Jam pada dashboard menunjukkan pukul 10 malam. Bahu MinHo terasa lenguh akibat memandu dua jam ke Taiping. Lagipun dia banyak memandu hari ini. Dari rumah si janda di Taman OUG ke rumah anak yatim di Shah Alam, kemudiannya ke Taiping. Kalaulah nombor telefon yang dihulurkan oleh warden rumah anak yatim itu masih dalam operasi, dia tidak perlu datang ke sini.
Kereta diberhentikan di depan sebuah rumah kayu satu tingkat yang terpacak pada tiang. Di bawah rumah itu, sebuah kereta Saga hitam terparkir bersebelahan reban ayam. Sederet tangga kayu menghubungkan tanah pacak di depan rumah ke patio di atas di mana pintu utama tertutup rapat. Keadaan rumah itu gelap. Namun MinHo ternampak lampu terpasang pada tingkap belakang. Mungkin pemiliknya belum masuk tidur lagi.
Enjin kereta dimatikan. Saat MinHo ingin mencapai pintu, telefon bimbitnya berdering perlahan. Dia melihat sekilas pada skrin. Panggilan ini perlu dijawabnya. Dia menyandarkan badan ke belakang, menarik nafas dalam dan menekan punat hijau.
"Helo, sayang," katanya dengan mesra. Di hujung talian, Wini begitu teruja mendengar suara papanya. Dia gembira meluangkan masa bersama neneknya di kampung. Sekali-sekala, mamanya keluar dari bilik tetapi dilihat mama tidak seperti biasa. Mama tidak senyum atau bercakap dengan dia lagi. Dia merasa pelik tetapi nenek memberitahu yang mama sakit dan perlu berehat.
"Papa tahu apa yang Wini buat hari ni? Wini tolong nenek petik sayur!" ceritanya pada MinHo. Neneknya mengajar dia untuk memetik daun dari pohon hijau dan membilas daun-daun itu dengan air garam.
"Bagus tu. Balik nanti, Wini boleh bantu mama di dapur," puji MinHo. Kerisauan yang melanda di hati sepanjang hari surut sedikit apabila berbual dengan puterinya itu. Anak-beranak berbual untuk seketika, kemudian MinHo meminta Wini menghulurkan telefon kepada orang tuanya.
"Ummi, Nira macam mana?"
"Macam tu juga. Asyik terperuk dalam bilik. Sentiasa menangis saja," jelas ibu MinHo. "Dah jumpa Zak?"
MinHo menggeleng kepala walaupun ibunya tidak berada di depannya. Ibunya mendengar keluhannya dan tahu dia tidak mempunyai berita baru tentang Zak. Dia turut merisaukan keselamatan cucu sulungnya.
MinHo meminta ibunya untuk memberitahu jika keadaan Munirah bertambah teruk. Dia juga berterima kasih kepada ibunya kerana menolong menjaga keluarganya sementara dia mencari Zak. Sesudah itu, dia mematikan talian. Usaha mencari Zak harus diteruskan.
Dilihat lampu yang terpasang tadi sudah ditutup. Seluruh rumah gelap gelita. Patutkah saya mengganggu sekarang atau menunggu hari esok? MinHo mengambil keputusan untuk mengganggu penghuni rumah itu walaupun sudah lewat malam. Dia perlu mencari anaknya secepat mungkin.
Tangga kayu berbunyi apabila dipijak. Seketika kemudian, ketukan pada pintu memecah keheningan malam. MinHo menunggu seketika. Sunyi kembali. Dia mengetuk lagi.
Kali ini, kedengaran tapak kaki mendekati dari dalam rumah. Pintu dibuka sedikit lalu kepala seorang lelaki tua menjenguk ke luar.
"Minta maaf kerana mengganggu lewat malam ni. Saya sedang mencari seorang bernama Mohammad Fatrim?" Perlahan suara MinHo menjelaskan motif kedatangannya.
"Ya, saya. Ada apa? Tak boleh tunggu hingga pagi esok?" tanya lelaki tua itu. Suaranya mendatar, tidak marah. Dia cuma pelik mengapa ada yang bertandang ke rumahnya pada waktu ini.
"Saya Detektif MinHo. Ada sesuatu yang mustahak yang perlu saya tanya Pak Fatrim. Boleh saya masuk?" jelas MinHo lagi. Dia berharap lelaki itu akan bercakap dengannya pada malam itu juga.
Pak Fatrim teragak-agak sebentar sebelum membuka pintu luas dan membenarkan MinHo masuk. Kelihatan dia memakai sarong dan baju kaus putih. MinHo berasa bersalah kerana membangunkan Pak Fatrim yang mungkin sudah masuk tidur tadi.
Kedua-dua lelaki mengambil tempat duduk di ruang tamu. MinHo menegah Pak Fatrim daripada membuat minuman. Dia segan menyusahkan lelaki tua itu.
"Sebenarnya begini," MinHo menceritakan secara menyeluruh apa yang telah berlaku. "Saya tahu Pak Fatrim adalah bekas warden rumah yatim di mana Luqman pernah tinggal. Adakah kamu tahu di mana dia sekarang?"
Pak Fatrim menggeleng. Giliran dia membuka cerita.
"Ketika Luqman berumur 20, neneknya meninggal dan mewasiatkan sebidang tanah kepadanya. Namun dia hanya boleh menuntut tanah itu pada umur 21 tahun, selari dengan waktu dia diminta untuk meninggalkan rumah yatim. Beberapa minggu yang pertama, ada juga kami berhubung kerana saya membantunya dengan penuntutan tanah. Selepas itu, saya cuba untuk menghubunginya tetapi dia sudah tukar nombor telefon," kata Pak Fatrim.
"Kamu tahu tanah itu di mana?"
"Dekat Temerloh. Saya tidak berapa ingat alamatnya, tapi saya pasti ianya di daerah Temerloh, Pahang," jawab Pak Fatrim dengan yakin. Dalam ramai-ramai anak yatim yang diuruskannya, dia paling mengingati Luqman kerana kesnya yang luar biasa. Dia kasihan pada Luqman dan mencuba sedaya upaya untuk membantunya.
"Saya rasa tempat itu baik untuknya. Sebuah rumah besar di atas tanah 10 ekar. Jauh daripada jiran sebelah. Sesuai sekali untuk Luqman yang antisosial. Dia tidak suka bergaul dengan orang lain. Tanah itu sesuai untuk perwatakannya. Dia boleh bercucuk tanam atau menternak ayam untuk menyara dirinya dan Nelly," cerita Pak Fatrim lagi.
"Siapa Nelly?"
YOU ARE READING
CULIK1.0
Mystery / ThrillerDetektif MinHo seorang pegawai yang penuh dedikasi dalam usaha menjejaki orang, terutamanya kes-kes individu yang tiba-tiba lesap daripada kehidupan seharian. Setiap petunjuk, tidak kira sekecil mana, disiasatnya supaya ahli keluarga mangsa mendapat...