Iman menguis-nguis pasir dikakinya. Batu Feringhi adalah tempat dimana sebahagian dari kisah cintanya sebelum ini tertulis. Dia masih ingat lagi kali pertama saat membawa Dewi keluar dating, saat itu Iman masih belajar di sebuah IPTA di Pulau Pinang. Betapa bersungguhnya Iman sehingga sanggup mengambil Dewi di Taiping dan senyap-senyap membawa Dewi ke Batu Feringhi tanpa pengetahuan ibu Dewi semata ingin menunaikan hasrat Dewi untuk melihat laut. Kalaulah saat manis kali pertama Iman dan Dewi dating itu dapat diulang hari-hari, pasti Iman tidak akan teragak-agak untuk memilih mengulangi hari tersebut hari-hari.
Masih segar juga memori Iman mengingati setiap detik dia bersama Dewi bermain laut di satu kawasan pantai di belakang Hotel Flamingo. Takkan pernah lekang senyuman dibibir Iman setiap kali kenangan bersama Dewi, diputar semula dari kotak memorinya.
"Macam mana Iman boleh cintakan Dewi?". Soal Dewi pada Iman semasa mereka sedang menikmati laksa bersulamkan ais batu campur di tepi pantai di Batu Feringhi.
Iman masih ingat, pada ketika itu dia langsung tidak teragak-agak meluahkan setiap satu rasa yang dia rasa pada Dewi sebab bagi Iman, dia sanggup lakukan apa sahaja asalkan Dewi akan terus ada disisinya setiap masa.
"Iman pun tak tahu macam mana Iman boleh cintakan Dewi, sebab sedar-sedar je, Iman dah sedia ada rasa cinta tu pada Dewi". Tersenyum Iman bila teringat kembali jawapan yang dia jawabkan terhadap pertanyaan yang dilontar oleh Dewi.
Bahagianya Iman pada ketika itu. Bahagia yang betul-betul bahagia sehingga tanpa sedar, wajahnya sentiasa terukir dengan senyuman. Memang ini bukan kali pertama Iman bercinta. Tapi satu perkara lainnya yang dirasa Iman kali ini adalah bila Iman sedar yang ini adalah kali pertama Iman benar-benar jatuh cinta.
Selama dua tahun Iman mengumpulkan keberaniaan untuk meluahkan perasaannya terhadap Dewi dan selama itu jugalah, Iman merahsiakan segala rasanya. Dengan apa yang Iman kecapi sekarang, Iman tak pernah rasa menyesal membazirkan dua tahun itu begitu sahaja.
"Kalau Iman tak tahu macam mana Iman boleh cintakan Dewi, macam mana Iman boleh yakin apa yang Iman rasa tu, cinta? Cinta tu apa?". Sambil berjalan di tepi pantai berpegangan tangan dan bermain pasir, Dewi tanyakan pada Iman soalan itu.
"Dewi, setiap orang ada definisi dia sendiri tentang cinta. Tapi bagi Iman, cinta tu bila kita tahu setiap satu perkara tentang seseorang tu, tak kira baik atau buruk, dan kita masih lagi memilih untuk bersama dia lebih dari kita ingin bersama dengan orang lain. Sebab tu Iman tak pernah teragak-agak untuk berkongsi segala tentang Iman pada Dewi walaupun perkara itu memalukan diri Iman sendiri sebab kepercayaan terhadap seseorang tu pun salah satu definisi cinta bagi Iman". Iman mencuit hidung Dewi. Dewi tersenyum mendengar jawapan Iman.
"Dewi nak tahu tak?". Iman menyambung kata-katanya selepas mereka berdua melabuhkan punggung di pasir sambil melihat laut dihadapan mereka.
"Tahu apa?". Dewi membalas sambil menatap mata Iman yang duduk disebelahnya.
"Kita tahu kita cintakan seseorang tu bila kita rasa selamat dan selesa bila bersama dia. Bila kita rasa tak sabar untuk spend seluruh hidup kita bersama dia. Sebab tu...". Iman berhenti bercakap tiba-tiba. Perlahan Iman menggenggam tangan Dewi seolah tidak mahu melepaskan Dewi pergi dari sisinya.
"Sebab tu apa Iman?". Soal Dewi perlahan.
Iman merenung mata Dewi dalam-dalam. "Sebab tu tak kira kita bersama atau berpisah suatu hari nanti, Dewi akan tetap menjadi seorang yang paling penting dalam hidup Iman. Sebab bagi Iman, cinta itu adalah Dewi."
Dewi tersenyum.
Dan hari ini,
Iman masih menguis-nguis pasir dikakinya. Tak pernah Iman ke pantai ini seorang diri sebelum ini. Tapi itu cerita tiga tahun lepas. Cerita yang saban tahun membawa Iman ke pantai yang sama yang selalu dia pergi bersama Dewi, pada tarikh yang sama, pada waktu yang sama, Iman tak pernah terlepas untuk duduk di tapak yang sama dia duduk pada tiga tahun lepas bersama Dewi. Semata ingin mengulang rasa yang sama, mencari senyum yang serupa, Iman tak pernah jemu.
Cuma yang bezanya sekarang, Iman sudah tidak berdua macam dulu. Iman sudah tidak senyum macam dulu. Iman sekarang sekadar hidup bernafaskan harapan dan bernadikan janji-janji yang ditabur Dewi sebelum ini.
Dan sebelum Iman bangun dari tempat dimana dia duduk dan kembali ke realiti yang dia sudah tidak bersama Dewi, Iman mengeluarkan telefon bimbitnya dan menaip sesuatu sebelum dia tersenyum dan bangun berlalu pergi.
"Bila kita benar-benar cintakan seseorang, kita tak akan pernah berhenti" - status whatsapp di telefon bimbit Iman.
.
YOU ARE READING
Ini Bukan Cerita Biasa Biasa
القصة القصيرةSebab yang biasa biasa dah terlalu biasa.