Bab 1

8.7K 97 2
                                    

"DAH habis fikir ke ni? Betul nak balik sana?" Puan Saodah menyoal anaknya. Wajah Haziq terus direnung mencari kepastian. Sejak sebulan lalu memang itu yang asyik dipersoalkannya.

"Umi... lusa ni Ziq dah nak pindah sana pun. Umi masih nak tanya lagi?" Haziq langsung tersenyum lebar. Tahu sangat uminya berat hati mahu melepaskannya pergi.

"Tapi... umi macam mana?" Kalut pula Puan Saodah.

"Umi kan nak jaga adik. Takkan umi nak tinggalkan dia?"

"Ermm..." Puan Saodah melepaskan keluhan berat. Mahu meninggalkan Syairah adalah tidak wajar dalam keadaan begini. Syairah belum cukup sihat lagi untuk dibiar sendirian.

Apalah sangat yang suami Syairah itu tahu untuk menjaga isteri dalam pantang. Tetapi, hatinya berat mahu melepaskan Haziq pergi sendirian.

"Itu memanglah umi tahu. Tak boleh ke tangguh dulu? Tunggu Syairah habis pantang dulu barulah pindah sana. Umi nak ikut sekali," pinta Puan Saodah dengan nada lemah.

Haziq melepaskan keluhan berat. Semuanya sudah dirancang dengan baik. Jika perpindahannya ditangguhkan segala urusannya yang lain juga akan tergendala. Ini tidak baik untuk perancangan yang telah diaturnya dengan teliti.

Dipicit-picitnya dahi yang tidak sakit langsung berfikir panjang. Kehendak umi sukar untuk ditolak. Malangnya dia tidak boleh menyetujuinya. Dia perlu mengikut perancangan awal. Bermakna, permintaan uminya perlu ditolak.

Puan Saodah sudah dapat menduga jawapan anaknya. Riak wajah itu sudah menerangkan segala jawapan. Nurani tuanya sedikit hampa dengan penolakan itu. Dia juga sudah lama mahu pulang ke tempat asal mereka.

Dia rindu akan kampung halaman. Keputusan Haziq untuk kembali ke sana membuatkannya turut teruja. Setelah sekian lama meninggalkan kampung yang banyak mencatat kenangan, mereka akan kembali semula ke sana.

"Umi jaga Syairah dulu. Dah habis pantang nanti, Ziq datang ambik umi kat sini. Bukan lama pun, kan?" Haziq mencari ruang cuba memujuk hati tua itu.

"Kalau dah tak sudi tunggu tu... tak apalah," keluh Puan Saodah lemah. Kecewa bergetar pada hujung suaranya.

"Umi..." Haziq sudah tidak senang hati bagai cacing kepanasan. Kalau Puan Saodah sudah bersuara begitu tentulah panjang rajuk uminya nanti.

"Umi nak pergi tengok air kat dapur kejap." Puan Saodah bangkit lesu dan berlalu ke dapur.

"Kenapa dengan umi tu? Macam merajuk aje," komen Syairah yang baru keluar dari biliknya. Haziq tersenyum nipis melihat susuk tubuh adiknya. Dengan berstoking dan berkain batik, lain benar penampilan adiknya sekarang. Kalau tidak, bukan main lagi up-to-date adiknya yang seorang ini.

"Fasal abang nak pindahlah," balas Haziq.

"Umi nak ikut abang ke? Biarlah umi tu ikut." Syairah melabuhkan punggung di sofa berhadapan dengan abangnya.

"Abang tak kisah umi nak ikut. Tapi biar la adik abang ni habis pantang dulu."

"Adik okey dah ni. Kalau umi nak ikut abang pun adik dah boleh buat sendiri semua kerja. Dah kuat dah ni," balas Syairah sambil menggayakan aksi silat kepada abangnya itu.

"Biar adik betul-betul kuat baru umi ikut abang. Lagipun bukan lama sangat." tegas Haziq.

"Abang kamu tu bukannya nak peduli umi ni. Dah tak sabar-sabar nak pergi dulu," sela Puan Saodah tidak senang. Dulang di tangan diletakkan di atas meja kecil di tepi sofa panjang. Tanpa dijemput Haziq mengambil kopi yang dihidangkan Puan Saodah lalu dihirupnya perlahan. Aroma kopi mengisi segenap ruang tamu kecil itu.

"Umi... kalau umi nak ikut abang... pergi ajelah. Adik dah kuat dah."
"Tak apa. Biar umi tinggal dengan kamu aje. Kamu aje yang peduli dengan umi ni," rajuk Puan Saodah.

Haziq tergeleng-geleng sendiri. Sudah diduga, umi akan terbawa-bawa dengan rajuknya. Biarlah. Lama-lama hilanglah rajuk itu. Usah difikirkan sangat, detik di hati kecilnya.

Cinta 11 SyaratWhere stories live. Discover now