Syakirin memandu laju Satria Neonya itu merentas lebuh raya utara selatan. Kepala dia picit-picitkan sedikit dengan tangan kanan yang ditopangkan pada tingkap kereta. Tangan kiri masih lagi setia memegang stereng kereta. Dia sebenarnya bukan pening tapi lebih kepada sakit kepala dibuat dengan abah. Syakirin melepaskan keluhan lemah. Seketika kemudian dia menukar posisi tangan yang memegang stereng. Tangan kirinya mencari-cari cd lagu yang boleh dimainkan disaat kepala tengah serabut nak memikirkan apa lagi yang bakal terjadi selepas ini. Cd mengandungi lagu campur-campur yang diburn oleh Fiqa temannya itu dia pasangkan. Kuat-kuat. Bergegar Neo maroon 1.6 ini dibuatnya.
Dalam hingar bunyi lagu yang membingitkan telinga itu terdengar kuat Syakirin mendengus geram. Betullah apa ajer yang aku cakapkan sekarang ini sorang pun takkan ambil peduli. Tak akan ada yang nak ambil kisah. Emak dah senyap ajer. Abang lagilah memang tak akan masuk campur punya. Amir pulak budak bawah umur yang tak patut nak diajak involved sekali memandangkan dia tu pun masih dibawah tanggunggan emak dan abah. Syakirin mengomel sendiri. Lagu di radio dia buat macam tak dengar ajer.
Untuk kesekian kalinya Syakirin menghela nafas lemah. Hal abah malam semalam buat dia sudah tidak betah lagi nak duduk di kampong lama-lama walaupun cutinya masih berbaki dua hari lagi. Abah sudahlah jelas memaksa, siap bagi ugutan pulak tu. Kalau dia ingkar atas arahan abah, dia bukan anak abah. Ya ampun. Sampai ke situ sekali abah boleh cakap. Macamlah abah ada anak perempuan lain lagi selain daripada dia seorang ini. Dia inilah satu-satunya anak perempuan tengah yang abah dan emak ada. Malam tadi juga, buat pertama kali dalam sejarah dia memberanikan diri menelefon anak orang depan rumah tu. Zaim macam terkejut beruk ajer bila dapat tahu yang bercakap dengannya malam tadi anak jirannya sendiri merangkap bakal bini yang entahkan jadi entahkan tidak tu. Tapi apa yang pasti memang dia tersenyum panjang bila habis bercakap dengan Zaim di dalam telefon malam tadi. Bukannya apa pun terasa kecilnya dunia. Lelaki ini tidaklah jauh mana perginya. Dekat ajer. Dia tinggal menyewa di Serdang. Lelaki ini rupanya tinggal di Bangi ajer. Walaweii…dekat sesangat dah tu.
Malam tadi juga dia dan Zaim sudah puas berbincang. Tapi orang kata berbincang dalam telefon pun bukannya boleh nak selesaikan masalah. Tak bawak ke mana pun. Buat habis kredit ajer. Tak pun meningkatkan bil. Akhirnya dia dan Zaim ambil kata sepakat untuk berjumpa esok hari sahaja. Bersepakat membawa berkat. Tempat dah set. Dekat food court Rasa Alamanda. Situ paling sesuai. Tempat tengah-tengah. Tidak menghala ke Bangi yang lebih pun tak jugak berat ke Serdang yang lebih. Anggap ajer hal ini bakal diselesaikan bila mana Zaim pun dah bersedia untuk membincangkan hal ini dengan seriusnya esok hari. Lagi satu hal, macam mana nak bagi tahu Fiqa akan perkara ini. Adoyai.. Boleh baca macam mana riak muka Fiqa bila disampaikan cerita ini sekejap lagi bila sampai di rumah. Fiqa kenal ajer Zaim tu. Mana tidaknya, kita orang satu sekolah rendah. Dan nak ikutkan apa ajer rahsia hati semua Fiqa tahu. Fiqa tu sahabat yang paling dipercayai. Fiqa tu penasihat kiri kanan depan belakang. Fiqa tu merangkap juga pembantu peribadi.
Neo maroon yang dipandu dibelok ke kiri simpang dan masuk ke dalam kawasan rumah pangsa lima tingkat di belakang Minlon ini. Rumah pangsa yang memang dah season ajer rupanya ni. Ikutkan Syakirin dengan Fiqa tak pernah memilih nak duduk dekat mana. Tak ada hal. Asalkan bukan rumah setinggan. Sini murah kira okeylah tu walaupun dinding dah berkulat. Tak apa, rumah kita orang luar nampak memang macam flet kos rendah, tapi kat dalam macam kondo tu. Kondo pun tak macam rumah kita orang.
Syakirin menapak perlahan-lahan mendaki anak tangga satu persatu. Ini ajerlah yang paling tak tahan. Nasib rumah tingkat dua ajer. Nasib jugaklah dekat sini rumah pangsa dia hanya lima tingkat. Dibuatnya lapan belas tingkat. Dibuatnya lif rosak. Tak ker jenuh nak memanjat anak tangga.
