CULIK1.0 - Bab 13

625 33 14
                                    

Seekor lembu yang baru disembelih, diasingkan kepada beberapa buah baldi besar. Bahagian yang akan dijadikan daging kisar diangkut ke mesin pengisar besar yang terletak di tepi pintu dalam bangsal. Daging dikisar dan bahagian yang dipotong-potong tadi dimasukkan ke dalam peti beku berdekatan dengan mesin pengisar.

Luqman mengangkut seekor lagi lembu dari lorinya ke bangsal dengan troli. Lembu mati itu diletak di atas meja sembelihnya yang terletak di tengah-tengah bangsal itu. Dia bersungguh-sungguh menyembelih dan menyediakan daging itu untuk dihantar ke pasar esok nanti. Bau darah dan daging mentah memenuhi bangsal tetapi bau hanyir itu tidak meloyakan Luqman. Dia sudah biasa.

Zak yang sedang memerhatikannya merasa meluat lalu memuntahkan nasi goreng yang baru dimakan tadi. Luqman berpaling melihatnya. Zak tidak muntah ke dalam baldi kecil di bawah lubang pada dasar katil bayi itu. Berterabur kotor seluruh dasar katil bayi itu.

"Kau tidur ngan muntah itu nanti. Saya takkan bersihkannya," kata Luqman. Muka Zak menjadi pucat. Dia mengensot badan menjauhi muntah sendiri. Kepalanya terhantuk pada sisi katil kerana terlalu cepat bergerak. Punggungnya hanya satu inci daripada isi muntahnya. Zak berasa loya. Dia ingin menangis tetapi teringatkan papanya.

"Anak lelaki mesti berani. Jangan nangis depan orang. Bila menghadapi masalah, beranikan diri dan berusaha mencari penyelesaian. Pasti ada jalan keluarnya." Kata-kata papanya sering bermain di fikiran sejak dirinya dalam tawanan. Zak mengetap bibir menahan perasaan. Dia masih dalam kejutan sebenarnya.

Sepanjang malam, ketika dia ditinggalkan keseorangan dalam bangsal, Zak menangis sambil memeluk dirinya. Sebenarnya, dia benar-benar takut. Dia takut dengan apa yang sedang berlaku kepadanya. Dia takut yang Luqman akan mengapa-apakannya. Dia takut yang Luqman akan mencederakan adiknya. Dia takut takkan berjumpa dengan papa dan mamanya lagi.

Dalam takut, dia juga masih terkejut yang Luqman melakukan semua ini. Luqman yang dia kenali adalah baik dan murah hati, bukan seorang penculik. Dia suka Luqman kerana lelaki itu pandai bercerita. Setiap kali ke pasar, kalau masa membenarkannya, dia akan lepak bersama Luqman. Mamanya bercerita dengan kawan di kedai teh sementara dia mendengar cerita Luqman di belakang gerai daging. Dia tahu mamanya akan memerhatikannya dari kedai teh. Luqman juga sering menghadiahkan benda-benda kecil kepadanya seperti sebatang gigi harimau, sehelai bulu pelepah dari burung hantu dan sebagainya. Luqman seorang pemburu haram yang memburu haiwan-haiwan seperti ular, musang dan monyet untuk dijual kepada orang Cina dari Taiwan. Menurut kata Luqman, mereka suka makan daging eksotik sebegini dan keuntungannya amat lumayan. Cerita-cerita sebegini yang menarik minat Zak untuk berkawan dengannya.

Luqman di hadapannya sekarang berbeza sama sekali dengan Luqman yang dikenalinya sebelum ini. Lelaki ini adalah seorang raksasa. Dia kejam, jahat dan gila. Dia bukan manusia.

Zak memerhatikan Luqman yang baru habis menyembelih lembu yang dibawa masuk tadi. Luqman mengelap tangannya pada apron yang penuh dengan percikan darah lalu keluar lagi. Pintu bangsal ditutup rapat. Zak mengeluh panjang.

Hampir setengah jam berlalu. Zak hampir terlelap apabila tiba-tiba pintu bangsal dibuka lagi. Luqman mengendong sesuatu yang agak berat masuk. Zak menggosok mata untuk menghilangkan penatnya dan cuba untuk melihat apa yang digendong masuk. Luqman mendekati meja sembelihnya dan melemparkan beban yang dipikul. Mata Zak terbeliak.

Seorang budak lelaki terbaring di atas meja sembelih itu. Budak itu kelihatan sebaya dengannya. Walaupun dilempar dengan kuat, budak itu tidak bergerak. Mungkin dia tidak sedar diri. Luqman cepat-cepat mengunci pintu bangsal sebelum mencapai pisau sembelihnya. Pisau sembelih ditajamkan untuk tugasan seterusnya.

"Saya cadangkan kamu tutup mata. Kamu tidak ingin lihat ni," kata Luqman sebelum dia mula menyembelih Maikel. Budak yang menjadi anak mereka selama dua tahun itu disembelihnya tanpa belas kasihan. Dimulakan dengan pergelangan tangan sehingga semuanya menjadi berketul-ketul mengikut sendi tulang.

Zak muntah sekali lagi apabila melihat apa yang berlaku. Dia menutup matanya lalu menangis deras. Badannya menggigil ketakutan. Dia terkencing lagi.

Luqman tidak mempedulikannya. Daging dan tulang badan budak itu diasingkannya dengan teliti. Setiap tulang dimasukkan ke dalam sebuah baldi yang besar. Ketulan daging pula dimasukkan ke dalam mesin pengisar bersama daging lembu sebelum ini. Daging kisar itu akan dijual di pasar pagi nanti.

Luqman tahu inilah cara terbaik untuk menyelesaikan mayat itu kerana ini bukan kali pertama dia melakukannya. Zak adalah budak kelima yang diculiknya.

CULIK1.0Where stories live. Discover now