CULIK1.0 - Epilog

1K 50 46
                                    

Hari semakin gelap kerana matahari hampir terbenam sepenuhnya. Suasana sunyi yang hanya ditemani bunyi cengkerik tiba-tiba diganggu oleh derapan kaki kuat yang bergerak pantas. Kedengaran daun-daun bergesek dan ranting-ranting berpatah akibat ditolak ke tepi. Tiba-tiba, kedengaran suatu bunyi yang kuat – bedebukk!

Semuanya sunyi kembali.

Zak cuba untuk berdiri semula tetapi lututnya terseliuh ketika jatuh tadi. Dia terduduk semula di atas tanah. Tangannya memegang lutut kanan sambil mengetap bibir menahan pedih. Sakitnya mak oi! Air mata yang ditahannya selama ini mula mengalir membasahi pipi.

"Anak lelaki mesti berani. Jangan menangis depan orang."

Tapi tiada sesiapa di sini. Zak membenarkan saja dirinya menangis dalam kegelapan.

Sudah lama dia berlari mengikut arah yang ditunjukkan tadi. Selain semak samun dan pokok tinggi, Zak tidak menjumpai jalan keluar yang diharapkan. Adakah dia ditipu?

Fikirannya melayang kembali ke kejadian petang tadi. Ketika Zak sedang membelek-belek buku yang ada pada meja tulis, tiba-tiba telinganya tertangkap suatu bunyi di luar pintu bilik barunya. Dia menunggu seketika. Mungkin Pak Luqman sedang membuka pintu. Tapi biasanya sebelum pintu dibuka, lelaki tua itu akan memberitahu dari luar dan memberi amaran supaya Zak tidak mencuba apa-apa yang bodoh sebaik-baik sahaja pintu dibuka. Tapi kali ni, tiada suara. Hanya bunyi seperti seseorang sedang mencungkil kunci mangga.

Zak segera mencapai kerusi plastik dan mengangkatnya. Dia berdiri di sebalik pintu dan menanti. Dia pasti orang itu bukan Pak Luqman. Pak Luqman membuka kunci mangga dengan cepat. Lelaki tua itu tidak pernah mengambil masa lama sebegini. Mungkinkah papanya telah menjumpainya?

Bunyi cungkilan masih kedengaran seperti orang itu sedang bergelut untuk membuka pintu. Berdebar-debar Zak menunggu. Tiba-tiba semuanya senyap. Baru Zak ingin mencapai tombol pintu itu, tiba-tiba ada ketukan lembut dari sebalik pintu itu. Zak tersentak.

Pintu dibuka perlahan dari luar. Kelihatan Nelly di situ. Tangannya memegang sebatang pencungkil telinga yang digunakannya tadi. Ketiga-tiga kunci mangga dibukanya dengan sempurna sekali dan disusun di tepi untuk digunakan semula nanti.

Nelly tidak melangkah masuk ke dalam bilik itu. Dia berdiri di luar dan mengisyaratkan Zak untuk keluar. Zak melangkah ke belakang sehingga badannya terkena dinding. Matanya tidak berkelip melihat Nelly. Adakah ini suatu perangkap? Suatu ujian? Adakah Pak Luqman menunggu di luar, melihat dan menguji jika saya mematuhi peraturannya? Zak khuatir jika dia keluar tanpa kebenaran Pak Luqman, lelaki itu akan membunuhnya.

Zak cuba untuk mengintai ke luar, mencari-cari kelibat Pak Luqman. Tak berjumpa. Nelly terus melambai tangan memintanya keluar dari bilik itu. Zak masih teragak-agak. Dia tidak ingin mati.

Nelly menghilangkan diri sebentar. Dia kembali dengan beberapa keping suratkhabar dan pen marker hitam. Dia duduk di lantai muka pintu dan mula menulis.

Lari. Dia tiada di rumah. Kamu perlu cepat lari.

Zak keliru membaca nota yang ditulis oleh Nelly. Perangkap apa ni? Namun Zak memberanikan diri untuk melangkah ke depan. Nelly mula menulis lagi.

Ikut saya. Tunjuk jalan keluar.

Zak meneliti air muka wanita itu. Nampak ikhlas. Kepala Zak dipanjangkan ke luar pintu lalu dia melihat sekeliling. Tiada kelibat Pak Luqman langsung. Nelly mencapai tangan Zak dan menariknya. Zak terkejut lalu meloloskan diri daripada pegangannya. Dia takut Nelly memperdayakannya.

Nelly menuding ke pintu dapur yang terbuka. Dia menggesa Zak untuk lari. Tangan Zak dicapai lagi lalu dia menarik Zak ke luar. Kali ini, Zak membiarkan dirinya ditarik. Di luar, keadaan amat silau. Sudah lama dia tidak melihat sang matahari. Mereka berhenti di luar dapur.

CULIK1.0Where stories live. Discover now