CULIK1.0 - Bab 21

622 31 13
                                    

Selepas makan tengahari, Luqman menghabiskan masanya di kawasan dapur. Dia sibuk mengukur pintu bilik Maikel dari luar sambil memikirkan mekanisme untuk membina pintu gelongsor itu. Papan gelongsor harus disembunyikan di sebalik dinding supaya tidak kelihatan dari dapur.

Nelly pula memerhatikannya dengan penuh tanda tanya. Apa yang ingin dilakukan oleh suaminya sekarang? Dia melihat lakaran yang dibuat oleh Luqman menggunakan marker hitam tebal pada helaian surat khabar. Luqman cuba untuk menjelaskannya tadi tetapi Nelly kurang memahami. Hal infrastruktur rumah biasanya diserahkan kepada Luqman sahaja.

Apabila semuanya sudah selesai, Luqman memberitahu Nelly yang dia akan ke pekan untuk mendapatkan peralatan yang diperlukan. Nelly mengingatkannya untuk mendapatkan serbuk kunyit sebelum mengucup tangan suaminya. Luqman merancang untuk balik cepat-cepat. Dia tidak ingin meninggalkan Nelly seorang diri di rumah lama-lama, terutamanya selepas kedatangan detektif pagi tadi. Lagipun dia tahu Nelly ingin menyediakan ayam goreng kunyit untuk hidangan makan malam.

Lori dipandu laju menuju ke pekan. Luqman terus pergi ke pasar raya untuk membeli serbuk kunyit dan beberapa keperluan dapur yang lain. Kemudian dia pergi ke kedai pertukangan untuk membeli papan dan selebihnya. Tak sampai sejam, dia sudah dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketika lorinya memasuki perkarangan rumah, kelihatan kereta yang melawat pagi ini terparkir di situ. MinHo sedang mengetuk pintu depan dengan kuat sementara Nelly tidak kelihatan di mana-mana. Nasib baik isterinya telah mengunci pintu tadi. Dengan segera Luqman menghentikan lorinya di belakang kereta itu dan bergegas turun.

"Mana anak saya? Mana kamu sembunyikan anak saya?" jerit MinHo sambil memegang bahu Luqman dan menggoyangnya kuat. Dia yakin anaknya berada di situ kerana baju putih berlukisan kartun Psy Gangnam yang disidai oleh Nelly pagi tadi adalah pakaian kegemaran anaknya, milik anaknya. Luqman kata mereka tidak mempunyai anak, tapi kenapa mereka mencuci baju kanak-kanak? Kalau baju itu bukan milik Zak, apa penjelasan mereka? MinHo tidak percaya kepada kebetulan. Dia yakin Zak berada di dalam.

Dengan kasar Luqman menolak tangan MinHo ke tepi dan melangkah ke belakang, membebaskan diri daripada genggaman detektif itu. Dia membetulkan bajunya dan menjeling ke arah detektif itu.

"Apa yang kamu mengarut ni!" Berkerut dahi Luqman. Dia keliru sebentar. Kemudian dia ternampak Nelly mengintai dari sebalik langsir tingkap di tepi pintu depan mereka. Luqman memberi isyarat supaya tidak membuka pintu.

"Anak saya. Anak saya ... Zak. Dia ada di sini. Mana dia?" jerit MinHo lagi.

"Saya tak tahu apa yang kamu cakapkan ni...," Luqman menafikannya. Baru dia sedar yang detektif ini adalah bapa kepada Zak. Patutlah begitu cepat dia menjejakinya. Dia terculik anak pegawai polis.

MinHo menjadi semakin marah. Dia mencapai tengkuk leher Luqman lalu menumbuk mukanya. Berdarah terus bibir Luqman. Baru dia ingin melepaskan tumbukan kedua, pintu depan terbuka. Nelly keluar untuk mendapatkan suaminya. MinHo terus memasuki rumah itu untuk mencari anaknya.

Nelly ingin melihat kecederaan pada bibir suaminya tetapi Luqman menolaknya ke tepi. Dia segera mengikuti MinHo ke dalam rumah. Panik melanda dirinya. Dia tidak boleh kehilangan Zak. Dia tidak mahu isterinya menjadi murung dan gila semula. Nelly tidak boleh kehilangan anak mereka sekali lagi.

