"Awak nak tahu? Sepanjang hidup saya, saya tak pernah cintakan seseorang yang bukan dari keluarga saya, sebanyak saya cintakan awak. Banyak sangat-sangat". Sambil berbaring diatas riba si jejaka, si gadis meluahkan cintanya dengan penuh yakin sekali sehingga terangkat-angkat tangannya mahu memberikan contoh banyaknya cinta yang dirasa kepada si jejaka. Comel sangat keletah yang ditunjukkan si gadis.
Si jejaka tersenyum melihat perilaku si gadis. Betapa beruntungnya si jejaka rasa bilamana ada seseorang yang secantik si gadis yang sanggup menerima dirinya dan mencintainya sepenuh hati.
Pernah sekali tu, si jejaka ditawarkan untuk memilih sama ada mahukan RM2.6bil ataupun mahu terus bersama dengan si gadis tersebut dan si jejaka diberi masa 10 saat untuk berfikir. "Ahh aku tak perlu kan masa untuk berfikir. Sebab aku memang takkan pernah terfikir untuk tinggalkan kekasih aku". Dengan bersungguh-sungguh si jejaka menolak tawaran tersebut. Mujurlah tawaran tersebut sekadar mimpi yang mengganggu tidur si jejaka. Tapi pelik juga dirasa si jejaka kerana pada ketika dia terjaga selepas menolak tawaran yang dimimpikan sebelum itu, dia terdengar seperti ada sesuatu yang bercakap kepadanya. "HOHOHOHO. Tahniah anak muda. Kau berjaya". Bergema suara itu memenuhi ruang bilik si jejaka. Dia yakin suara tersebut sama seperti suara Jin didalam filem lama Allahyarham P Ramlee, Ahmad Maslan. Eh ter-typo. Ahmad Albab.
Si jejaka tersenyum sendiri mengingati kejadian itu. Tanpa sedar, si gadis mencubit hidung si jejaka kerana si gadis terperasan yang si jejaka tersengih seorang diri.
"Saya dah ada dengan awak pun, masih awak nak mengelamun. Tak seronok ke luang masa dengan saya?". Hampir sejengkal muncung si gadis semata ingin menzahirkan perasaan merajuknya kepada si jejaka.
Si jejaka mula mengusap rambut si gadis yang berbaring di atas ribanya, "Saya bukan mengelamun bukan-bukan. Saya cuma bayangkan alangkah indahnya hidup saya ini kalau saya dapat berhentikan masa sekarang ini, dan boleh genggam tangan awak sampai bila-bila", pujuk si jejaka kepada si gadis.
Tersenyum lebar si gadis mendengar pujukan si jejaka.
Si gadis bangun dari riba si jejaka dan menatap mata si jejaka dalam-dalam. "Awak betul-betul cintakan saya?". Tanya si gadis sambil merenung mata si jejaka.
"Mestilah". Pendek sahaja jawapan si jejaka dan ternyata si gadis tidak berpuas hati dengan jawapan pendek yang diberikan si jejaka.
"Saya nak awak cakap yang awak cintakan saya". Balas si gadis dengan muka penuh harapan sambil mengelus tangan si jejaka.
"Tak perlu kot". Sekali lagi jawapan yang diberikan si jejaka membuatkan si gadis sangat tidak berpuas hati.
"Kenapa?". Soal si gadis dengan nada yang sangat kecewa dan melepaskan tangan si jejaka yang dipegangnya sebelum ini.
Tanpa memandang pun wajah si gadis, si jejaka jawabkan persoalan si gadis dengan mudah sekali, "Tak ada apa".
"Saya cuma nak dengar awak cakap awak cintakan saya". Perlahan sahaja suara si gadis seolah sudah berputus asa dan kecewa dengan apa yang didengarinya dari mulut si jejaka.
"Tak boleh". Ringkas jawapan si jejaka. Suasana mulai sunyi. Si jejaka mencampakkan pandangannya ke utara, si gadis pula ke selatan. Seolah diantara mereka, sudah diletakkan tembok besar cina yang mengasingkan si jejaka dan si gadis.
Si jejaka dengan jelas terdengar tangisan lembut si gadis. Tak sampai hati si jejaka membiarkan si gadis menangis. Si jejaka memegang bahu si gadis dan memusingkan tubuh si gadis menghadapnya. Sekali lagi mata mereka bertentangan.
"Awak nak tahu kenapa saya tak boleh cakap pada awak yang saya cintakan awak?"
"Kenapa?"
Si jejaka merangkul tubuh si gadis dan memeluknya erat lalu membisikkan di telinga si gadis, "Sebab tiga perkataan tu takkan pernah cukup untuk menyatakan cinta saya pada awak".
.