CULIK1.0 - Bab 3

1K 46 2
                                    


Selepas pukul satu petang barulah Luqman memandu masuk ke pekarangan rumahnya. Kelihatan isterinya, Nelly, sedang menyiram pokok bunga di tepi rumah. Apabila dia ternampak lori Luqman, dia melambai pada suaminya dengan senyuman manis. Luqman membalas lambaiannya. Sengaja lori tidak diberhentikan di depan rumah supaya Nelly tidak boleh nampak yang Luqman tidak bersendirian. Sebaliknya Luqman terus memandu ke belakang rumah. Bangsal tempat dia bekerja terletak tidak jauh dari situ.

Bangsal itu sederhana besarnya dan diperbuat daripada batu-bata. Tiada sesiapa yang dapat melihat ke dalam dari luar kerana dindingnya tiga kaki lebih tinggi daripada bangsal biasa. Sepasang tingkap yang ada terletak di bahagian atas dinding berdekatan dengan bumbung bangsal. Tidak dapat dicapai langsung tanpa tangga. Sengaja dibina begitu supaya lebih privasi. Pintu masuknya cuma satu. Hanya Luqman mempunyai kunci pintu itu. Hanya Luqman yang menggunakan bangsal itu.

Sejak ia dibina, Nelly hanya pernah menjejak masuk ke bangsal itu sekali. Tidak pernah lagi selepas itu. Katanya tempat kerja Luqman berbau busuk dengan bisa-bisa masam hanyir yang dibawa oleh kematian haiwan yang disembelih. Walaupun Luqman bekerja tiga hari seminggu di ladang majikannya menyembelih lembu dan menghantar daging ke Lembah Klang, Nelly tahu yang dia juga memburu haiwan eksotik untuk dijual secara persendirian. Ia adalah haram dan dia risau jika Luqman ditangkap kerana melanggar undang-undang. Tetapi Luqman terus juga dengan kerja haramnya walaupun tidak dipersetujui Nelly.

Luqman turun dari lorinya. Dia melihat ke arah rumah mereka. Hos air sudah digulung dan disimpan pada pili paip. Nelly sudah tidak kelihatan di laman. 'Mesti sedang menyediakan makanan tengahari,' duga Luqman. Dia mengambil peluang itu untuk memindahkan Zak yang separa sedar dan lemah longlai. Kunci pada pintu bangsal dibukanya lalu dia mendukung Zak ke dalam. Zak dibiarkan di atas lantai sementara dia menutup pintu semula. Kali ini, dia mengunci pintu dari dalam pula.

Selepas itu, Luqman mendukung Zak semula dan menurunkan budak itu ke dalam katil bayi yang tersedia di sudut jauh bangsal itu. Katil itu bukan katil bayi biasa. Panjangnya empat kaki, lebarnya dua kaki, dalamnya dua kaki. Diperbuat daripada besi yang tebal dan kuat. Pintu tutupnya dari atas diperbuat daripada kepingan keluli yang tebal. Kukuh dan stabil. Ia merupakan hasil tangan Luqman.

Luqman mencapai sebatang picagari baru dari kabinet dan menghampiri Zak. Budak itu masih separa sedar. Dia mencapai lengan kanan Zak dan menyuntik perlahan. Hanya separuh dos yang digunakan. Yang selebihnya disimpan. Tidak boleh menyuntik terlalu banyak. Luqman risau ia mungkin meragut nyawa budak itu. Kalau satu dos boleh melemahkan seekor harimau, separuh dos adalah lebih daripada mencukupi untuk melemahkan seorang budak seperti Zak.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Luqman menutup mulut Zak dengan pita hitam supaya dia tidak dapat menjerit apabila sedar nanti. Kedua-dua tangannya diikat ke belakang dengan tali. Kaki disusun rapat sebelum dililit dengan pita hitam pula. Luqman memastikan badan Zak terbaring dan kepalanya menghadap dinding di sebelah katil itu. Kemudian katil bayi dikunci dengan dua buah mangga yang besar. Selesai. Nanti baru dia akan menguruskan yang selebihnya.

Pintu bangsal ditutup dan dikunci semula dari luar. Kunci disimpan dalam saku seluar lalu Luqman berjalan menuju ke rumahnya. Perutnya sudah berkeroncong meminta untuk diisi. Apa agaknya yang disediakan oleh Nelly hari ini? Luqman tidak sabar untuk menjamu selera dengan keluarganya. Setiap tengah hari juga mereka makan bersama. Tidak pernah dia makan seorang. Tidak juga pernah dia membiarkan Nelly makan bersendirian dengan Maikel. Itu adalah tidak mungkin sama sekali.

CULIK1.0Where stories live. Discover now