Melihat ruang tamu yang kosong, MinHo mendapatkan pintu pertama yang dilihatnya. Dia membuka dengan mudah. Bilik tidur Luqman dan Nelly. Dia mencari di dalam almari, di bawah katil, di sebalik langsir. Tiada. Dia berpaling untuk keluar tetapi Luqman menghalangnya di muka pintu.

"Kamu tak boleh buat begini. Kamu tiada waran," kata Luqman. Nelly yang berada di belakangnya menggigil ketakutan. Kedua-dua lelaki seperti singa sedang bertarung. Jelingan mata mereka amat menakutkan.

"Waran. Saya ada waran. Nah! Ini warannya. Sekarang, tolong ke tepi!" MinHo menunjukkan waran yang baru diemel oleh Detektif Rina sebentar tadi ketika dia dalam perjalanan ke Temerloh. Luqman mengecilkan matanya melihat skrin telefon pintar itu.

"Ini tak kira. Saya nak tengok dokumen sebenar," protes Luqman.

MinHo menghempas telefonnya pada lantai sambil berdengus marah. Dia seperti orang gila sekarang. Pistol dicapai daripada pemegang di pinggang belakang lalu MinHo mengacukannya pada Luqman yang segera mengangkat kedua-dua tangan di depan dadanya.

"Tepi!"

"Tapi...."

"Kamu tepi sekarang, kalau tak...," Pistol diacukan pada Nelly pula. Terus Luqman melangkah ke belakang untuk melindungi isterinya.

MinHo melangkah keluar dari bilik tidur itu. Dia kemudiannya membuka pintu yang kedua. Tandas. Sekali lihat, tiada sesiapa di situ. Dia masuk ke kawasan dapur pula. Terus matanya ternampak pintu yang berkunci tiga buah mangga yang terdapat di belakang dapur itu.

"Buka! Cepat buka sekarang!" perintah MinHo. Pistolnya diacu ke arah mereka berdua. Nelly menggenggam lengan Luqman yang enggan berganjak. Badannya menggigil. Nelly menolak suaminya sedikit, mengisyaratkan supaya Luqman patuh saja. Tetapi Luqman tidak mencapai kunci di dalam sakunya. Dengan perlahan, dia menolak Nelly ke belakangnya.

"Mana kunci? Buka sekarang juga!" Lantang suara MinHo memberi arahan. Luqman tidak melakukan apa-apa. Dia memerhatikan MinHo dengan jantung berdegup laju sambil memikirkan jalan keluar.

Tiba-tiba kemarahan mula berapi dalam hati Luqman. Baginya, MinHo sedang memusnahkan keluarga sempurnanya. Tangan Luqman digenggam kuat membentuk buku jari, sedia untuk menumbuk bila-bila.

"Zak! Jauhkan diri dari pintu. Papa nak masuk!" jerit MinHo pada pintu itu pula. "Zak! Dengar tak? Jauhkan diri dari pintu. Faham?!"

Tiada balasan. Luqman juga pelik. Takkan begitu sekali kalis bunyi dinding berlapik yang dibinanya dalam bilik Maikel. Tujuannya supaya orang luar tidak boleh mendengar bunyi dari dalam. Tapi rasanya, penghuni di dalam boleh mendengar bunyi dari luar.

"Zak! Berdiri jauh-jauh! Papa nak masuk sekarang!"

MinHo mengacukan pistol pada ketiga-tiga mangga yang mengunci pintu lalu menembak. Bunyi tembakan kuat memekakkan telinga. Nelly yang tidak dapat mendengar bunyi tembakan kuat itu turut terlompat ke belakang sedikit akibat terkejut. Dia menarik Luqman ke belakang sementara Luqman menutup telinganya. Polis gila!

Setelah mangga rosak ditembak, MinHo menolak pintu itu dan meluru masuk mencari anaknya. Sebuah bilik kosong menyambutnya. Tiada sesiapa di situ. Tandas dalam bilik turut dicarinya tetapi tiada sesiapa di situ. Dia kecewa.

Luqman pula terkejut. Mana Zak?

CULIK1.0Where stories live. Discover now