Bab 12

6.5K 85 24
                                    

PERTAMA kali menatap wajah itu setelah sekian lama membuat matanya terus tertancap di wajah ayu itu. Wajah itu sudah menampakkan sedikit kematangan. Sudah semakin manis. Makin menarik dipandang. Sejuk mata memandang sesegar udara pagi di tanah tinggi Cameron Highlands. Pasti banyak kumbang yang ingin hinggap di taman yang kelihatan cukup indah di mata.

Mungkin gadis itu sudah berpunya. Gadis secantik dan sebaik itu tidak akan dibiarkan nanti hanya kempunan mata memandang. Bukan mudah untuk mencari gadis yang baik ketika dunia sibuk mengejar arus kemodenan. Banyak yang rosak dari baiknya. Banyak yang terdedah dari tertutup. Banyak yang sumbang dari sempurna. Lumrah tuntutan zaman ini.

Gerak-geri gadis yang sedang sibuk mengangkat kain di ampaian terus diperhatikannya. Lemah-lembut benar gayanya. Sopan. Kesopanan dan kelembutan seperti itu mudah benar mencuit hati lelaki. Kakinya bagai dipaku di situ agar terus menjadi pemerhati bisu tanpa disedari si gadis.

Gadis manis yang bertudung walau hanya di laman rumah itu cukup menarik perhatian. Hatinya menjentik ingin melihat rambut yang dilitupi sehelai tudung itu. Haluskah rambutnya? Pendek atau panjang? Tebal atau nipis? Tanpa sedar bibirnya menguntum senyum kecil dalam keasyikan memerhati si gadis ayu.

Rasya terasa bagaikan ada panahan mata sedang curi-curi merenungnya. Mungkinkah benar ada mata yang memerhati atau hanya perasaannya sendiri sahaja? Biar betul? Dia meliarkan pandangan mencari-cari jika benar ada yang memerhati. Sekejap-sekejap ke kiri. Sekejap-sekejap ke kanan. Sekejap-sekejap ke hadapan. Tiada!

Matanya dilarikan pula pada rumah di seberang jalan. Rumah yang sudah lama dibiarkan kosong. Walaupun tidak kelihatan usang tetapi rumah itu sudah lama tidak berpenghuni setelah ditinggalkan tuannya. Mungkin sudah dihuni hantu agaknya menggantikan manusia hantu yang sebelumnya. Ya, penghuninya dahulu lebih daripada hantu perangainya.

Hantu? Serentak romanya meremang memikirkan kemungkinan itu. Sudahlah hampir maghrib. Memang banyak benda halus yang berkeliaran ketika ini. Pantas diangkat kakinya tergesa-gesa masuk ke dalam rumah dengan bakul penuh pakaian di tangan. Kelam-kabut gaya Rasya.

Di suatu sudut di rumah berhantu itu, sepasang mata terus leka memerhati langkah si gadis hingga menghilang ke dalam rumah. Senyuman masih lagi bergayut di bibir itu. Kenangan lama menggamit kembali. Terlayar di ingatan.

TERHENTI kayuhan basikalnya bila dihalang dua tubuh kurus tinggi di hadapannya. "Kau nak apa, hah?" Kasar sahaja suara si gadis cilik. Baru berusia 12 tahun sudah berani berkasar dengan budak tingkatan 3. Argh... dengan mamat samseng itu dia tidak perlu berlembut.

"Nak pergi mana ni?" soal si samseng yang terkenal dengan gelaran Komeng.

"Apa kau sibuk?" bidas si gadis cilik yang masih berpakaian seragam sekolah.

"Kau nak lepas jalan ni, kau kena bayar cukai dengan kitorang dululah," sela sepupu si Komeng, Afif. Memang selalu mereka menahan budak-budak sekolah, kutip duit. Memang kalau mahu buat perangai, mereka akan berdua. Tetapi yang lebih dahsyat perangainya mestilah si Komeng. Sepupunya hanya mengikut telunjuk dan arahannya sahaja.

"Korang ingat ni jalan bapak korang ke nak kutip-kutip duit kat sini? Tepilah. Aku nak lalu," marah si gadis comel.

Tersirap darah si Komeng mendengar sahaja perkataan bapa diungkit-ungkit. Dia memang pantang sekali kalau ada yang menyebut tentang bapa. Sesiapa yang berani mengungkit pasti patah riuk dikerjakannya.

"Kau cakap lagi sekali," tingkah Komeng dengan suara menderam. Terasa ingin sahaja diterkam tubuh kecil itu. Kalau lelaki sudah lama dihancurkan tulang-belulang di tubuh.

Cinta 11 SyaratWhere stories live. Discover now