CULIK1.0 - Bab 17

545 32 7
                                    

Nelly menyediakan bubur telur untuk sarapan pada subuh Selasa. Matahari belum terbit lagi tetapi menjadi kebiasaan keluarga mereka untuk bersarapan lebih awal pada hari-hari Luqman perlu ke Kuala Lumpur. Bubur yang disediakan cair dan licin, mudah untuk ditelan. Sesuai untuk orang sakit. Tiga buah mangkuk besar terhidang di atas dulang. Air suam menjadi teman.

Seperti biasa, Luqman membuka kunci pada bilik Maikel dan mempelawa Nelly untuk masuk dahulu. Kemudiannya, dia mengunci pintu itu dari dalam. Nelly meletakkan dulang sarapan pada meja makan mereka. Dilihatnya Maikel masih sedang tidur. Badannya dibalut selimut dan kepalanya ditutup bantal.

Nelly merapati katil itu. Dia menarik selimut biru itu dengan perlahan untuk membangunkan anaknya tetapi budak itu menariknya kembali dengan kuat. Nelly mencuba lagi. Mereka bermain tarik selimut seketika sehingga Luqman bersuara.

"Ingat kata saya malam tadi? Jadi anak yang baik. Kalau tak, adik kamu akan mati. Selepas itu, kamu akan mati juga," kata Luqman. Suaranya mendatar tetapi kata-katanya cukup untuk menakutkan Zak di bawah selimut. Zak berhenti menarik selimutnya.

Nelly mengalihkan selimut dan bantal daripada anaknya. Dia terhenti seketika apabila melihat wajah Zak. Nafas Luqman terhenti apabila isterinya begitu khusyuk meneliti wajah Zak. Kepala Zak sudah dicukur botak semalam dan tanda lahir bulat telah dicapkan pada pipi kanannya. Struktur muka dan kepala Zak amat mirip dengan budak sebelum ini. Rasanya tiada masalah. Jantung Luqman tetap berdebar-debar.

"Senyum, Zak. Senyum pada ibu kamu," arah Luqman. Zak menurut saja. Nelly tersenyum melihat senyuman anaknya. Dia mengucup dahi Zak dengan penuh kasih sayang. Luqman mengangguk.

Memandangkan anaknya sudah bertambah sihat, Nelly mengisyaratkannya untuk bersarapan di meja makan. Zak menurut saja. Memang benar kata Luqman semalam. Ibu baharunya seorang yang pekak dan bisu.

Zak melihat bubur telur yang terhidang di hadapannya dan terus terkenangkan mamanya. Setiap kali dia jatuh sakit, itulah yang dimasak oleh mamanya. Air mata bergenang di mata. Saat itu, Zak berasa menyesal kerana tidak mendengar nasihat mamanya. Sepatutnya di pasar hari tu, dia memberitahu mamanya sebelum mencari Pak Luqman. Lebih-lebih lagi apabila Pak Luqman mengajaknya ke lori untuk mengambil sesuatu. Dia patut lebih berhati-hati. Kalau dia meminta kebenaran mamanya terlebih dahulu, mamanya mungkin tidak akan membenarkannya berbuat demikian dan semua ini tidak akan terjadi. Dia takkan diculik dan terperangkap di bilik ini.

Nelly mengusap kepala botak anaknya dan menghulurkan sudu supaya Zak boleh makan sendiri. Senyuman tidak pernah lekang dari bibir Nelly. Ibu baharunya mesra dan lemah lembut. Dia juga prihatin. Zak tidak sampai hati untuk menyakitkannya. Bukannya dia boleh membuat apa-apa pun dengan Luqman yang sentiasa memerhatikan setiap tindak-tanduknya.

Zak menyesap bubur cair itu dengan perlahan. Ia masih suam. Rasanya tawar. Dia melihat sekeliling meja. Tiada garam atau kicap. Luqman menjelingnya dengan garang.

"Habiskan bubur tu," arah Luqman.

"Tawar. Tak sedap."

"Baik kamu habiskan. Kalau tak, saya tak bagi makan lagi," ugut Luqman. Nelly yang duduk di antara mereka berdua hanya tersenyum. Pada pandangannya, bapa dan anak sedang bercerita dan menyulam kasih. 'Alangkah baik jika saya boleh mendengar perbualan mereka.'

Zak tidak bercakap lagi. Tangannya memegang sudu dan menyuap bubur ke dalam mulut perlahan-lahan. Masing-masing menikmati sarapan pagi dalam diam. Sepuluh minit kemudian, mereka habis bersarapan.

Nelly melihat ke dalam bakul baju di dalam tandas yang terdapat dalam bilik itu. Beberapa helai baju kotor dan seluar diambilnya untuk dicuci nanti. Dia membuka almari pakaian dan mengeluarkan sepasang seluar pendek biru dan baju hitam. Dia menghulurkannya kepada Zak dan mengisyaratkan supaya Zak menukar baju. Zak mengambil baju itu dan menyalin pakaian di dalam tandas. Baju yang dipakai tadi dimasukkan ke dalam baldi berserta pakaian kotor yang lain.

Seketika kemudian, Luqman mengisyaratkan kepada isterinya yang dia perlu pergi bekerja. Nelly memeluk Zak dan mencium dahinya sebelum pergi. Zak melihat ibu baharunya meninggalkan bilik itu dengan dulang sarapan. Luqman mencapai baldi pakaian kotor sebelum menutup pintu dengan rapat. Zak mendengar mangga dipasang dari luar. Dia terkurung lagi. 

CULIK1.0Where stories live. Discover now