Aku bersandar kekenyangan pada kerusi empuk itu. Mahu tak kenyangnya, licin sepinggan quarter roasted black pepper chicken aku bedal. Dengan hidangan sampingan, crisp garden salad dan chocolate muffin betul-betul membuatkan aku tak ubah seperti ular sawa baru sudah baham seekor kambing. Itu pun awalnya Hakimi ini tanya nak tambah classic cheese cake ke tak. Aku awal-awal angkat bendera putih. Takut tak termakan, kan ke membazir namanya. Membazir itu kan perangai syaitan. Na'uzubillah.
"Betul tak nak tambah apa-apa dah ni? Muffin ke? Tak pun fruit salad. Nak?" soalnya ramah. Ini kenapa aku rasa prihatin dan mesra alam semacam pula ni. Entah-entah ada udang di sebalik batu tak?
Aku hanya menggeleng. Cukuplah, karang tak terjalan aku dibuatnya. Dia nak dukung ke? Tak payah tanya, aku awal-awal akan tolak sendiri. Tak nak aku!
"Okey, kejap." Dia memanggil pelayan untuk meminta bil. Kemudian, dia bangun dan menuju pula ke kaunter bayaran. Sementara itu, aku menghabiskan air teh limau ais yang masih berbaki di dalam gelas.
"Dah, jom!" Aku mengambil beg-beg kertas dari atas tempat duduk sebelah. Langkah di atur ke tempat parkir kereta terbuka di luar pusat beli-belah. Almaklumlah, hujung-hujung minggu sebegini memanglah tempat parkir kereta terhad yang amat.
Sebaik sahaja aku meloloskan diri ke dalam kereta Volkswagen Golf berwarna merah itu, jam tangan kukerling sekilas. Hampir enam petang. Mujur sahaja aku uzur hari ini. Jadi, tak payahlah susah-susah nak fikir soal solat buat masa sekarang. Tetapi, yang menghairankan aku, sepanjang lebih kurang empat jam kami di sini, tak adalah pula aku perasan dia meminta diri ke surau. Dua puluh empat jam berkepit dengan aku. Okey, tak adalah berkepit sangat. Cuma, dia tak pernah berenggang dariku. Ke mana aku pergi, di situ dia ada. Takkanlah dia pun tak boleh solat? Eh, tak mungkin!
Sedang aku asyik mengelamun sendiri, sergahan Hakimi mengembalikan aku ke alam yang nyata.
"Jom, keluar," arahnya. Alah, ini yang aku malas ini.
"Tak payahlah, I tunggu dalam kereta aje. Tak lama, kan?" balasku kembali. Malaslah nak keluar-keluar bagai. Nak ambil kad nama saja pun. Itu pun nak orang teman ke? Mengada betul!
"Ahh... Tak kira. Lama tak lama, keluar jugak!" putusnya. Ini baru perangainya yang sebenar. Diktator! Tadi itu, bajet nak kontrol macho saja.
"Tak payahlah. Kalau keluar pun, bukannya boleh buat apa. Dah-dah! Pergi ambil kad nama tu cepat. I tunggu dalam kereta saja. Cepat sikit!" bidasku kembali. Dia ingat dia seorang saja yang boleh mengarah? Aku pun bolehlah.
"Tak nak!" ujarnya macam budak-budak! Dah tua bangka macam ini pun, perangai macam budak-budak lagi. Silap-silap dah boleh jadi bapak budak pun. Tapi, kalau dia bapak, siapa maknya? Eh!
"Isy! Pergi ajelah. Karang kedai tutup baru padan dengan muka tu," balasku masih tidak mahu mengalah. Bukan boleh diikutkan sangat perangai mengada mamat ni.
"Kalau kau tak nak ikut. Aku pun tak nak keluar." Ek eleh mamat ni! Ada yang makan penampar jugak, kang!
"Isy! Mengada betul!" Aku meleraikan tali pinggang keledar yang merintangi tubuh.
"Wah! Baiknya ustazah kita!"
Aku hanya berlagak selamba seolah-olah tak dengar apa yang dikatakannya. Makin layan, bukannya makin baik. Makin parah, adalah! Aku jugak yang makan ulam hati cecah jantung nanti. Dia berjalan di hadapan dikuti aku di belakang.
"Yes, encik?" Seorang gadis Melayu lingkungan dua puluhan tersenyum manis kepada Hakimi. Hakimi turut membalas senyuman itu. Amboi, nampak dahi licin sikit, dan-dan cair! Lelaki tipikal!
"Tadi, I've received call cakap name card yang saya tempah hari tu dah siap. So, boleh saya ambil sekarang?" soal Hakimi kepada gadis yang berambut ikal itu penuh sopan. Aku mencebik tanda meluat. Pandai pula bersaya-awak dengan dia.