Pagi itu bukan main semerbak lagi bau di dapur rumah sewa yang dihuni Rossa bersama Biha dan Ika. Memang jarang dapur rumah tu nak berasap hari-hari, tapi kalau hari minggu Rossa lah yang paling rajin masuk dapur. Yang Ika dan Biha bukannya tak rajin, tapi kalau masak payah nak menjadi. Lain pula dengan Rossa, dia masak campak-campak pun orang lain makan licin habis.
Pernah dulu Rossa masak sekadar nak habiskan baki bahan mentah di dalam peti, campak itu baling ini. Jadi lah satu jenis lauk. Sekali rasa macam lauk blackpepper, bila suap lagi sekali rasa macam tomyam, suap kali ketiga rasa sedap gila. Tapi bila suruh Rossa buat lagi sekali lauk tu, dia kata tak reti. Itu lah kelemahan lauk campak-campak ni, memang jadi sekali saja.
Pagi ini hidung Biha kembang kempis terbau sambal tumis. Dia menjenguk ke dapur. Kelihatan Rossa sedang sibuk mengacau sambal tumis di dalam kuali.
"Sedapnya bauuuuuu." Tegur Biha sambil buat aksi sedut bau sambal tumis sampai terpejam mata.
"Ha, takpayah nak buat hidung kembang kat sini, meh tolong aku goreng telur mata goyang." Arah Rossa macam mak-mak.
Biha tak membantah. Bab goreng telur memang dia pakar. Cakap saja nak yang goyang, yang gelek yang keras semua dia boleh buat.
"Rossa, kau dengan Jibril apa cerita? Dah putus ke?" Sambil basuh telur, Biha cuba membuka bicara. Hairan juga dia kerana sudah hampir dua minggu dia tengok Rossa asyik terperap di rumah.
"Bercinta pun tak pernah, macam mana nak putus." Jawab Rossa selamba. Sambal tumis yang sudah pecah minyak itu diletak gula sesudu. Ini petua mak Rossa, kalau nak sambal tumis yang dimasak itu merah dengan cantik, gula kena letak last sekali. Baru warna dia menarik.
"Kau dah tak kawan ke dengan dia?" Tanya Biha lagi.
"Emm, dia ajak aku kahwin." Beritahu Rossa perlahan. Segan juga nak diberitahu pada Biha tentang hal itu.
Lepas Jibril bawa keluar ayat "jom kahwin" haritu, Rossa diam terpaku. Sepatah pun tak keluar perkataan dari bibirnya. Yang sebetulnya dia taktahu nak bagi reaksi macam mana. Gaya Jibril ajak kahwin tu macam main-main pun ada. Kalau dia setuju nanti, entah-entah Jibril saja nak bergurau, buat malu dia saja. Kalau dia tolak pula, siapa tahu mungkin Jibril serius. Jadi Rossa yang tengah tergamam itu ambil keputusan untuk berdiam sampai lah ke hari ini. Jibril pun tak cari dia. Itu yang buat dia tambah keliru tu.
"Aku tnya ni, kau berangan sampai ke mana dah?" Suara Biha yang sedikit menjerit menghentikan lamunan Rossa. Dia agak terpinga-pinga.
"Kau tanya apa?"
"Aku tanya bila kau nak kahwin? Sampai hati kau baru harini nak cakap dengan aku kan." Suara Biha seakan berjauh hati.
"Bukan taknak bagitahu lah, tapi aku sendiri tak pasti Jibril serius tak ajak aku kahwin malam tu." Sambal tumis yang sudah siap dimasak itu ditutup api.
"Saya serius."
Hampir melompat Rossa mendengar suara itu.
*****
Suasana di meja makan seakan kekok. Jibril duduk bertentangan dengan Rossa. Sedari tadi Rossa tidak bercakap sepatah pun. Hanya Biha dan Ika yang memeriahkan suasana sambil disampuk oleh Jibril."Sedap nasi lemak, favourite saya telur mata goyang ni." Jibril cuba memancing bicara dari Rossa.
"Telur tu Biha yang goreng." Jawab Rossa.
"Oh." Silap puji lah pulak.
"Rossa ni memang pandai masak, selalu weekend macam ni memamg takpayah makan luar." Puji Ika.
"Untung lah saya lepas kahwin ni ya Rossa." Jibril tersenyum mengusik ke arah Rossa.
"Err, tambah nasi lagi Jibril?" Usikan Jibril tidak dilayan. Entah kenapa tiba/tiba dia rasa seram sejuk. Lain macam saja perasaan ni.
Jibril menggeleng. Sudah hampir licin dua pinggan nasi lemak dimakannya. Kalau tambah lagi, tak jadi kerja dia lepasni. Sedap betul nasi lemak yang dimasak Rossa, kena dengan selera.
Sesudah makan Rossa mengikut Jibril keluar. Lagipun tak manis nak berlama di rumah sewa gadis-gadis itu.
"Sedap awak masak." Suasana sunyi itu di dalam kereta dipecahkan dengan suara Jibril.
"Dah dekat enam kali awak puji, terima kasih."
"Aik, sempat awak kira?"
Rossa tidak menjawab sebaliknya dahinya berkerut melihat Jibril memberhentikan keretanya dia hadapan rumah teres dua tingkat yang sangat dikenalinya.
"Jibril awak nak bawa saya ke mana?" Tanya Rossa hairan.
"Balik rumah mak ayah awak la, takkan dah tak cam rumah parents sendiri?"
Rossa membuntuti Jibril yang sudah pun menghampiri pintu utama rumah yang dihuni mak ayah Rossa. Perasaan hairan campur berdebar-debar serta ingin tahu memenuhi dada, lebih-lebih lagi apabila melihat dua buah kereta yang tidak dikenali berada di hadapan rumah.
"Assalamualaikum." Jibril memberi salam diikuti Rossa.
Keduanya masuk dan bersalam dengan beberapa orang yang menjadi tetamu di situ termasuklah mak dan ayah Rossa.
"Ini ke bakal menantu kami?" Tanya seorang wanita berkaca mata yang umurnya pada kiraan Rossa mungkin sebaya dengan emaknya.
Emak Rossa tertawa kecil. "Ini lah Rossa, anak bongsu kami."
Rossa makin tak faham. Drama apa pula yang mak dengan makcik ni buat kat depan dia ni? Apa kaitan Jibril dengan drama ni. Walhal dalam hatinya sudah mula mengagak sesuatu tetapi dia tetap mahukan kepastian. Wajahnya dialihkan kepada Jibril sambil buat muka, 'apa semua ni?'.
Jibril berdehem sebelum berbicara. "Rossa, ini mak dan ayah saya," Jibril menunjuk kepada wanita berkaca mata dan lelaki yang duduk di sebelahnya. Kemudian dia menyambung lagi. "Saya tahu awak ingat saya main-main masa saya ajak awak kahwin dua minggu lepas, jadi saya balik bagitau parents saya pasal awak dan mereka setuju untuk meminang awak hari ini." Terang Jibril.
Jeda sebentar. Rossa nampak halkum Jibril yang bergerak bagaikan menelan kata.
"Rossa, let's start a family."
*****
YOU ARE READING
Kalau Dah Sayang
Short StoryInsiden siram bekas kekasih menemukan Rossa dengan Jibril. Rossa gadis yang agak 'daring' perwatakannya manakala Jibril seorang yang santai dan relaks. Nak jatuh cinta tak perlu ambil masa yang lama, tapi nak melupakan perlu seumur hidup. Ditingga...