Bab 5

4.5K 50 0
                                    

PUAN Laila menghampiri Rasya yang khusyuk menonton rancangan di Astro Ria. Berita yang baru disampaikan suaminya sebentar tadi membuatnya sedikit kalut.

"Mak cik..." tegur Rasya yang menyedari kehadiran Puan Laila di belakangnya.

"Sya, mak cik dengan pak cik ada hal sikit ni. Nak keluar jenguk adik pak cik sakit nak bersalin. Sya nak ikut tak?" pelawa Puan Laila. Rasya berfikir sebentar. Segan pula dia mahu turut serta. Dia tidak rapat dengan ahli keluarga sebelah Encik Radhi. Maklumlah Encik Radhi cuma biras ayahnya sahaja. Dia lebih senang duduk di rumah sendirian.

"Tak apalah, mak cik. Sya tunggu kat rumah ajelah."

"Betul ke ni? Tapi mak cik rasa mak cik pergi tak lama pun. Sebelum Abang Rie kamu balik kerja, mak cik dah ada rumah," ujar Puan Laila.

Puan Laila tidak akan membiarkan Syahrie berdua sahaja dengan Rasya. Walaupun hubungan mereka seperti adik-beradik tetapi mereka tetap bukan muhrim. Takut nanti ada pula suara-suara sumbang jiran yang mencanang bukan-bukan.

"Tadi pagi Abang Rie cakap dia balik lewat sikit kut. Nak jumpa klien katanya. Mak cik tak payahlah rush sangat."

"Betul kamu okey tinggal sorang ni?" Puan Laila terus membimbangi Rasya.

"Okeyyy sangat... mak cik tak payahlah risau." Tersenyum lebar dia dengan keprihatinan mak ciknya itu.

"Erm... jaga diri. Kunci semua pintu nanti bila mak cik keluar."

Rasya hanya mengangguk mengiakan. Arahan itu akan dipatuhinya. Risau juga dia. Dunia sekarang bukannya selamat sangat. Banyak kes rompak dan rogol yang dilaporkan saban hari. Paling teruk kes culik dan bunuh. Sudah tidak aman lagi. Haish!


"WOI!" Sergah Hamidi. Syahrie yang sedari tadi merenung kelibat sepasang kekasih sedang berpelukan manja mengerling Hamidi tajam. Hatinya ibarat disiat-siat. Ditoreh-toreh tanpa belas. Tanpa sedar dia mengepal penumbuk mengundang kenangan lalu.

"Relakslah, bro. Aku main-main aje. Tak payahlah nak garang sangat," ujar Hamidi sedikit gerun dengan pandangan Syahrie. Apa pula yang tidak kena dengan kawannya itu. Tadi elok sahaja anginnya. Sudah tiba di kereta lain pula jadinya. Angin puting beliung mana pula yang membadai?

"Erm... aku balik dululah. Kau balik sendiri boleh tak?" Syahrie berang tanpa sebab.

"Kau ni apa hal? Tak ada ribut, tak ada kilat... tiba-tiba naik hantu." Kemusykilan menerjah di benak Hamidi.

"Aku ada hal sikitlah," jawab Syahrie acuh tidak acuh. Matanya mencerun geram pada pasangan yang sedang menghampiri kereta Nissan Skyline berwarna kuning yang diletakkan tidak jauh dari keretanya.

"Hai, nasib badanlah kena naik teksi," keluh Hamidi. Malas mahu bertekak lalu dia hanya mampu mengalah. Selalunya Syahrie tidak begini. Mungkin ada hal penting agaknya. Sejak dua hari lepas lelaki itu kelihatan murung sahaja. Putus cinta kut.

Syahrie pantas masuk ke dalam perut kereta. Dia tekad mahu mengekori pasangan itu. Dia perlu cari tahu. Malam ini dia mahu mencari jawapan segala persoalan yang menyemak benaknya sejak dua hari lalu.

"Apa dia buat kat hotel ni tadi?" Syahrie menyoal diri sendiri. Mungkin gadis itu juga makan malam di hotel tersebut sepertinya. Bezanya dia bertemu klien sedangkan gadis itu bersama lelaki separuh abad sambil berpelukan pula tu.

Cinta 11 SyaratWhere stories live. Discover now