BAB 10

71 2 0
                                        

“Itu Walther P99.”

Haura mengangkat wajahnya apabila suara Puan Nadhirah kedengaran. Dia tahu wanita itu memberitahunya kerana dia lihat Haura sedari tadi hanya melihat senjata itu. Namun, tiada apa yang  keluar daripada mulut untuk dia membalas.

Dia langsung tidak pernah menyentuh senjata merbahaya begini walaupun di kehidupan pertamanya. Dia selalu kagum apabila melihat polis beraksi dengan pistol, namun dia tidak menyangka bahawa dia juga akan menggunakan senjata ini.

Haura memegang topeng putih yang menutupi wajahnya. Jujur, dia berasa begitu panas sekarang ini. Peluh seakan sudah membanjiri wajah dan lehernya. Sebaik sahaja dia ingin membuka topeng itu, tangan Puan Nadhirah laju menekup semula topeng itu ke wajahnya dengan kasar.

“Jangan kau berani bukak selagi kerja kau tak selesai.” Dingin suara wanita itu memberi amaran. Mata Haura di sebalik topeng itu sudah berair kesakitan apabila objek itu menghentam hidungnya.

Sakit, tetapi Haura tidak berani untuk mengeluh. Dia kekal duduk diam di dalam kereta itu. Wajah Puan Nadhirah yang turut memakai topeng itu dia tatap. Topeng putih itu tidaklah jauh beza dengan miliknya, namun ia kelihatan lebih cantik dan lebih menutupi.

Topeng yang sepatutnya hanya separa dagu itu dibentuk khas agar menutupi leher wanita itu sekali. Pada bahagian itu terdapat ukiran dedaun yang bersambung. Ia juga sedikit sebanyak kelihatan seperti kilat yang menyambar.

“Jom.”

Sebaik sahaja kereta diberhentikan, Puan Nadhirah terus mengajak Haura untuk keluar. Lengan anaknya itu dicengkam kuat, memaksanya untuk meninggalkan kenderaan itu.

Haura memandang persekitarannya. Suasana malam yang kelam itu amat menyukarkannya untuk melihat walaupun beberapa tiang lampu menyala. Ditambah pula dengan topeng yang sedang dipakainya, Haura tidak tahu dia di mana.

Dia melihat ibunya membuka sebuah telefon. Cahaya daripada gajet itu menerangi topeng putih wanita itu. Tidak lama kemudian, dia mengangkat dagu mengisyaratkan Haura untuk mengikutinya.

Ragu-ragu, kakinya melangkah.

“Kau pergi ketuk pintu 017,” arah wanita itu dengan mata yang masih memandang telefon di tangan.

Haura membuat muka bingung. Pandangan matanya meliar memandang sekeliling, cuba mencari dengan laju pintu yang dimaksudkan oleh ibunya itu sebelum wanita itu mengamuk lagi.

Setelah menjumpainya, perlahan-lahan Haura mendekati rumah itu. Pintu usang itu diketuk sekali hanya untuk memberitahu penghuni di dalam rumah itu bahawa mereka sudah tiba.

Apabila tiada sahutan, Haura memandang semula Puan Nadhirah namun ibunya itu sedang membuat panggilan dengan seseorang. Sekali lagi ketukan diberikan. Sambil menunggu tuan rumah, matanya sekali lagi meliar memandang binaan itu.

Rumah yang kecil ini seaakan rumah yang ditinggalkan. Mengapa ibunya itu mahu bertemu dengan seseorang di tempat seperti ini? Tambahan pula, sekarang sudah malam.

Sedang Haura dalam lamunannya, bunyi semak-samun bergerak terus menyentaknya. Kepalanya pantas menoleh ke arah bunyi itu. Kelihatan seorang lelaki sedang berlari sambil sekali-sekala menoleh memandangnya.

Haura menjadi bingung. Kepalanya ditelengkan sedikit, tidak pasti siapa lelaki itu ataupun mengapa dia seakan takut kepadanya. Namun, belum apa-apa, kaki Haura sudah terlebih dahulu bertindak sebelum mulutnya mampu untuk menyoal.

Terbeliak bebola mata gadis itu apabila merasakan badannya seakan dikawal. Dia yakin ini pasti perbuatan Haura. Jika tidak, tidak mungkin dia akan terus mengejar lelaki yang langsung dia tidak pernah jumpai itu.

Anda telah sampai ke penghujung bahagian yang diterbitkan.

⏰ Kemaskini terakhir: Aug 19, 2025 ⏰

Tambah cerita ini di Pustaka anda bagi pemberitahuan tentang bahagian baharu!

HAURA : THE LOST ONE Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang