Makanan malam yang dihidangkan oleh Nelly terdiri daripada ayam garam kukus, telur campur kukus dan sup sayur. Semuanya dimasak dengan rasa sederhana – tidak terlalu masin ataupun manis. Bagi Luqman, kesemua makanan yang dihidang adalah tawar dan lebih sesuai untuk pesakit. Mungkin itu yang difikirkan Nelly ketika memasak; takkan nak hidangkan ayam goreng ranggup kegemaran Maikel ketika dia demam?
Maikel lebih lemah dari sebelum ini. Membuka mulut untuk disuap, dia mampu lagi tetapi dia menelan dengan perlahan sekali. Melihat keadaannya begitu, Nelly sendiri tidak berselera jadinya. Luqman hanya makan sedikit saja. Lalu terdapat banyak lauk yang bersisa.
Sementara Nelly mandi, Luqman memasukkan makanan itu ke dalam bekas plastik. Kemudian dia menuju ke bangsal di belakang rumah. Dia tidak perlu meninggalkan pesan kerana isterinya tahu dia kerap kali bekerja pada waktu malam.
Seperti biasa, Luqman menguncikan pintu dari dalam supaya tiada sesiapa yang boleh masuk atau meninjau dari luar. Dia menuju ke katil bayi di mana Zak berada. Luqman telah melepaskan kaki dan tangan Zak petang tadi. Pita pada mulut juga telah dibuang. Sekarang budak itu sedang meniarap, kepalanya tersandar pada lengan yang berlipat. Hujung kaki kanannya mencelup ke dalam lubang pada sudut kecil katil bayi itu. Matanya tertutup rapat.
Dengan perlahan, Luqman meletakkan bekas makanan yang dibawa bersebelahan katil bayi itu supaya tidak membangunkan Zak. Dia duduk seketika di situ memerhatikan budak itu. "Awak anak yang baik, Zak. Aku pasti awak akan menjadi anak yang baik untuk Nelly."
Luqman memasukkan tangan ke dalam katil bayi itu. Saat tangan kasarnya menyentuh pipi kanan Zak yang masih merah, mata budak itu terbeliak. Terus Zak mengengsot ke belakang untuk menjauhkan diri daripada Luqman.
Luqman tersentak dengan tindakannya tetapi dia tidak mengambil hati. Dia pasti lama-kelamaan Zak akan biasa dengan kehidupan baharunya di sini. Bekas makanan dihulurkan kepada Zak yang teragak-agak untuk mengambilnya.
"Makanlah, nak. Biar badan kamu bertenaga," kata Luqman kepadanya. Zak masih tidak bergerak. Dia sudah tidak percaya kepada kawannya, Pak Luqman.
"Yang ni, mama Zak yang masakkan. Baik kamu makan sedikit," kata Luqman lagi. Bekas makanan diletakkan pada dasar katil bayi itu berhampiran dengan Zak.
"Mama Zak yang masak?" Budak kecil itu semakin keliru. Luqman mengangguk. Zak membuka bekas makanan itu dengan seribu pertanyaan. 'Mengapa mama hantar bekal? Mama tahu yang dirinya dikurung oleh Pak Luqman? Apa yang sedang berlaku ni?'
Zak melihat kepingan ayam dan telur kukus di atas nasi putih dan terus tahu hidangan ini tidak disediakan oleh mamanya. Dia tidak pernah melihat mamanya masak lauk ini. Zak melemparkan makanan itu ke arah Luqman dengan marah.
"Tipu! Ni bukan masakan mama!"
Habis bersepah lantai dengan butiran nasi dan lauk. Luqman berdengus, bukan kerana mukanya terkena nasi tapi selepas ini, dia perlu membersihkan lantai pula.
Luqman menutup mata dan menarik nafas panjang. Dia perlu bersabar. Sebelum malam ini berakhir, dia perlu menceritakan semuanya kepada Zak. Dia perlu menyediakan budak itu untuk tugasan baharunya – iaitu menjadi anak Nelly sepanjang hayat.
Semua akan menjadi lebih mudah jika Zak tidak memprotes seperti budak-budak lain sebelum ini. Dia berharap Zak akan akur pada rancangannya. Itu saja yang dipintanya. Luqman mengambil tempat duduk betul-betul bertentangan Zak. Hanya pagar besi bayi katil yang memisahkan mereka. Kemudian, Luqman mula bercerita.
"Kamu harus tahu, nak, selepas malam ni, kamu bukan Zak lagi. Kamu adalah Maikel, anak kami."
#####
YOU ARE READING
CULIK1.0
Mystery / ThrillerDetektif MinHo seorang pegawai yang penuh dedikasi dalam usaha menjejaki orang, terutamanya kes-kes individu yang tiba-tiba lesap daripada kehidupan seharian. Setiap petunjuk, tidak kira sekecil mana, disiasatnya supaya ahli keluarga mangsa mendapat...