Aku menyedut jus mangga di dalam gelas kaca di hadapan. Pandangan dihalakan ke arah penyedut minuman berwarna hitam di dalam gelas. Naik juling mata aku dibuatnya. Aku pandang ke hadapan semula. Mariana masih beriak selamba sambil rakus menyedut minumannya, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dengan perasaan yang bercampur-baur, aku beranikan diri untuk mengerling ke arah lelaki yang duduk di meja sebelah Mariana. Dia turut memandangku. Pandangan cepat-cepat dihalakan semula ke arah Mariana. Tiba-tiba teringat kejadian sebentar tadi.
“What a pleasant surprise!” ucap Hakimi sambil menarik senyum lebar. Aku mencebik penuh meluat dalam diam. Pleasant surprise konon! Aku mula memotong kek coklat. Dalam otak tengah bayang kek ini adalah Hakimi. Biar kukerat lapan belas buang!
“By the way, Az, inilah tunang aku. Comel kan?”
Bungkam seketika aku dibuatnya. Rasa macam nak ambil kek ini kemudian tekup ke muka Hakimi pun ada. Geram betul aku!
“Haah..” Hanya itu yang sempat kudengar. Aku seolah-olah dapat menangkap riak kekecewaan pada nada suara Azfar.
“Lenguh pulak kaki ni berdiri lama-lama kan, Az?”
“Eh, jemputlah duduk,” pelawa Mariana. Aku menjegilkan mata ke arahnya. Kek di dalam pinggan kucincang halus-halus. Geramnya hanya Tuhan yang tahu!
Tanpa meminta kebenaran dariku, Hakimi langsung bergerak ke kerusi kosong di sebelah kiriku. Aku yang terkejut pantas mengalihkan beg sandang dari atas riba ke kerusi kosong itu. Aku mengangkat wajah memandang riak tidak puas hati Hakimi. Aku mengulum senyum sinis. Jangan harap nak duduk sebelah aku!
Aku fikir Hakimi bakal mengamuk sakan. Tetapi, sebaliknya yang berlaku. Dengan penuh tatatertibnya, beg sandangku dicapai lalu dia menarik kerusi dan melabuhkan duduknya di situ. Beg sandangku diribanya.
“Apa ni?” soalku tak puas hati. Suka hati dia saja nak duduk sebelah aku. Azfar pula sudah bergerak ke sebelah Mariana dan melabuhkan duduknya di situ.
“Saya nak duduk sebelah tunang sayalah,” balas Hakimi bersahaja. Sempat lagi dia kenyit mata kepadaku. Dah tahu sakit mata, nak jugak duduk dekat-dekat dengan aku.
Aku menginjak sedikit ke kanan dengan harapan kedudukan kami agak jauh. Minyak wangi yang dia pakai pun aku boleh bau, memang dekat sangat dah ni!
Dia menarik kerusi rapat ke arahku. Aku menjelingnya tidak puas hati. Dengan penuh sabar, aku menginjak lagi ke kanan. Dia bangun dan menginjak dekat lagi denganku. Isy, rimas betul!
“Awak ni, ada masalah dengan kerusi tu ke? Tak boleh ke awak duduk jauh-jauh sikit? Saya rimaslah!” ujarku lepas. Biarlah apa yang Mariana dengan Azfar nak kata.
“Haah.. Macam ada magnet pulak. Bila awak ke sana, kerusi ini pun nak ke sana,” balasnya lagi, bersahaja.
Aku merengus geram. Mamat ini kan, macam-macam betullah!
“Injaklah ke sana sikit,” pintaku. Suara dikendurkan sedikit. Dengan mamat ini, aku memang perlu banyak bersabar.
“Tak nak!” Perangai budak-budak dia datang dah.
“Hakimi, please… Matured lah sikit. Saya tak sukalah.”
“Risy, aku rasa better kita duduk sana,” usul Azfar tiba-tiba. Aku pantas mengangkat wajah memandangnya. Dia hanya berlagak selamba. Tak senyum, tak masam. Beku semacam sahaja.
“Yelah, saya pun rasa macam itu jugak.” Tiba-tiba Mariana menyampuk. Wajahnya juga kelihatan sedikit kelat.
Aku menarik nafas lega apabila akhirnya Hakimi bangun juga daripada duduknya. Beg sandangku diletakkan semula ke atas kerusi itu. Dia kemudiannya bergerak ke arah meja di sebelah. Namun, hatiku kembali rasa tak selesa apabila Hakimi melabuhkan duduknya di kerusi sebelahku. Manakala Azfar, di sebelah Mariana. Walaupun dipisahkan oleh laluan, namun, jarak kami masih dekat. Nasib-nasib…