Bab 10

3.6K 45 1
                                    

DARI kejauhan mata Rasya sudah dapat menangkap kelibat Puan Gayah. Berlenggang-lenggok menuju ke halaman rumahnya.

Mana pulak dia tahu aku balik ni? Hatinya menyoal. Tentulah mahu bertandang ke rumah bila sahaja telinga Puan Gayah menangkap berita akan kepulangannya.

"Habislah...bakal mak mentua dah datang spot check," sergah Hana yang entah bila sudah berdiri di belakang Rasya yang sedang sibuk menyidai kain di ampaian.

"Ish, memandai aje budak ni. Dia nak jumpa maklah tu. Ni apasal menyibuk kat sini?" Rasya menjeling adiknya.

"Tak nak kasi Kak Sya cabutlah. Nanti tak dapatlah mak mentua Kak Sya jumpa menantu dia." Hana masih tersengih senang. Sebaik dia terlihat kelibat Puan Gayah dari jendela tadi cepat sahaja dia mencari Rasya dan mahu melihat reaksi kakaknya itu. Suka benar kalau dapat menyakat kakaknya itu.

Siku Rasya pantas mengena rusuk kiri Hana. Geram dengan tingkah adiknya itu. Terdengar erangan kecil Hana dek penangannya. Kemudian dia pantas bergerak mahu menyelinap ke dapur. Tidak mahu bertembung dengan Puan Gayah.

"Amboi, pagi-pagi lagi dah rajin jemur kain. Bertuahlah siapa dapat menantu macam ni." Belum sempat dia mengangkat kaki, pujian Puan Gayah sudah menggerudi pendengaran.

Hesy! Nampak pulak orang tua ni. Hatinya mendesis geram.

Dia berpaling menghadap Puan Gayah. Senyuman plastik dipakukan di bibir. Orang sudah datang ke rumah kenalah bermanis muka biar tidak suka sekalipun. Hana di sebelah mencuit-cuit pinggang ramping Rasya. Rasya menjeling tajam adiknya. Sukalah tu melihat dia sudah terperangkap dan tidak dapat mengelakkan diri.

"Cik Gayah... sihat?" Manis sahaja suaranya. Mahu tidak mahu, diringankan juga mulut bertegur sapa dengan tetamunya itu. Tangan dihulur untuk menyalami wanita separuh abad yang bertubuh gempal tetapi masih suka berhias. Di tangan dan di leher wanita itu mewah dililit dengan emas. Berat sungguh mata melihat. Kalau kena ragut jangan salahkan peragut.

"Kan dah banyak kali suruh panggil ibu aje. Tak nak lekat jugak tu," komen Puan Gayah tidak puas hati.

Rasya tersengih cuma. Tidak mungkin dia akan memanggil wanita itu dengan panggilan ibu sedangkan tiada pertalian apa pun antara mereka melainkan jiran sekampung. Bukannya dia benar-benar mahu menjadi menantu wanita itu. Semuanya di sebelah pihak sahaja. Dia langsung tidak berkenan pada Mohammed.

"Masuklah Cik Gayah. Mak ada kat dalam tu," jemput Rasya. Puan Gayah tersenyum lebar.

"Lupa pulak. Mamat kirim salam. Dia cakap rindu kat Sya. Masuk sekali dengan ibu," ujar Puan Gayah seraya menarik tangan Rasya masuk ke dalam rumah mengikut jejaknya.

Rasya sempat mengerling tajam ke arah adiknya yang sedang memegang perut menahan tawa. Kemudian Hana sengaja pula menjelir-jelirkan lidah kesukaan melihat Rasya menuruti Puan Gayah.

Oh, suka ya? Tunggulah! Hatinya berdesis geram dengan si adik, mendongkol marah dengan diri sendiri yang tidak sempat melepaskan diri.

"Mak! Cik Gayah datang ni," Rasya melaung Puan Jannah.

"Cik Gayah duduk kejap. Nak pergi buat air dulu," ujar Rasya seraya melangkah ke dapur.

"Hah, Gayah... aku ingat siapa tadi," sela Puan Jannah melangkah keluar dari dapur sebaik sahaja mendengar suara anaknya. Dia duduk di sofa bertentangan dengan Puan Gayah.

Cinta 11 SyaratWhere stories live. Discover now