"Ianya bukan sesuatu yang dirancang. Perasaan itu hadir dengan sendiri. Saya tidak sedar bila saya mula mencintai dia. Sebab apa yang saya tahu, saya sudah pun mencintai dia." Untuk meluahkan perasaan kita pada seseorang adalah satu hal yang sangat besar dan memerlukan keberanian yang sangat tinggi.
Bila kita meluahkan perasaan kita pada seseorang, kita sebenarnya perlu bersedia untuk menerima kesan atas perbuatan tersebut. Ya, dua kesan yang paling nyata iaitu, pertama, mereka akan mendekat. Kedua, mereka akan menjauh.
Untung saya mendapat respon yang positif dari dia. Dia juga menyatakan rasa yang sama. Dia adalah seorang wanita yang sangat cantik. Kami sudah bersama hampir 5 tahun. Dia sangat baik dan mudah untuk dibawa berbincang. Dia juga sudah saya bawa untuk berkenalan dengan seluruh ahli keluarga saya. Pandai betul dia mengambil hati mereka semua. Mereka semua menyukai dia.
Penyudah kepada kisah cinta saya ini adalah sama seperti penyudah kepada kisah-kisah cinta hebat yang lain seperti Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun, Jack dan Rose (Titanic). Ya, akhir kisah ini, kami tidak bersama.
Sehari sebelum hal itu berlaku, saya dan dia seperti biasa akan pergi meluangkan masa makan tengah hari bersama. Semuanya nampak normal. Semuanya nampak seperti biasa. Tiada langsung tanda-tanda yang membawa kepada satu tanggapan buruk atau mencurigakan.
Keesokannya, semua medium untuk saya menghubungi dia, telah disekat. Ya, semua. Saya cuba untuk pergi ke rumahnya, juga kosong. Dia hilang dan terus hilang tanpa langsung dapat dikesan. Walaupun berbagai usaha saya sudah lakukan untuk mencarinya, namun dia langsung tidak ditemui. Dia sudah tidak kelihatan lagi.
Saya teringat kepada satu baris ayat yang saya temui didalam buku yang saya sendiri sudah lupa apa tajuknya, "We loved just once in a lifetime. And spend the rest of our lives looking for something similar."
"Selepas Dewi hilang dari dalam hidup saya, saya bersama dengan seseorang yang lain. Tapi saya tidak langsung dapat mengingati tarikh lahir dia. Tarikh lahir Dewi adalah pada 24 Disember. Dia berbintang Capricorn."