CULIK1.0 - Bab 12

614 31 0
                                    

Laporan rasmi baru selesai dibuat. Kebetulan setiap pagi Isnin, MinHo mengerahkan pasukannya untuk berkumpul dalam bilik mesyuarat untuk taklimat ringkas di mana dia akan mengagihkan tugasan baharu di samping meminta laporan perkembangan untuk kes-kes yang ditangani mereka. Pagi ini, semua pegawainya di dalam bilik mesyuarat itu terkejut dengan berita kehilangan Zak.

Tiada sesiapa berbicara untuk seketika. Ada yang merenung meja, ada yang menyibukkan diri membaca laporan yang dilampirkan. Masing-masing tidak berani melihat ke arah ketua mereka, khuatir kes itu akan ditugaskan kepada mereka. MinHo berdehem untuk mendapatkan perhatian mereka.

"Saya sendiri akan mengetuai kes ini. Seperti biasa, jika ada perkara penting tentang kes-kes yang kamu kendalikan, hubungi saya. Mesyuarat bersurai," kata MinHo lalu melangkah keluar dari bilik mesyuarat itu. Ketegangan suasana membuat dirinya turut tidak selesa.

Keadaan senyap tadi terus melesap. Ada yang bangun untuk beredar, ada yang sibuk berbicara tentang kes Zak.

"Saya rasa dejavu tadi bila laporan Zak dibaca. Kamu tahu kan, ketua pasukan sebelum ni, anaknya juga hilang," kata seorang pegawai senior.

"Anak Inspektor Rashid?"

"Ya. Inspektor Rashid mencari anaknya beberapa hari sebelum anaknya disyaki mati ditelan ular," jelas pegawai itu lagi.

"Jawatan ketua pasukan kita disumpah kot," duga pegawai yang satu lagi.

"Kalau macam tu, saya tak nak naik pangkatlah!"

Deraian ketawa mereka menarik perhatian pegawai lain yang masih ada dalam bilik mesyuarat itu. Cerita yang sama diulangi kepada pegawai muda yang tidak mengetahui tentang kes Mangsa. Ada yang rasakannya lucu, ada yang rasakannya dahsyat. Tiba-tiba, seseorang berdehem di muka pintu.

"Detektif Rina, pergi ke pasar pagi SS2 dan jumpa penjual daging di situ. Bawa artis ilustrasi bersama. Minta dia berikan deskripsi suspek utama, Luqman. Saya nakkan lakaran itu sebelum pukul 3 petang," arah MinHo.

Muka pegawai itu menjadi merah menahan malu. Dia mencapai fail di meja lalu keluar dari bilik mesyuarat untuk melaksanakan tugasnya. Pegawai-pegawai yang lain menunduk apabila melintasi MinHo yang masih berdiri di muka pintu.

#####

MinHo memperlahankan keretanya setelah memasuki Jalan Hujan Emas 1. Matanya mencari nombor rumah 214. Penjual daging yang memberi alamat ini kepadanya. Katanya arwah bos dia tinggal di situ dan dia tidak pasti jika keluarga arwah masih ada di situ lagi. MinHo berharap dapat berjumpa dengan isteri arwah untuk menanyakan beberapa persoalan.

Nombor 214. MinHo menghentikan keretanya di depan pintu pagar merah. Seorang wanita separuh umur sedang menyiram pokok bunga. Dia menoleh dan mengerutkan dahinya apabila melihat Minho keluar dari keretanya. Dia menutup pili air apabila menyedari MinHo mendekati rumahnya.

"Cari siapa?" tanya wanita itu.

MinHo menunjukkan lencana dan memperkenalkan dirinya. Wanita itu mempelawanya masuk. Dua cawan teh dan sepinggan kuih dihidangkan sebelum wanita itu sedia untuk bercerita.

"Puan kenal Luqman?" MinHo mengeluarkan buku nota kecil dari sakunya. Pen yang diklip pada poket kemeja dicapai lalu ditekan punatnya. Tangannya bersedia untuk mencatat sebarang maklumat penting.

"Dia pernah bekerja dengan kami. Tapi sejak arwah pergi, tiada sesiapa yang menjaga ladang di Pahang. Jadi saya telah jualkannya," jelas wanita itu. Sudah lama dia tidak berbicara tentang arwah suaminya. Orang di sekelilingnya terlalu berhati-hati untuk tidak mengungkitkannya tetapi dia rindu untuk bercerita sebenarnya.

"Puan tahu Luqman di mana sekarang?" tanya MinHo lagi.

"Tak pasti. Tapi saya tahu arwah suami saya di mana sekarang. Dia di syurga menanti saya," kata wanita itu lalu tersenyum sendiri. Berdiri bulu roma MinHo apabila mendengar kata-katanya. Sakitkah dia?

"Kamu mencari Luqman, kenapa?"

MinHo tidak menjawab. Kalau boleh, dia tidak ingin membuka cerita tentang kehilangan anaknya. Setiap kali dia perlu menceritakannya kepada seseorang, hatinya berasa pedih. Dia juga akan teringatkan Munirah dan Wini yang dihantar balik ke kampung untuk dijaga oleh ibunya buat sementara waktu. Dia perlu fokus mencari Zak.

MinHo ingin meminta diri apabila tiba-tiba wanita itu mula bercerita lagi.

"Sebenarnya Luqman tu kawan baik arwah."

MinHo mengambil tempat duduk semula. "Kawan baik?"

"Bukannya kawan rapat sangat pun. Tapi Luqman banyak membantu arwah ketika di rumah anak yatim," cerita wanita itu. Matanya merenung jauh ke luar tingkap.

"Rumah yatim?"

CULIK1.0Where stories live. Discover now