Jadinya selepas sahaja aku sudah mandi, dengan masih bertuala aku berjalan menuju ruang tamu dan melabuhkan punggung aku ke sofa empuk yakni spot kegemaran aku . Duduk dekat rumah buat aku punya tahap bosan sampai timbul dekat dahi.
Jadinya kerana bosan, aku buat keputusan untuk menegur labah-labah yang masih giat mengait jaring di penjuru siling. Katanya masa kali pertama aku tegur dia dulu, dia mahu buat rumah disitu. Hangat juga aku bila dengar macam tu. Apa punya cilake aku yang bayar rumah sewa, dia yang senang-senang tumpang. Tapi selepas dia bilang nak tong-tong dengan aku bayar rumah sewa setiap bulan, baru aku cool sikit. Sekurang-kurangnya dapat jugak jimat duit aku, boleh lah aku mula berjinak simpan duit untuk kahwin.
Jadinya aku tanya kepada si labah-labah, apa dia tak penat ke mengait sarang dia tu? Sebab seingat aku, setiap kali aku pasang kipas siling, setiap kali tu juga sarang dia rosak, dan setiap kali tu juga dia akan mengait sarang dia semula. Engkau nak tahu, bila kita buat satu perkara yang kita suka, walaupun perkara itu menyusahkan kita, kita tetap akan buat, sebab kita suka. Itu yang dikatanya pada aku setiap kali aku bertanya soalan itu pada dia.
Jadinya setiap satu perkara yang labah-labah katakan, menarik aku ke satu ruang vacum tanpa bunyi dan sepi, seterusnya memaksa aku memikirkan tentang hidup aku yang semakin kelabu. Kenapa kelabu?
Jadinya lepas ditikam dulu-dulu, nyawa aku dibawa lari si gampang. Bagaimana aku hidup itu, bukan persoalan sebenarnya. Sebab semasa nyawa masih bersatu, hidup aku adalah bernafaskan janji dan bernadikan harapan si gampang itu. Sampai sekarang, hidup aku yang berwarna-warni dahulu, makin hari makin kelabu menanti hitam kerana bilamana masa berlalu, aku semakin sedar, yang janji dulu-dulu tinggal janji, harapan tinggal harapan.
Jadinya sebelum aku mati, berkemungkinan Tuhan menghantar pesan melalui labah-labah yang sekarang ini seolah satu-satunya peneman yang masih setia melayan aku. Pesan untuk terus berdendam dan membalas setiap satu keji yang dicalitkan tepat ke hati. Benar seperti apa yang labah-labah perkatakan, bila kita buat satu perkara yang kita suka, walaupun perkara itu menyusahkan kita, kita tetap akan buat, sebab kita suka.
Jadinya, berdendam di hati memang sangat menyusahkan. Lagi-lagi bila tiba waktu kau keseorangan dan filem memori saat kau diludah terajangkan, diputar lagi dan lagi. Tapi, aku suka. Aku suka bila membayangkan saat kau mula turun dari singgahsana agung saat kau menongkat langit dengan angkuh dan sombong, dan berguling ke lumpur. Tak mengapa, jangan kau khuatir. Aku masih tetap akan menolong kau. Ya benar, menolong kau keluar dari lumpur dan menghantar kau masuk ke kubur.
Jadinya? Kau tunggu. Aku pasti akan tiba sebelum segalanya hitam.
.
YOU ARE READING
Ini Bukan Cerita Biasa Biasa
Cerita PendekSebab yang biasa biasa dah terlalu biasa.