Sampai dimuka pintu rumah, Syakirin membuka kunci mangga besar di pintu jeriji besi. Di sini tempat orang-orang antarabangsa jugak tinggal. Lebih kurang macam dekat Flat Hijau, Pricint 9 tu jugaklah. Walaupun bukan terletak di Bukit Antarabangsa tapi jolokan flat antarabangsa yang orang-orang di sini berikan memang kena dan tepat sekali. Ada dari Nepal, Madras, Indonesia, Bangladesh. Fuhhh.. Macam chanel Astro jugak. Macam-macam ada. Dekat Bukit Antarabangsa tu pun belum tentu ada golongan international macam dekat sini tau. Apa yang pasti memang kena berhati-hati. Tengok ajer Fiqa beli mangga besar gedabak ni pun dah boleh bajet tahap penjagaan keselamatan di sini.
Buka sahaja mangga dari pintu jeriji besi ini cepat-cepat Syakirin menguncinya semula. Dia memang takut kalau sorang-sorang macam ni. Sudahlah hari pun tenang ajer. Bukan nak berprasangka tapi tak salah kalau berhati-hati. Pintu rumah dia dibuka dan segera memboloskan badan ke dalam rumah.
Arrgghhhh!!!! Syakirin menjerit apabila melihat ada orang di dalam rumah.
“Kau ni Kirin nampak aku macam nampak pontianak tau tak.” Gumam Fiqa geram. Yer pun. Kirin punya suara tadi boleh buat bergegar rumah flat yang dah masuk umur orang pencen ni.
Melihat muka Fiqa yang sudah mencuka itu membuatkan Syakirin ketawa mengekek. Apahal lah kawan aku sorang ni. Menggeleng perlahan Syakirin melihat transformasi perubahan pada diri Fiqa. Baru empat hari dia tiada di rumah Fiqa sudah berubah sampai begini sekali. Mana tak terkejut, hari tu rambut memang hitam. Gaya Melayu habis. Hari ini mak oii.. macam kena paku karat. Very stylo. Tapi warnanya tu macam ada yang tak kena. Apasal tak rata. Nak kata highlight. Tu bukan.
Fiqa memandang Syakirin dengan geram. Aku memang pantang kalau ada yang ketawakan aku pasal rambut baru aku ini. sebab rambut baru inilah dah dua hari aku ambil EL. Malu punya pasal akibat tersalah teknik menggunakan pewarna rambut. Cubalah kalau aku tak termakan hasutan Jess minggu lepas pasti rambut aku tak jadi macam ni.
“Boleh aku tau saloon mana yang buat rambut kau jadi macam ni.” Tanya Syakirin bersama tawa yang masih lagi bersisa. Betul tak tahan tengok rambut baru Fiqa ni. Macam balung ayam pun ada.
“Aku buat sendirilah.” Bagitahu Fiqa rendah. Cermin yang dari dua hari lepas berada di atas sofa dia capai. Memang sejak dua hari lepas jugaklah dia sibuk membelek rambut yang dah macam badut ajer tu. Adoiii.. Apa aku nak buat ni.
Refleks tangan dibawa ke mulut. Sedaya upaya Syakirin melepaskan tawanya dibalik tangan yang kena pekup itu. Patutlah pun. Buat sendiri siapa suruh. Patutnya pergi ajerlah dekat salon Hairven Alamanda tu. Macam tak tau Kak Amy yang kerja dekat situ sangat pro dalam mewarna, meng’highligth’ dan memotong rambut orang.
“Apasalah kau tak pergi ke Hairven ajer.” Kata Syakirin lagi sambil menggeleng kepala. Dia bangun. rambut Fiqa dia selak-selak. Alah.. tak adalah terus sangat pun.
“Aku bukan tak nak ke sana. Kau pun tau kan. Ini first time aku nak warnakan rambut. Lagipun kat sana tu aku tak tau diorang pakai pewarna apa. Yang ini aku pakai inai yang aku beli dekat jalan TAR tu. Halal. Boleh bawak sembahyang.” Ujar Fiqa. Dia membiarkan Syakirin membelek-belek rambut barunya itu.
Syakirin mengerutkan dahi. “Yerker inai. Aku tengok karat semacam ajer ni. Jangan nak tipu akulah Fiq. Macam aku tak tau nak bezakan inai dengan betul-betul pewarna rambut.”
Fiqa tersengih malu. Kantoi. “Alah memanglah. Tapi kau jangan risau. Benda ni halal.” Kata Fiqa yakin.
