Aku menguak jendela kamarku yang menghadap taman mini milik umi. Udara malam yang dingin menerobos masuk menerpa wajahku. Aku memejamkan mata dan menyedut udara malam yang segar dan dingin itu. Tangan disilangkan di dada. Inner tudung berwarna hitam yang sekadar melepasi dada dibetulkan. Bilik hanya disimbah cahaya lampu tidur dan lampu jalan. Samar-samar sahaja cahayanya.
Aku merenung pula ke arah jalan raya yang lenggang. Yang kelihatan hanya beberapa buah kereta yang sesekali lalu membelah jalan. Rumahku merupakan rumah bungalow dua tingkat yang terletak betul-betul di tepi jalan. Tetapi, bukanlah jalan besar. Hanya jalan biasa yang menghubungkan kawasan petempatan dengan kawasan bandar. Nak kata kawasan kampung, semakin pesat membangun adalah!
Aku menghela nafas lagi. Berat. Jam di dinding menunjukkan angka sebelah setengah malam. Beberapa buah kenderaan yang lalu menyumbang bunyi kepada sunyi malam. Nafas berat dihelakan lagi. Angin malam juga tidak dapat menenangkan hati yang resah gelisah ini. Sungguh aku gelisah. Aku gelisah memikirkan hari pertama Ujian Penilaian Satu di sekolah tempatku mengajar. Bukan risau kerana aku yang bakal menduduki peperiksaan itu ke apa. Tetapi risau kerana hari pertunanganku yang semakin mendekat. Sejak berlaku peristiwa jejak kasih dengan Azfar tiga hari yang lalu, hatiku semakin berbelah-bahagi menanti saat bergelar tunangan orang. Aku rasa macam... macam... Ah! Runsing betul!
Sudah tiga hari juga aku langsung tidak menghubungi Hakimi. Jauh di sudut hati, terselit juga rasa rindu. Okey, mungkin aku rindu nak bergaduh dengannya barangkali? Boleh jadi, tak mustahil. Tentang Azfar ini pula, sejak dari hari aku menjawab panggilan telefonnya yang lalu, tak berhenti-henti asyik menelefon ke mari. Kalau aku tak balas, dihantarnya pula pesanan ringkas. Kalau tetap juga tak balas, ditelefonnya lagi. Entah angin monsun mana yang merasuk dirinya pun aku tak tahu. Rajin pulak nak menyambung semula hubungan kami yang dah lama terputus. Eh, sejak bila pulak aku ada hubungan dengan Azfar, ni? Ah, bantai ajelah!
Sedang aku ralit memerhati sebuah pesawat yang sedang terbang melangit di atas, suara umi yang memekik memanggil namaku membuatkan aku rasa macam nak melayang. Nasib tak terbuat terjunan mengejut ke bawah. Terkejut bukan main!
"Buat apa tu kakak? Tak tidur-tidur lagi. Esok sekolah!" laung umi lagi dari bawah.
Aku tayang sengih. Ayah yang sedang mencicip air di dalam mug, di halaman rumah turut memandang ke arahku. Tangan naik menggaru kulit kepala yang tak gatal di sebalik tudung. Macam manalah aku boleh tak perasaan umi dengan ayah ada kat bawah tadi? Nasib baik aku tak terpekik terlolong menjerit nama Azfar dengan Hakimi. Kalau tak, sah-sah umi ingat anak dia buang tebiat!
"Umi... Nak tidurlah ni. Panas kat dalam, itu yang bukak tingkap, jap!" balasku. Suara dikuatkan sedikit daripada kebiasaan. Tetapi, masih belum dapat menandingi vokal umi yang memang tiada tandingan. Rasanya, Jaclyn Victor pun bersara kalau dengar. Jangan marah, umi...
"Dah pasang air-cond pun panas lagi, ke?" soal umi lagi.
Aku mengetap lembut bibir bawah kiriku. Nak jawab apa ini? Aku menadah tangan separa bahu macam tengah tunggu salji turun. Umi memandangku pelik.
"Eh, eh! Tetiba pulak air-cond dah sejuk. Masuk dulu ye, umi, ayah," tukasku sambil menayang sengih. Entah umi nampak ke tidak, aku pun tak pasti.
Umi mencemik ke arahku. "Kelentonglah selagi boleh. Iyalah, sebelum tidur, basuh kaki, ambil wudhu," pesan umi. Aku melemparkan senyuman mesra kepada umi seraya mengangguk.
"Okey, umi! Selamat malam umi, selamat malam ayah. Good night umi, good night ayah. Ucuk tidur dulu, tau!" gurauku. Aku lihat umi mengepal penumbuknya seolah-olah mahu dilayangkan ke arahku. Aku tergelak senang.
"Banyaklah kamu punya ucuk. Kalau Hakimi tahu ni, tak tahulah apa dia nak cakap."
Aku tergamam seketika. Mendengarkan umi menyebut nama Hakimi membuatkan aku rasa rindu. Rindu sangat-sangat. Rasa macam teringin nak dengar suara dia. Suara dia marah aku. Suara dia terpekik, terlolong. Suara dia buat-buat manja. Suara dia... Sudah! Sah aku dah mereng.