"WHAT?!!!"
Melopong mulut Hakimi dan Azfar memandangku. Melihatkan riak wajah mereka yang kalut, aku mulalah terasa cuak semacam. Tadi, sebelum aku mengambil keputusan untuk menyatakan hal yang sebenarnya, tak adalah pula aku terfikir sampai begini reaksi mereka. Aku fikir sekadar terkejut itu, biasalah. Ini sampai ternganga mulut pandang aku ini, apa kes pulak? Nak merasa kena humban ke atas jalan kut!
Diam. Sunyi. Sepi.
Aku pandang wajah Hakimi dan Azfar silih berganti. Kalau awal tadinya, masing-masing diam tak terkata apa-apa. Sekarang, Azfar sudi menunduk merenung ke jalan. Entah hingga ke lapisan bumi yang mana pun aku tak tahu. Hakimi pula, aku tengok sudah seperti ibu kucing kehilangan anaknya sahaja. Resah semacam!
"Engkau..." Aku pandang Hakimi. Jarinya tepat menuding ke arahku. Kemudian, beralih pula ke tubuh sendiri. "Hishh! Nonsense! Aku... Arghhh!" Hakimi langsung mengecai rambutnya. Tapi, aku rasa sama saja. Tak ada kesan langsung. Kekal keras elok terpacak macam itu juga.
"Semua ni nonsenselah, Aufa!" Terbit keluhan kasar dari bibirnya. Tangan naik meraup wajah.
"Apa yang nonsensenya?" Aku bersuara meluahkan persoalan yang terbuku di hati. Dia bagi idea merapu-meraban tahap geliga punya, tak apa pula kan? Ini, aku baru bagi idea yang biasa-biasa, dah nak condemn bagai. Panas kut!
"Yelah! Cuba kau fikir. Kau tak nak kahwin dengan Azfar, kan?" Hakimi bertanya terus kepadaku. Aku apa lagi, langsung mengangguk penuh setujulah.
"So..?"
"So...?! Ya Allah budak ni..." Meleret sahaja suara Hakimi.
Dia menghela nafas berat. "Kalau dah kau tak nak kahwin dengan Azfar, habis majlis esok macam mana? Takkan kau nak kahwin sorang-sorang, kut? Hish! Nonsense, tahu?! Kau ni, memang beballah! Buat keputusan melulu. Kau tak fikir ke kat umi dengan ayah, kau? Kau nak dia orang semua tu dapat malu sebab kau? Sebab pengantin lelaki hilang! Apa kau nak jawab dengan semua orang pula nanti? Saya lebih suka kahwin sorang-sorang. Kalau macam tu, baik tak payah kahwin langsung!" bebel Hakimi panjang lebar.
Udara dingin yang tadinya singgah sebentar membalut tubuh, mula menghilang. Telinga ini dah rasa berasap semacam saja. Kalau ayat mukadimah dia tadi itu, aku masih boleh terima dan hadam. Bila datang ayat huraian dan contoh kemudiannya itu yang rasa macam sengal sikit. Siap ajuk-ajuk suara aku lagi. Memang melampau sangatlah itu!
Aku berdehem bagi membetulkan suara. Aku tak pasti apa reaksi Azfar tika itu. Yang aku tahu, dia masih setia berdiri. Elok jugalah. Tak adalah orang syak yang bukan-bukan nanti. Kalau nak diikutkan, tak manis bakal pengantin berjumpa sebelum diijabkabulkan. Mujur umi tak tahu. Kalau tidak, mahu sampai esok sudah tak tidur dengar leteran umi.
"Saya nak cakap sikit, boleh?"
Aku perasan riak wajah Hakimi yang seakan-akan menyampah dengan soalanku itu. Aiseh! Biarlah, aku ini kan bertimbang rasa. Mana main serang hendap tak pakai topi keledar macam Hakimi ini.
"Hmm... Apa dia? Bajet sopan.."
Telingaku dapat menangkap dengan jelas kata-kata terakhir itu meskipun perlahan. Cis! Ingat aku tak dengar kut apa yang dia cakap.
"Oleh sebab awak dah tanya saya soalan yang maha jitu tanpa sempat saya menangkisnya dengan kudrat yang ada, jadi, saya nak tanya sikitlah, kan." Aku memulangkan paku buah keras padanya. Dalam hati menyampah bagai nak rak pun ada. "Dengar, ye..." ujarku. Hakimi kulihat hanya beriak selamba.
"Azfar ini, siapa?" Aku menuding jari ke arah Azfar di sebelah kananku. Aku perasaan Azfar sedang memandangku saat ini, tetapi aku sengaja buat-buat tak tahu. Buat-buat tak kenal, boleh?