CULIK1.0 - Bab 2

1.2K 41 12
                                    


Kereta Mazda yang baru dibelinya digilap MinHo dengan bersungguh-sungguh. Biar bersinar badan kereta merah itu. Walaupun sudah dibeli sebulan lalu, inilah kali pertama dia menghabiskan masa untuk mengusahakannya. Bukan selalu dia mempunyai kesempatan untuk membersihkan keretanya. Kerjanya sebagai detektif polis sering menyibukkan dia sepanjang minggu. Lebih-lebih lagi sejak dia dinaikkan pangkat untuk mengetuai pasukan penyiasatannya. 

Secara rasmi, dia sepatutnya bercuti pada hari minggu. Tetapi kalau ada petunjuk baharu dalam kes-kes yang dikendalikannya, terutamanya kes yang genting, terpaksa juga dia bekerja biarpun hari Sabtu dan Ahad. Nasibnya baik kerana mempunyai seorang isteri yang besar hati dan memahami selok-belok kerjanya. Isterinya, Munirah, melepaskannya untuk melaksanakan tugasan apabila diperlukan dan sentiasa mendoakan keselamatannya. Semasa bertugas, apabila berkesempatan, MinHo akan menelefon. Terutamanya pada waktu malam sebelum isteri dan anak-anaknya masuk tidur. Itulah caranya menunjukkan kasih sayangnya pada keluarga.

MinHo mempunyai dua orang anak. Lelaki sulung bernama Zak berumur 10 tahun, manakala anak perempuan bernama Wini berumur lapan tahun. Mereka berdua merupakan putera dan puteri kesayangannya. Apabila cuti sahaja, dia akan meluangkan masa bersama mereka dan isterinya. Dia akan membawa mereka menjamu selera di restoran baharu, berjalan-jalan di pusat beli-belah, menonton wayang di pawagam, mahupun bersukan di taman rekreasi berdekatan rumah mereka. Semuanya dilakukan bersama sebagai sebuah keluarga. Semua masa yang MinHo ada dicurahkan kepada mereka bertiga. Hanya apabila bekerja sahaja, MinHo berjauhan dengan mereka. Itupun, MinHo akan sentiasa berhubung.

Keluarga amat penting buat MinHo. Sejak kecil lagi, ibu bapa MinHo sudah meninggal dunia. Dia membesar sebatang kara. Oleh itu, dia amat memahami perasaan kehilangan keluarga tersayang. Apabila dia membina rumah tangga dengan Munirah, dia berjanji pada diri untuk menjaganya dengan sebaik mungkin. Apabila Tuhan mengurniakan cahaya mata kepada mereka, MinHo berjanji untuk menjadi seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab. Dia lebih berhati-hati apabila bertugas. Nyawanya bertambah bernilai dengan adanya sebuah keluarga. Mereka tidak boleh kehilangan dia dan dia tidak boleh kehilangan mereka.

Selesai menggilap kereta, MinHo menyimpan semua peralatan yang digunakan dalam bilik stor. Sempat dia menjenguk ke dalam bilik tidur puteri kesayangannya. Kelihatan Wini masih dibuai mimpi walaupun sudah pukul 11:00 pagi. Semalam mereka sekeluarga keluar menonton wayang tengah malam. Filem animasi Frozen yang dipilih Zak sememangnya amat menarik. Jalan ceritanya simple sahaja tetapi mampu menyampaikan beberapa pengajaran dan istilah kehidupan. Mutu animasi juga amat menakjubkan. Dalam kereta semasa pulang, Zak dan Wini asyik menyanyi lagu tema filem itu. "Let it go! Let it go!" Begitu seronok sekali mereka berdua. Lewat baru mereka sekeluarga sampai ke rumah. Jadi, mesti penat anaknya itu. Biarlah. Kan hari Sabtu? Dibiarkan anaknya sleep-in hari ini.

MinHo menutup pintu bilik dengan perlahan supaya tidak membangunkan Wini. Kemudian dia menghala ke dapur untuk mendapatkan segelas air. Haus pula tekaknya. Sambil minum, dia melihat sekilas pada jam dinding. 11:15 pagi. 'Lamanya mereka shopping di pasar hari ni,' detik hatinya. Biasanya pada waktu ini, Munirah dan Zak pasti sudah pulang dengan beg-beg penuh dengan keperluan dapur. Mungkin memakan lebih masa kerana banyak yang perlu dibelikan hari ini berbanding biasa.

Semuanya idea Zak. Katanya ingin membantu Munirah di dapur petang nanti. Dia ingin menyediakan makanan kegemaran MinHo sempena hari jadi MinHo hari ini. Tersenyum MinHo memikirkan niat baik anak sulungnya itu.

Air sudah habis diminum. Gelas kosong dibilasnya dan diletakkan semula pada rak. MinHo mencapai telefon di atas meja. Hasratnya untuk menghubungi isterinya dan bertanya jika mereka memerlukan bantuan mengangkat barang-barang yang dibeli. Munirah dan Zak berjalan ke pasar yang berdekatan rumah mereka. MinHo berpendapat dia boleh meminta jiran mereka melihat-lihatkan Wini sementara dia pergi menjemput mereka.

Belum sempat dia mendail, kelihatan Munirah bergegas masuk ke rumah seorang diri. Entah kenapa tiba-tiba terdetik perasaan tidak tenteram pada hati MinHo. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Beg-beg barangan dicampak ke atas meja. Terkejut MinHo dengan tindakan spontan itu. Mungkin berat beg-beg itu. Matanya melihat ke arah pintu. 'Mana Zak? Mengapa tidak membantu ibunya?'

"Bang, Zak dah balik ke?"

Berkerut dahi MinHo mendengar persoalan isterinya. Dia menggeleng. "Dia bukan bersama sayang ke?"

CULIK1.0Where stories live. Discover now