Bab 3 Part 2

4.4K 67 0
                                    

"DUDUKLAH sini lama sikit. Mana cukup seminggu aje kat sini," pujuk Puan Laila. Tangannya ligat mencedok nasi ke pinggan lalu dihulurkan kepada Rasya.

Ini seorang lagi. Tidak habis-habis mahu memujuknya untuk tinggal lebih lama. Bukan dia tidak mahu. Tetapi dia malas mahu mendengar bebelan ayahnya. Ayah tidak suka kalau dia menyusahkan orang lama-lama walaupun adiknya sendiri. Itulah prinsip tegas ayah dalam mendidik anak-anaknya.

"Mak cik ni macamlah tak kenal ayah tu," cebik Rasya sambil meneguk jus oren yang disediakan oleh Puan Laila.

"Susah-susah biar mak cik aje yang cakap kat ayah Sya tu," sambung Puan Laila lalu duduk bersebelahan Rasya.

"Eh, tak payahlah mak cik. Nanti Sya datanglah lagi. Bila-bila pun Abang Rie boleh datang ambik Sya kat kampus tu," pujuk Rasya sambil mencedok lauk ayam masak merah yang menjadi salah satu kegemarannya.

Puan Laila memang pandai masak. Setiap menu masakannya pasti membuka selera siapa pun yang menjadi tetamunya. Seminggu dia berada di rumah itu sudah cukup untuk menambahkan berat badannya.

"Biarlah mak. Orang tak sudi jangan dipaksa," sela Syahrie.

"Abang Rie ni... saja tahu. Bukannya dia nak faham pun," rungut Rasya dan muncungnya juga sudah kelihatan.

"Dia yang tak nak tinggal lama, dijualnya nama pak lang pulak," tokok Syahrie. Dia sengaja mahu mengusik adik sepupunya itu. Suka benar melihat bibir mongel itu memuncung. Dia sendiri sudah kenal dan maklum akan sikap pak langnya itu

"Mak cik... tengok Abang Rie ni. Sya bukannya sengaja. Ni kira terpaksa tahu tak!" bentak Rasya menegakkan kebenaran daripada terus dibuli Syahrie.

"Sudah-sudahlah kamu ni Rie. Merajuk nanti budak ni... kamu jugak yang kena pergi ke MPH belikan dia novel," sampuk Encik Radhi yang dari tadi hanya memerhatikan gelagat mereka bertiga. Dalam menegah sempat juga dia mengusik dan mengenakan anak saudaranya yang manja itu.

"Pak cik ni sama aje dengan Abang Rie," cebik Rasya. Dia sememangnya rapat dengan keluarga itu sejak kecil lagi. Sudah dianggap bagai keluarga sendiri. Tidak sedikit pun terasa kekok bersama dengan mereka.

"Abang ni pun satulah," tegur Puan Laila bertindak meredakan keadaan. Sekali-sekala kehadiran Rasya menambah ceria dalam keluarga mereka. Dia suka gadis itu datang ke rumah. Sudahlah ramah, malah ringan tulang pula. Rajin benar menyibuk membantunya di dapur. Tidak perlu disuruh. Ditegah pun tetap berkeras mahu menolong.

"Cuti sem ni Sya tak nak cari kerja ke? Dua bulan lama tu. Elok jugak kalau Sya cuba-cuba cari pengalaman kerja. Sekarang ni mana-mana syarikat nak pekerja yang dah ada pengalaman walaupun sikit." Encik Radhi bersuara lagi.

Rasya menggaru-garu kepala yang mula terasa gatal. Huh, kelemumur lagi ke? Dia sebenarnya sudah ketandusan idea untuk menerangkan sikap ayahnya. Selagi dia tidak menamatkan pengajian, selagi itu ayahnya tidak akan membenarkannya bekerja. Bagi ayahnya, waktu belajar hanya untuk belajar. Nanti sudah masuk alam pekerjaan, bekerjalah sebaiknya.

Rasya tidak akan sesekali membantah cakap ayahnya. Bukan disebabkan ketegasan sahaja tetapi rasa hormat yang menggunung terhadap lelaki separuh abad itu membuatnya sentiasa mematuhi segala perintah.

"Kerja dengan pak cik pun okey jugak. Meriah sikit rumah ni nanti," pelawa Encik Radhi melihatkan wajah Rasya yang mula sugul dan masih membisu.

"Hah, cantik sangatlah tu Sya. Boleh teman Abang Rie kat sini." Gembira benar Syahrie dengan cadangan itu. Hendak diharapkan pada kekasih hati menemaninya, bagai mengharap bulan jatuh ke riba. Makan hatilah dia mengharap kasih Rita. Mujurlah Rasya belajar berdekatan dengan rumahnya. Setiap minggu boleh juga diajak keluar bersiar-siar.

"Tapi firm pak cik tu kecik aje. Setakat nak belajar sikit-sikit tu bolehlah." Encik Radhi merujuk firma guamannya di ibu kota.

"Ermmm... tak apalah pak cik. Sya ingat nak rehat kat kampung aje. Time belajar nilah nak enjoy pun. Nanti dah kerja dah tak boleh nak enjoy lagi, kan?" Rasya beralasan lagi.

"Nak enjoy ke tak sudi nak lepak sini lama-lama?" Syahrie masih tidak berpuas hati dengan tingkah Rasya.

"Kamu ni Rie... janganlah nak desak orang pulak," celah Puan Laila memandangkan wajah Rasya sudah mencuka. Syahrie mencebik. Rasya tersenyum kemenangan.

Cinta 11 SyaratWhere stories live. Discover now