CULIK1.0 - Bab 5

857 35 2
                                    

OUCH! Sakit yang tajam sekali saat sesuatu menyengat lengan kanannya. Apa yang menyengatnya, itu dia tidak tahu. Seingatnya sebelum sempat dia berpaling untuk melihat, dunia di sekelilingnya sudah mula berputar dan badannya tiba-tiba lemah seperti tauhu. Dia berasa dirinya rebah. Sepasang tangan menyambutnya dari belakang. Kemudian dia tidak ingat lagi.

Di bangsal itu, Zak mula sedar tetapi matanya terasa berat. Tidak mampu untuk dibuka. Apabila dia cuba untuk menggosok matanya, dia sedar yang tangannya diikat ke belakang. Apabila dia cuba untuk meluruskan badannya, dia sedar yang kakinya juga telah diikat. Apa ni? Kenapa ni? Dia mula memprotes lalu dia sedar yang mulutnya sudah dilekat dengan pita. Sakit bibirnya apabila dia cuba untuk membuka mulut. Kepalanya terasa berat sekali.

Zak cuba untuk membuka matanya lagi. Perlahan-lahan kali ini. Amat payah untuk membuka kelopak mata yang terasa berat semacam. Dibuka seketika, kemudian ditutup semula berulang kali sehingga penglihatannya jelas semula. Benda pertama yang dilihatnya adalah dinding. Begitu dekat sekali dia pada dinding. Perlahan-lahan dia memusingkan badannya sehingga dia berbaring pada belakangnya. Sekarang dia menghadap permukaan yang kelihatan seperti keluli.

Saya di mana ni? Matanya berkelip beberapa kali membiasakan diri dengan keadaan sekeliling yang malap. Penglihatannya semakin jelas apabila anak matanya sudah biasa dengan keadaan samar-samar itu. Zak cuba untuk bergerak pula. Kakinya tertendang sesuatu.

"Shhh ... jangan bising."

Tersentak Zak mendengar teguran itu. Dia tidak bergerak lagi. Tidak berani. Siapa tu, Zak ingin bertanya tetapi mulutnya masih dipita. Selepas seketika, dia cuba untuk bangun tetapi kepalanya terasa berat. Dia terbaring semula. Dia menutup mata menahan sakit yang bergetar pada kepalanya. 'Aduhai! Beratnya kepala saya,' dia mengadu dalam diam. Zak menggigit bibir menahan sakit.

Seketika kemudian, dia membuka mata sekali lagi. Kali ini, dia memusing kepalanya dengan perlahan. Dilihatnya ke kiri. Sebatang besi. Dilihatnya ke kanan. Sederet batang besi baru betul. Apa tempat ni?

Perlahan-lahan Zak mendudukkan diri bersandarkan pagar besi itu. Tangan dan kaki yang diikat memperlahankan pergerakannya. Badannya membengkok sedikit kerana langit-langit besi yang rendah. Dia melihat sekeliling dirinya. Di tengah-tengah bilik itu, dia ternampak seseorang yang cukup dikenalinya. Zak menghela nafas lega.

Pak Luqman sedang duduk di atas sebuah peti kayu kecil. Zak kenal Pak Luqman. Mereka kawan. Walaupun Zak tidak pasti apa yang sedang berlaku, dia yakin orang tua itu akan membantunya.

Zak cuba untuk memanggil Pak Luqman tetapi mulutnya masih ditutup dengan pita hitam. Dia menendang pagar besi yang mengelilinginya untuk menarik perhatian orang tua itu. Tetapi Pak Luqman tidak bergerak. Menoleh pun tidak. Zak mencuba lagi.

"Shhh ... duduk diam-diam!" Pak Luqman meninggikan suaranya. Zak terkejut. Tidak pernah Pak Luqman bersuara garang seperti itu. Semakin lama dia memerhatikan Pak Luqman, semakin dia takut. Pak Luqman kelihatan berbeza. Renungan tajamnya menakutkan Zak. Papa, mama, mana kamu? Zak takut ni.

