. Abang akan berhati-hati. Abang akan pulang secepat mungkin."
Setelah beberapa minit dalam pelukan, Aariz akhirnya terpaksa berangkat. Dengan berat hati, dia berdiri dan memandang isterinya buat kali terakhir sebelum melangkah keluar. "Abang sayangkan sayang. Arfana Faiqa adalah segalanya bagi Al-Farras."
Arfana tersenyum, walaupun hatinya hancur. "Saya pun sayang awak, Farras. Pulanglah dengan selamat."
Aariz memeluknya erat buat kali terakhir, sebelum melangkah keluar dari rumah dengan rasa bersalah yang tidak dapat digambarkan. Pintu rumah tertutup di belakangnya, dan Arfana hanya mampu duduk di sofa, menahan rasa cemas yang semakin menghimpit dadanya. Di dalam hatinya, dia berdoa agar Aariz pulang dengan selamat dan berada di sisinya ketika anak mereka lahir.
Malam semakin larut, namun mata Arfana tidak mampu lelap. Dia berbaring di atas katil dengan tangan di perutnya, merasakan pergerakan halus dari bayi mereka. Di luar rumah, angin sejuk bertiup lembut, seolah-olah cuba menenangkan hatinya yang gelisah. Namun, di dalam dirinya, ada rasa ketakutan yang tidak mampu dihapuskan.
Sudah beberapa hari sejak Aariz pergi menjalankan misinya. Setiap kali telefon berdering, hati Arfana berdegup kencang, berharap ia adalah panggilan daripada Aariz, tetapi setiap kali, ia bukanlah panggilan yang diharapkan. Kebimbangan itu semakin kuat setiap hari, dan tanpa Aariz di sisinya, segalanya terasa semakin berat.
Hari-hari yang berlalu terasa panjang dan sunyi. Setiap saat dihabiskan dengan menunggu, menunggu suaminya kembali, menunggu saat-saat kelahiran anak mereka. Arfana sering berbaring di sofa sambil memikirkan detik-detik bahagia yang mereka lalui sebelum ini. Senyuman Aariz, kata-kata manisnya, dan caranya berinteraksi dengan bayi dalam kandungannya sentiasa bermain dalam fikiran Arfana.
Arfana teringat bagaimana Aariz sering mengaji atau menyanyi kepada bayi mereka sebelum tidur. Salah satu lagu yang selalu Aariz nyanyikan ialah "I Love You, Mummy" yang selalu membuatkan Arfana tersenyum. Aariz akan duduk di sebelah Arfana, tangannya membelai perut isterinya, dan dia akan menyanyi dengan penuh kasih sayang. Kadang-kadang, pergerakan bayi mereka akan menjadi lebih aktif ketika mendengar suara Aariz, seolah-olah bayi itu mengenali suara ayahnya.
" I love you, mummy."
" My sweet sweet mummy,"
" You make me happy,"
" When I am sad,"
" I always have you,"
" Inside my heart,"
" When I am here,"
" With you, I feel happy,"
" Chachacha!"
"Sayang dengar tak? Dia gerak setiap kali saya nyanyi. Dia mesti suka lagu ni." Aariz akan berkata sambil tertawa kecil.
Arfana hanya akan tersenyum, walaupun dia tidak dapat melihat reaksi Aariz. Namun, dia dapat merasakan betapa gembiranya suaminya setiap kali bayi mereka memberi respon kepada suaranya.
Kini, tanpa Aariz di sisi, setiap kali bayi mereka bergerak, Arfana merasakan kekosongan yang mendalam. Dia sangat merindui Aariz, dan perasaan itu semakin berat untuk ditanggung. Setiap hari, dia cuba untuk bertahan, tetapi kebimbangan dan tekanan perlahan-lahan meresap ke dalam dirinya.
" I love you Sayang."
" Wo Ai Ni, Abang."
ANDA SEDANG MEMBACA
COMPLETE | | MEJAR'S CODE G28 ( IN EDITING)
Любовные романыSYED AARIZ AL-FARRAS Bagi seorang Syed Aariz Al-Farras, tiada yang lebih menarik selain bermain dengan nyawa sama ada di atas darat atau udara. Kelajuan yang sering menjadi perkara yang akan dilakukan untuk 'healing' bahkan tidak menghiraukan nyawa...
