Aku menatap baris demi baris ayat yang terpapar pada skrin laptop Apple berwarna putih hadiah ayah sempena PMR dulu. Kemudian mata aku beralih pula kepada sehelai kertas putih A4 di sebelah kanan laptop. Berkerut-kerut dahiku cuba mencerna ayat-ayat yang terlayar di hadapan. Entah mengapa, sejak dua menjak ini, fikiranku sering sahaja melayang memikirkan mamat sombong itu. Aku sendiri pun tak faham kenapa. Kadang-kadang, aku tengok pinggan pun, nampak muka mamat tu. Pening kepala aku dibuatnya. Nak kata, dah lama kenal, rasanya baru dua kali kami bersua muka. Nak kata suka, mustahil! Nak kata ada jodoh... Takkan kot!
Sudahnya, aku menghabiskan pembacaan sesegera mungkin. Besok, aku akan mula mengajar di sekolah lamaku. Entah macam manalah agaknya, pe'el budak-budak zaman sekarang. Manalah nak tahu, sekarang zaman sudah membangun, jangan-jangan pelajar lagi advance dari cikgu. Tak pun, masih kekal di tampuk lama. Atau... Mereka, seperti aku yang dulu?
Kertas-kertas yang berconteng disusun dan dimasukkan ke dalam fail oren berserta panduan mengajar yang diberikan Ustaz Rashid tadi. Tiba-tiba aku teringat kata-kata ustaz sebelum aku pulang tadi.
"Didiklah mereka, sebagaimana kamu mendidik diri sendiri."
Pusing jugak aku dibuatnya. Apa maksud ustaz? Didik mereka seperti mendidik diri aku sendiri?
Selesai semuanya, aku merebahkan badan ke atas tilam. Aku meregangkan urat. Serasa semua penat melayang pergi.
"Kimi..." tanpa kupinta, bibirku menuturkan sesuatu di luar jangkauan mindaku. Involuntary action betul! Semoga esok berjalan lancar. Ameen!
***
"Assalamu'alaikum," tuturku sebaik sahaja kakiku melangkah ke dalam Kelas 4 Al-Nafasi pagi itu. Senyuman terhias di wajahku. Aku berasa begitu bersemangat untuk memulakan sesi pengajaranku yang pertama. Pelajar-pelajar yang tadinya rancak bersembang mula bergerak ke tempat masing-masing. Aku meletakkan buku-bukuku ke atas meja guru.
"Wa'alaikumussalam warahmatullah hiwabarakatuh, cikgu," jawab pelajar-pelajar serentak.
Kemudian, masing-masing menadah tangan dan berdoa. Tidak terkecuali, aku.
"Okay kelas. Kamu semua boleh duduk," ujarku sambil mataku melilau ke segenap kelas. Semua dah berubah. Meja-meja pun sudah bertukar baru. Kalau tak silap aku, sekolah ini telah mendapat gelaran Sekolah Kluster Kecemerlangan. Tetapi, aku sendiri kurang pasti apa fungsi gelaran sedemikian diwujudkan.
Kelihatan beberapa pelajar sedang berbisik sesama sendiri. Binggung pastinya. Tak kurang pula, yang masih bersembang dan membuat hal masing-masing. Lumrahlah, pelajar.
"Okay, nama cikgu, Aufa Aulia Asmadi. Boleh panggil Cikgu Aufa." Aku mencapai marker berwarna biru dan mula menulis namaku di atas papan putih yang masih berbekas pengajaran semalam.
"Saya akan menggantikan cikgu kamu yang sebelum ini. Cikgu Huda akan mengajar Form 5. Dan saya, akan mengajar kamu semua," terangku. Semua pelajar mengangguk faham. Ada jugak yang mencatat namaku.
"Urm... Saya lulusan Multimedia University atau MMU dalam bidang Science Biochemistry. Kamu pernah dengar tak MMU?" soalku, cuba memancing minat pelajar-pelajar.
"Tak..." Serentak mereka semua menjawab. Aku menggeleng seraya tertawa halus. Tak ramai yang tahu tempat aku belajar.
"MMU ni dekat Cyberjaya. Kamu tahu Cyberjaya?"
"Putrajaya tahulah, cikgu." Seorang pelajar lelaki berkulit cerah menjawab.
"Haaa... Dekat area-area situlah. Putrajaya dekat dengan Cyberjaya. Kira, jiran bau-bau machang lah," ujarku. Kelihatan beberapa orang pelajar tersenyum.