Bab 11

3.5K 44 1
                                    

DIRAUP wajahnya berkali-kali. Penat sudah mengusir bayangan itu namun sedikit pun tidak mahu menghilang jauh dari pandangan. Dia asyik dihantui bayangan itu. Wajah Rasya yang ketakutan terus merayu-rayu minta dilepaskan sedangkan dia begitu rakus meneguk madu di hadapan mata. Tanpa belas diratah tubuh itu.

"Arghhh... tak mungkin!" Dia mengeluh keras. Geram dan sakit hati bila dihambat bayangan itu bertubi-tubi. Dia tidak mahu membenarkan bayangan itu menjadi nyata. Bayangan itu tidak mungkin suatu kenyataan. Dia tidak mungkin melakukan perkara terkutuk seperti itu terhadap adik sendiri.

Dalam mimpi pun tak mungkin dia melakukan sesuatu seperti itu. Apatah lagi di alam nyata. Lagikan Rasya yang menjadi mangsa. Dia terlalu sayangkan adik sepupunya itu. Rasyalah penghibur di dalam hidupnya. Seumur hidupnya dia tidak mampu untuk menyakiti gadis itu. Jauh sekali untuk menganiayanya sedemikian. Dia hanya mahu melihat gadis itu tersenyum suka, ketawa ceria.

Bayangan yang mengganggu terlalu mengerikan untuk diterima akal. Dia pasti dan amat yakin semua itu hanya bayangan atau mimpi. Ya, dia mungkin bermimpi di siang hari. Mimpi yang menjadi mainan syaitan. Mungkin syaitan mahu menghasutnya untuk melakukan perkara seperti bayangan itu. Menjadikan gambaran itu suatu realiti.

Benaknya terasa sesak bila diasak bertalu-talu. Sukar benar mahu membuang bayangan yang hadir. Dipejamkan mata, imej Rasya yang dalam ketakutan tetap hadir. Bila mata terbuka, imej Rasya yang sedang merayu-rayu pinta dikasihani pula yang menjengah.

"Rie..." Panggilan Puan Laila membuatkan imej Rasya bertaburan lari. Dia berpaling memandang wanita separuh abad itu.

Puan Laila menghampiri anaknya yang bagaikan cacing kepanasan. Semenjak Rasya pulang ke kampung, Syahrie seperti dalam kegelisahan. Makan pun tidak tentu. Selalu melangut, tenggelam di dalam khayalan. Mungkin kerana hal Rita agaknya. Hatinya menebak. Kalau Rasya ada, anaknya tentu akan ceria biarpun hati sakit ditinggalkan Rita.

"Dah petang ni. Dari pagi Rie tak makan. Ni mak buat bihun." Puan Laila meletakkan sepinggang bihun goreng di atas meja kecil di hadapan sofa.

"Nantilah Rie makan."

"Rie ni kenapa? Ingatkan budak Rita tu lagi ke? Kalau ya pun kena makan jugak. Buat apa seksa diri fasal perempuan tu," nasihat Puan Laila. Hatinya agak geram dengan tindakan Rita. Tetapi dia sendiri tidak tahu atas alasan apa mereka berpisah. Mungkin Syahrie juga bersalah. Lalu dia tidak mahu membuat spekulasi sendiri.

"Tak ada apalah, mak. Penat kut," balasnya berdalih. Puan Laila mencebik. Penat apanya kalau sudah berhari-hari duduk di rumah. Itulah orang muda sekarang. Layankan sangat penyakit hati. Sampaikan kerja pun tidak mahu.

"Jangan ikutkan hati sangat. Boleh mati nanti," tegas Puan Laila.

Syahrie tersenyum nipis. Bukan hal Rita yang merunsingkannya. Memang hatinya cukup sakit tatkala cinta yang dibaja bertahun-tahun punah sekelip mata. Matanya lagi sakit melihat adegan sundal Rita dengan lelaki tua keparat itu. Tetapi itu belum mampu membuatnya berserabut begini. Kebimbangan menguasai kelelakiannya.

Dia runsing dikejar bayangan Rasya. Suatu kenyataan yang tidak akan diterimanya. Kebenaran yang tidak ingin disingkapnya. Sungguh dia tidak mahu tahu. Dikerling Puan Laila yang masih memerhatikan lagaknya.

"Rie tak ada call Rasya?" Kalau anaknya itu bergayut dengan Rasya mungkin boleh menghilangkan sakit disebabkan Rita.

"Mak... Rie masuk bilik dulu. Sakit kepala." Dia bingkas mahu mengayun langkah. Menelefon gadis itu perkara terakhir yang akan dilakukannya buat masa ini.

Cinta 11 SyaratWhere stories live. Discover now