Syakirin menjongket bahu. Dia pun tak berani nak jamin yang pewarna rambut yang ada dipasaran tu halal ke tidak. Dia mana tahu sebab dia tak minat langsung nak menukar warna rambut yang dah semulajadi berwarna hitam ini. biarlah. Dia suka. Nicole Prescovia Elikolani Valiente Scherzinger pun rambut hitam menawan macam iklan syampu Clear. Dia bukan pan Asian yang nak rambut berwarna perang. Perang macam mana pun dia tetap Melayu tulin. Takkanlah belacan nak jadi keju pulak. Dan nak cakap lebih-lebih pasal hukum mewarnakan rambut yang macam Fiqa buat ni…errmm… susah nak cakap sebab dia pun bukanya terror sangat pun nak cakap soal agama. Yang basic-basic tu taulah. Dia ni pun tudung tetap jugak terbang entah ke mana. Pakai tudung masa di sekolah ajerlah. Itupun sebab sebahagian dari peraturan. Kalau tidak memang lebuh. Sekarang ni kalau nak balik kampong ajer baru bertudung litup. Nak kena parang dengan abah kalau balik rambut mengerbang macam hantu langsuir tu. Jangan dibuat dengan abah. Pantang sungguh anak dara yang sorang ni buat perangai macam ni. tapi sekerat jalan nak balik ke KL tudung memang terbanglah. Susahnya hidup jadi orang hipokrit dan plastic semata-matanya ini. Abah dan emak tak pernah tahu semua ini. Maklumlah abah dan emak pun bukannya pernah nak datang melawat dia yang tinggal di sini. So buat ajerlah apa yang dia suka. Tak ada siapa yang nak pantau pun. Janji tak buat yang bukan-bukan. Pernah ajer dulu-dulu masa The Castle tengah bukak dekat Bangsar pergi mencucuk langit di situ. Adalah dua tiga kali masuk. Konon nak merasa keadaan malam minggu dipusat hiburan itu yang selalu sangat dikatakan happening. Tapi memang tempat tu tak kena dengan taste lah. baik taste dia ataupun Fiqa. Sesak dan menyakitkan telinga. Sakit mata jugak. Nak dijadikan cerita jugak kat The Castle tu lah dia berjumpa dengan Megat Zakuan. Patutlah hubungan tak berpanjangan. Dah berjumpa pun dekat tempat macam tu. Jadi sendiri mahu ingat. Lu pikirlah sendiri.
“Eh… Kata balik hari Rabu.” Kata Fiqa tiba-tiba. Cermin yang digunakan untuk membelek rambutnya itu dia letak kembali ke atas sofa. Pelik. Diberitahu hari itu katanya Kirin nak balik bercuti. Katanya bercuti sakan. Sombong sangat. Beriya-iya keluar dari bilik bos dengan hidung kembang ajer sebab cuti seminggunya itu sudah diluluskan. Hari ini, rasanya baru tiga hari bercuti, teman yang seorang ini dah kembali ke sarang apa hal.
Syakirin melepaskan keluhannya. “Aku ada besar punya masalah.” Jawab dia datar.
Giliran Fiqa pula ketawa. Alah.. Macam tak kenal budak seorang ini. Lampu rumah tak boleh menyala pun dia kata masalah besar jugak. “Apa masalah yang besar sangat tu. Aku tengok iya-iya ajer dahi tu berkerut. Masalah Negara ker.” Tanya Fiqa lagi.
“Lebih kurang gitulah.”
Fiqa laju menaikan kaki ke atas sofa. Dia duduk mengadap Syakirin. Bunyi macam cerita best ni. lagi-lagi cerita dari kampong. Dah lama jugak tak updated stori orang kampong. Akak suker.. Akak suker…
Syakirin memandang wajah Fiqa yang bertabah ajer tu nak tahu apa masalah dia ini. Fiq…Fiq… Kau dari sekolah sampai sekarang pantang kalau aku cakap ada cerita baru memang automatic terus jadi macam ni. excited semacam. “Abah aku paksa aku kahwin.” Jawab Syakirin lemah.
“What!!!” Fiqa separuh menjerit. Whaooo… Biar betul apa yang aku dengar ini. Aku yang sound trouble atau Kirin yang tersalah cakap.
“Fiq kau boleh tak jangan nak jerit kuat-kuat macam tu. Aku belum pekak lagi.”
“Abah kau paksa kau kawin?” Tanya Fiqa seakan tidak percaya.
Syakirin mengangguk lemah. “Haah!!”
“Habis kau terima.”
Syakirin angguk lagi.
Syakirin membuntangkan biji mata. “Babe apahal ini. Dulu kata lain. sekarang lain pulak jadinya. Kata dulu tak mainlah kahwin-kahwin orang tua yang tentukan. Kata nak pilih sendiri.” Kata Fiqa mengingatkan Kirin pada apa yang pernah dikatakan dulu.
“tu aku taulah. Tapi aku dah tak ada pilihan lain. kau tau abah aku kalau bercakap macam mana kan.”
Fiqa menaikkan mata ke atas. Yerlah. Faham sangat dengan Pak Majid tu. Dia pun bukannya berani sangat dengan abah Kirin yang garang semacam tu. Mengerikan…
“Habis saper calon yang abah kau berkenankan tu.”
“Ahmad Zaim.”
Ngehhh… Mulut Fiqa sudah terbuka luas.
YOU ARE READING
2 X 5
RomanceSeniman Agung Tan Sri P.Ramlee pernah berpujangga: Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Itulah asam garam hidup berumah tangga, pahit manis pastinya akan terasa. Pada Syakirin, Zaim bukan lelaki jahat. Zaim itu lelaki baik. Cuma...