“SUDAH-SUDAHLAH nangis tu..”
Aku pandang huluran krim Vicks di hadapan mataku. Tangan yang tadinya ligat mengurut pangkal hidung langsung terhenti. Cepat-cepat aku palingkan wajah ke arah lain. Rasa menyampah makin meluap-luap dalam diri.
“Nahlah!” ujar tuan empunya suara. Kedengaran tegas seolah-olah seorang platun sedang memberi arahan kepada pasukan kawat kaki.
Aku pura-pura tidak dengar. Rasa ngilu dan sengal yang menyengat membuatkan aku kembali mengurut pangkal hidung. Besar kemungkinan aku sudah macam badut sarkas agaknya. Itu yang dari tadi Hakimi gelakkan aku tak henti-henti. Suka betul dia! Yang sakitnya aku! Sakit hati jangan tanyalah! Bagai dihiris dengan belati yang tajam.
Dia merengus lalu melabuhkan duduknya di sebelahku. Aku menginjak ke kiri sedikit. Tanpa sempat aku berbuat apa-apa, terasa ringan sahaja tubuh ini berpaling ke arahnya. Aku terpinga! Mataku terkebil-kebil memandang riak wajah Hakimi saat ini. Aku sendiri tidak dapat mentafsirkan makna di sebalik kerutan keningnya itu. Adakah dia marah dengan sikap manjaku, atau… sebenarnya dia risau!
Aku tersentak apabila tiba-tiba tanganku ditarik ke bawah. Matanya tepat merenung ke wajahku. Aku jadi kalut! Jantung mula mengepam darah dengan pantas sekali. Terasa suatu perasaan aneh kembali singgah di hati. Kali ini, rasanya lebih hebat dan mendebarkan. Dan saat jemarinya menyentuh hujung hidungku, jantung aku hampir gugur! Aku jadi tergamam! Tak tahu nak bereaksi bagaimana.
“Auch!” Aku menjerit kecil apabila hidung aku ditekan sedikit kuat. Spontan tangannya kutepis kasar. Aku kembali berpijak di bumi yang nyata. Semua perasaan indah yang bercampur-baur, cepat-cepat kuusir jauh-jauh. Tak mahu tersalah faham lagi dengan setiap perlakuannya.
“Tak apa, saya boleh buat sendiri,” ujarku sekadar mahu menutup debaran di dada sendiri. Sungguh aku resah dengan panahan sepasang mata redup itu. Sungguh aku rasa tak betah dengan sentuhan itu. Sungguh aku tak selesa dengan getaran yang sedang melagukan irama yang aku sendiri tidak pasti akannya. Sungguh aku takut hati ini terbabas lagi.
“Berlagak!” omel Hakimi. Aku tahu mungkin niatnya baik, tetapi, masakan aku boleh terus-terusan menahan sesak di dada saat ini? Mungkin baginya, itu perkara biasa. Tidak membawa apa-apa makna. Tetapi, hakikatnya, aku sendiri yang rasa tak yakin dengan diri sendiri.
Aku mencapai krim Vicks di sebelahku. Perlahan-lahan, krim berwarna putih itu kusapu ke bahagian luar hidung. Serta-merta aku rasa nak bersin! Air hidung pula tak berhenti mengalir dari tadi. Kalau orang lain tak tahu duduk perkara sebenar ini, mahu sahaja mereka beranggapan aku didera oleh Hakimi. Secara fizikal memanglah tak sebab hati aku yang sedang didera sekarang ini. Parah betul apabila ikatan sudah menghalalkan segalanya. Mahu hati aku tak terbabas.
“Hakimi…” panggilku setelah agak lama kami mendiamkan diri. Dia diam, tapi, aku tahu dia dengar. Aku merenung hujung kaki sendiri.
“Err…” Aku berjeda seketika. Tak tahu bagaimana mahu kulayarkan soalan ini padanya. Walaupun kedengaran agak pelik, namun, soalan ini amat penting. Sangat-sangat-sangat penting!
“Actually saya…err…” Aku garu kepalaku yang kebetulan memang gatal. Tangan naik menggaru kening pula. Serba-salah aku jadinya. Nak tanya, kedengaran kurang manis. Tetapi, kalau tak tanya, mampuslah aku malam ini!
Aku berdehem bagi membetulkan suara. “Saya nak tanya ni, awak jangan salah faham pulak, ye?” Aku memberi amaran siap-siap padanya. Diam masih juga begitu. Ralit sungguh menatap skrin telefon bimbitnya itu. Entah apa sangatlah yang gajet itu ada. Aku yang cantik lagi ayu di sebelahnya ini, tak mahu pandang pulak. Biarlah, asalkan dia dengar apa yang aku cakap, itu sudah memadai. Tak payahlah perhatian sangat, alih-alih, jiwa aku yang merana nanti.