PROLOG

6.8K 122 1
                                    

"AKU rasa eloklah kau hantar anak kau masuk tentera ke apa ke. Disiplinkan sikit anak kau tu. Kalau dibiarkan, tak jadi orang anak kau nanti. Aku takut makin besar makin teruk perangainya. Lagipun orang kampung dah mula bising dengan aku. Diorang dah tak tahan dengan perangai dia," ujar Encik Omar. Kedengaran amat tegas pada tenggoroknya.

Puan Saodah mengulum hiba. Kata-kata itu langsung menebak hatinya, ibarat mahu menghalau anaknya pergi. Orang kampung tidak mahu lagi anaknya terus di sini, sedangkan dia tidak mungkin sanggup berpisah dengan Haziq biar betapa buruk pun kelakuan anaknya itu.

Nurani kemanusiaannya tidak mampu menyalahkan sesiapa. Memang benar anaknya yang jahat. Terlalu banyak menyusahkan orang kampung. Siapa yang tidak marah jika haiwan ternakan dilastik sesuka hati oleh anaknya. Kadangkala, tanaman turut dicantasnya sesuka hati. Bukan itu sahaja onar anaknya. Banyak lagi. Puas sudah dia membayar ganti rugi untuk semua itu.

Sekarang orang kampung sudah tidak boleh duduk diam lagi. Malah anak ketua kampung sendiri sering dibuli oleh anaknya. Mujur ketua kampung cukup baik hati bersabar hingga kini. Namun, kesalahan kali ini terlalu besar untuk dimaafkan begitu sahaja. Anaknya harus pergi.

"Kalau macam tu... biarlah kami pergi. Tapi, kami mintak masa sebulan lagi," putus Puan Saodah akhirnya.

"Aku tak suruh kau pergi sekali. Cumanya kau hantarlah anak kau ke mana-mana tempat yang boleh ubah perangai dia tu."

"Tak apalah, Omar. Kalau anak aku kena pergi biarlah aku pergi sekali. Aku ni umi dia. Aku patut ada dengan dia," balas Puan Saodah dengan keluhan berat.

Sungguh dia sebenarnya tidak sanggup meninggalkan kampung ini yang terlalu banyak sejarahnya. Tempat lahirnya di sini. Tempat bercinta juga di sini. Di kampung inilah dia menyulam cinta bersama lelaki yang masih bertakhta di hatinya hingga kini. Sayangnya, lelaki itu telah pergi dulu meninggalkannya terkapai-kapai sendirian dengan anak-anak. Biarlah kali ini dia pula berhijrah ke tempat lain bersama anak-anaknya.

"Kita kena pindah," ucapnya pada si anak yang sedari tadi hanya menunduk bisu dan mendengar perbualannya.

Anak itu tidak membalas sebaliknya berlari meninggalkan si emak. Puas dipanggil si emak, namun si anak terus berlari sekuat hati. Tidak peduli lagi.

DARI kejauhan dia dapat melihat seraut wajah pucat itu di beranda rumah. Memang sudah diketahui tabiat gadis cilik itu. Suka benar melayan perasaan di beranda. Gadis itu nampaknya sudah semakin segar dan pulih.

Tidak lama lagi wajah itu akan hilang daripada pandangan mata. Dia tidak mungkin dapat 'beramah mesra' dengan gadis itu lagi. Tentu dia akan rasa kehilangan satu hobi. Ya, memilih gadis itu memberinya satu kemenangan dan kepuasan. Tanpa gadis itu pasti dia akan terkenang-kenang saat kegembiraan tatkala rona pada wajah gadis itu bertukar kemerah-merahan kala disakatnya.

Selepas ini dia tidak mungkin dapat mengganggu hidup gadis itu lagi. Tentu tenang hidup gadis itu selepas pemergiannya. Dia pula yang akan menjadi sasau. Sehari tidak menjadikan gadis itu mangsa hidupnya, seperti tidak lengkap rutin harian yang dijalaninya.

Tanpa sebab yang pasti dia suka menjadikan gadis itu mangsa. Mungkin kerana gadis itu tidaklah setakut gadis-gadis lain. Gadis itu mampu menghamburkan marah terhadapnya, walaupun akhirnya gadis itu tetap akan pulang dengan tangisan. Sekurang-kurangnya gadis itu tidak terus mengalah. Tidak berlari ketakutan seperti gadis lain.

Semakin gadis itu melawan semakin galak dia menekan. Baginya gadis itu satu cabaran. Ya, cabaran untuk ditundukkan. Selagi gadis itu tidak menangis dia tidak akan puas. Entah kenapa dia suka melihat gadis itu menangis. Satu kemenangan baginya.

Senyuman sinis terukir di bibirnya bila mana gadis itu telah menyedari kehadirannya yang merenung dari jauh. Cepat-cepat si gadis berlari masuk ke dalam rumah. Benci sungguh melihat kelibatnya ataupun takutkannya.

Suatu hari dia tekad akan kembali semula bertemu gadis itu. Dia akan terus menjadikan gadis itu mangsanya. Gadis itu tidak akan terlepas daripada cengkamannya. Tidak sesekali!

Cinta 11 SyaratWhere stories live. Discover now