Titisan air mata mula membasahi pipi Zak. Namun begitu, pandangannya masih tertumpu pada Pak Luqman. Mungkinkah dia salah lihat? Betulkah itu Pak Luqman? Mungkinkah orang itu hanya mirip Pak Luqman?

Tidak mungkin itu Pak Luqman. Pak Luqman yang dia kenal baik orangnya.

Pak Luqman sedang membuat sesuatu bersebelahan dengan sebuah penunu bunsen yang terletak di atas meja. Sebatang besi tipis seperti lidi pemanggang BBQ dipegangnya. Dia sedang sibuk mengusik sesuatu pada hujung batang besi itu. Sekali-kala, dia mendekatkan batang besi itu pada api bunsen yang ternyala.

Zak tidak mengerti apa yang sedang berlaku. Yang dia tahu kini dia dikurung dan di depannya adalah Pak Luqman. Itu saja yang dia tahu. Saat-saat sebegini, dia terfikirkan papanya. Papanya selalu memberitahu kalau ada apa-apa yang berlaku, pertama sekali kita mesti bertenang. Yang kedua, cuba fahami apa yang sedang berlaku. Zak memerhatikan Pak Luqman lagi.

Pak Luqman sedang melakukan sesuatu pada lidi besi yang dipegangnya, kemudian membakarnya pada api bunsen. Perbuatan yang sama diulangnya beberapa kali. Zak bosan melihatnya begitu. Dia melihat sekeliling lagi. Rupa-rupanya dia berada di dalam sebuah sangkar besi yang kelihatan seperti katil bayi. Tapi saiznya lebih besar. Dan rekaannya berbeza. Ada sebuah lubang bersaiz enam inci diameter pada sudut kecil sangkar itu. Apakah gunanya?

Zak menggerakkan badannya mencuba untuk mendekati lubang itu tetapi gagal. Dia melihat pergelangan kakinya yang diikat. Dia cuba untuk menggerakkan kakinya tetapi terasa lemah dan berat. Seluruh badannya terasa berat sebenarnya, seperti ditimpa batu. Aneh. Kenapa badannya lemah?

Pandangannya menerokai keadaan sekeliling pula. Dia berada di dalam sebuah bilik besar. Dinding berwarna putih dipenuhi dengan tompokan berwarna coklat gelap. Ia bukan hiasan dinding. Lebih seperti kesan-kesan cecair yang terpercik. Ada yang berwarna coklat gelap, ada yang berwarna merah pekat. 'Di manakah saya sebenarnya?' tanya Zak dalam hati.

Mata Zak merayau lagi. 'Tinggi juga langit-langit bilik ini. Mana pintunya?' Dia tercari-cari jalan keluar. Hanya sebuah pintu yang dinampaknya. Dia mencari tingkap pula. Sepasang tingkap terletak pada sudut tertinggi di bahagian atas dinding berdekatan dengan bumbung bangsal. Terlalu tinggi. Tidak mungkin dia dapat mencapainya. Mungkinkah ada tangga?

Matanya melilau mencari lagi tetapi dia tidak nampak apa-apa kecuali sederet kabinet lama terpaut pada dinding dan sebuah meja kayu besar di tengah-tengah bangsal itu. Berdekatan pintu, terdapat sebuah mesin yang tidak dikenali Zak dan sebuah peti beku putih. Tiada tangga. Dalam diam, Zak mengeluh.

'Mesti papa dan mama sedang mencari saya sekarang,' fikirnya. Dia percaya papanya sebagai seorang detektif polis mampu mencarinya. Lebih-lebih lagi papanya yang memangku jawatan sebagai ketua Pasukan OH (Orang Hilang). Papanya pakar dalam bidang mencari orang hilang. Pasti papanya akan menjumpainya tidak lama lagi. Begitu yakin sekali Zak pada papanya.

CULIK1.0Where stories live. Discover now