Keluar sahaja dari terowong lebuh raya pertama di Malaysia, cahaya matahari terus menyilau ke mata Luqman yang sedang memandu. Matahari masih tegak di atas kepala. Bahangnya terik dan panas. Luqman mengesat peluh yang membasahi dahinya dengan tuala putih yang disangkutkan pada bahu. Sememangnya keadaan panas sekali biarpun dikelilingi gunung-ganang hijau sepanjang Lebuh Raya Karak menuju ke kawasan pedalaman Pahang.
Kebanyakan kenderaan bergerak agak perlahan berbanding biasa. Mungkin kerana jalan yang berliku berserta selekoh-selekoh tajam melambatkan pemanduan semua. Ataupun panas terik matahari melahirkan rasa malas untuk terkejar-kejar ke destinasi yang seterusnya. Namun begitu, sekali-kala terdapat kereta mewah memecut laju di celah-celah kenderaan lain. Berderum kuat enjin mereka melewati lebuh raya selaju kilat. Sekejap sahaja mereka sudah menghilang ke depan dan ghaib daripada pandangan. Amat berbahaya. Pemecut kereta sebegini langsung tidak mempedulikan keselamatan pengguna lebuh raya yang lain. Mereka mementingkan diri sahaja.
Badan ditegakkan dengan kedua-dua tangan di atas stereng, Luqman menumpukan perhatian pada pemanduannya. Lori kecil yang dipandunya memanjat dan menurun selok-belok pergunungan itu dengan penuh cermat. Apabila sudah melintasi kawasan kaki bukit Genting Highlands dan Bukit Tinggi, kenderaan semakin berkurangan di lebuh raya. Barulah dia mengendurkan badannya sedikit dan bersandar ke belakang.
Bungkusan air kopi hitam yang tergantung di punat kunci pintu lori dicapai lalu diteguknya sedikit. Suam. Aisnya sudah cair. Alangkah bagus jika ianya masih sejuk. Luqman menggantungkannya kembali. Tiada niat untuk menghabiskan yang selebihnya. Peluh pada dahi dilap sekali lagi.
Kipas biru kecil di atas dashboard tiba-tiba berhenti. Luqman menekan satu per satu punat yang ada pada dasarnya. Kipas masih tidak berputar. Dia mendengus sendirian, "Sekarang baru nak rosak. Pandai ia memilih masa." Tingkap yang separa buka, diturunkan sepenuhnya. Biar angin masuk supaya dia tidak tenggelam dalam haba panas yang terperangkap di dalam lori itu. Tangannya kembali kepada stereng semula. Dia memilih untuk menggunakan jalan desa lalu mengambil exit pertama selepas Bukit Tinggi. Masih ada 40km lagi.
Jam di dashboard menunjukkan pukul 12:30 petang. Biasanya dia sudah sampai ke rumah dan sedang menjamu selera dengan keluarganya pada masa ini. Tetapi hari ini dia lewat sedikit kerana ada hal penting yang perlu diuruskan.
Biasanya dia pulang ke Temerloh dengan lori yang kosong. Tetapi hari ini berbeza. Ada sesuatu yang istimewa dibawanya pulang sekali. Lebih tepat lagi, ada seseorang. Namanya Zak. Tetapi Zak bakal menjadi Maikel.
#####
Sudah beberapa bulan Luqman memerhatikan Zak. Sejak kali pertama diperkenalkan kepada budak lelaki berumur 10 tahun itu, Luqman sudah terpaut. Muka kecilnya yang cerah dan bulat dengan dahi tinggi dan kening mata yang lebat, Zak sememangnya mirip anak Luqman. Ketinggian mereka berdua juga hampir sama. Rasanya Zak lebih tinggi sedikit. Hanya sedikit.
Sejak hari itu, setiap kali Luqman menghantar bekalan daging ke pasar pagi Seksyen Dua, Petaling Jaya, dia akan mencari kelibat Zak dalam kalangan orang ramai yang membeli barang di situ. Biasanya selepas jam 9:00 pagi barulah Zak datang ke pasar bersama ibunya. Sengaja Luqman memastikan dia berada di situ pada masa yang sama. Sambil memunggah bekalan daging ke gerai pelanggannya, dia akan memerhatikan Zak dari jauh. Periang budak itu. Sentiasa tersenyum dengan ceria. Juga banyak membantu ibunya mengangkat barang-barang yang dibeli. Memang seorang budak yang baik. Dalam diam Luqman memujinya.
Apabila ibu Zak singgah untuk membeli daging dan Luqman berada di situ, Zak pasti akan menyapanya, "Hai, Pak Luqman. Sihat ke?" Begitu petah sekali Zak bertanya khabar.
Luqman sekadar mengangguk setiap kali.
"Minggu depan birthday papa saya. Pak Luqman bawakan daging stik yang segar dan tebal-tebal, boleh?"
Tersenyum Luqman mendengar permintaannya. Penyayang juga budak ini. Daging stik segar dan tebal-tebal sudah Luqman hantarkan pagi ini, tetapi kasihan pada ayah Zak pula. Anaknya tiada untuk meraikan bersama.
Luqman memerhatikan Zak yang sedang tidur nyenyak di sebelahnya. Dia mengambil tuala dari bahunya dan mengesat peluh yang membasahi dahi budak itu. Rambut pendek yang melekat pada dahi tinggi itu ditolak ke tepi. Wajah Zak diamatinya sekali lagi. Memang mirip. Yang kekurangan hanya sesuatu pada pipi kanannya. Hal kecil dan mudah saja untuk diselesaikan. Luqman yakin pilihannya adalah tepat.
YOU ARE READING
CULIK1.0
Misteri / ThrillerDetektif MinHo seorang pegawai yang penuh dedikasi dalam usaha menjejaki orang, terutamanya kes-kes individu yang tiba-tiba lesap daripada kehidupan seharian. Setiap petunjuk, tidak kira sekecil mana, disiasatnya supaya ahli keluarga mangsa mendapat...